Thursday 8 May 2014

Semuanya Salah Iblis dan Syaitan!

Ramai umat Islam selalunya menyalahkan iblis dan syaitan atas segala perkara jahat yang mereka lakukan, dan juga menyalahkan iblis dan syaitan kerena menggoda mereka. Apa sahaja perkara jahat yang berlaku salah iblis dan syaitan. Mesti jauhkan iblis dan syaitan dengan zikir-zikir tertentu sebab iblis dan syaitan takut dengan zikir-zikir tertentu. Benarkah begitu?

Kita harus ingat siapa iblis dan syaitan ini. Mereka ini malaikat yang terlebih dahulu berzikir dari kita. Mereka ini berzikir jauh lebih lama dan lebih banyak bilangan zikirnya dari semua zikir orang Islam jika dikumpulkan sekali seluruh umat yang berzikir selama umur dunia ini. Munasabahkah mereka ini takut dengan zikir? Jadilah umat Islam yang berilmu dan memahami. Mereka ini telah berbicara dengan Allah sebelum kita. Mereka ini kenal Allah lebih hebat dari kita kenal Allah. Tahap makrifat mereka kepada Allah silap-silap lebih dari tahap makrifat kita kepada Allah. Jadi faham ini dulu sebelum berzikir untuk halau iblis dan syaitan.

Harap selepas ini jangan ada lagi yang berkata zikir boleh halau iblis dan syaitan. Bagaimana pula ceritanya tentang hamba Allah yang hebat amalannya akhirnya mati kafir? Pernahkan anda membaca kisahnya? Apa pula yang ingin dijawab dengan zikir dan Al-Quran yang diamalkan orang itu sedangkan dia pun tersungkur? Jawabnya keizinan Allah.

Sebenarnya apabila kita menyalahkan iblis dan syaitan atas semua perkara jahat yang kita lakukan, siapakah yang sebenar-benarnya yang kita persalahkan? Cuba berfikir dengan roh. Siapa sebenarnya dalang disebalik iblis dan syaitan ini? Hebat sangatkah iblis dan syaitan ini yang bergerak, berjalan, melompat tanpa izin dari yang empunya gerak? Bila kita salahkan iblis dan syaitan ini, siapa yang kita salahkan sebenarnya? Jawapannya ialah Allah. Ya, Allah. Lebih tepat lagi disebut, kita telah terus menyalahkan tuan dan tuhan kepada iblis dan syaitan ini. Kita kena ingat iblis dan syaitan masih lagi bertuhankan Allah, mereka sentiasa sedar tuhan mereka adalah Allah selama-lamanya, malah kuasa Allah ini mereka lebih faham dari kita, mereka ini lebih takutkan Allah dari kita. Cuma loh mahfuz nya sudah begitu.

Kita kata hanya Allah yang berkuasa, tetapi bila kita terpedaya dengan iblis dan syaitan, kita kata iblis dan syaitanlah yang telah memperdaya kita. Dalam secara halusnya kita telah mempecayai ada kuasa pada iblis dan syaitan ini ke atas kita.

Adakah esok di padang mashyar kita perlu lagi menyalahkan iblis dan syaitan atas kesalahan kita? Apakah Allah akan menghukum iblis dan syaitan sahaja atas semua kesalahan kita? Kalau iblis dan syaitanlah yang bersalah atas segala perbuatan kita, sepatutnyalah hanya iblis dan syaitan sahajalah yang Allah hukum, kerana mereka yang bersalah, kita tak salah, sebab mereka goda kita, bukan salah kita? Benarkah begitu? Tuan-tuan sendiri pun tahu jawapannya. Kita akan dipertanggungjawabkan atas semua dan segalanya yang kita lakukan. Jadi dimanakah iblis dan syaitan yang sibuk kita persalahkan di dunia ini? Mereka tidak ada disitu untuk memikul kesalaha tuan-tuan. Jadi adakah di situ baru tuan-tuan ingin sedar selama ini iblis dan syaitan tidak pernah bersalah atas kesalahan tuan-tuan? Tuan-tuanlah yang bertanggungjawab atas segala-galanya. Iblis dan syaitan tidak ada kena-mengena dalam hal tuan-tuan, tetapi tuan-tuanlah bertanggungjawab atas segala-galanya.

Seperti dalam post saya yang lalu, kenapa dalam hati dan akal kita perlu ada nama iblis dan syaitan ini. 'Delete' terus nama-nama ini, bila diseluruh roh sentiasa ada Allah, boleh ke nama-nama lain masuk ke dalam kita. Perlu ke nama-nama lain itu diingat dan dipedulikan bila tuhan segala benda sahaja yang kita nampak. Tuan-tuan, terpersona dengan Allah akan menghilangkan segala-gala nama, bentuk, rupa, paras, bau, rasa, dan apa sahaja yang berjisim.

Sudah-sudahlah tu, jangan diulang-ulang lagi nama iblis dan syaitan ini di dalam hidup kita. Tumpukan sepenuh jiwa dan raga, akal dan fikiran, gerak dan perbuatan hanya kepada Allah. Habis cerita.

No comments:

Post a Comment