Tuesday 18 November 2014

Baca Buku, Jadi Ahli.

Aku pernah katakan sebelum ini. Kalau hanya dengan membaca buku makrifat, tuan-tuan sudah menjadi ahli makrifat, nampaknya dalam dunia ini akan semakin ramailah yang akan menjadi ahli makrifat. Mudah sahaja untuk menjadi ahli makrifat. Baca buku makrifat maka secara automatik taraf tuan-tuan sudah naik sebagai ahli makrifat dan sudah faham Allah itu sehebatnya. Senang sungguh. Kalau macam tu, nak jadi ahli tarekat, baca buku tarekat, anda sudah jadi ahli tarekat. Baca buku hakikat, anda secara automatik sudah menjadi ahli hakikat. Mudahnya nak jadi ahli dan pakar. Tapi baca buku untuk buat roket, belum tentu anda menjadi pakar buat roket. Macamana pulak tu. Tidak. Baca buku cara buat roket belum tentu menjanjikan anda menjadi pakar buat roket. Begitu jugalah dengan buku makrifat, sama sahaja.

Makrifat tidak semudah membaca buku untuk memahaminya. Allah tidak semudah itu untuk difahami. Kalaulah Allah, semudah itu untuk difahami. Sudah tentu satu dunia ini agamanya Islam berkefahaman makrifat. Polis tidak perlu, askar tidak perlu, malah negara juga tidak perlu. Di syurga tiada polis, di syurga tiada askar dan di syurga tiada negara, kerana di syurga semua makrifat kepada Allah. Jadi kalau semua sudah makrifat di dunia. Dunia akan jadi seperti syurga.

Saya harap sesiapa yang membaca buku makrifat harus faham. Allah tidak mudah untuk difahami. Membaca rahsia Allah dengan lisan. Tidak bermakna anda memahami rahsia Allah itu dengan hati. Rahsia Allah itu dalam dan luas, seperti lautan yang tidak bertepi. Ia tersebar tanpa had. Saya tidak berniat merendahkan sesiapa. Saya bercakap untuk memberitahu. Hendak terima atau tidak, itu bukan urusan saya. Niat saya hanya memberitahu. Memahami Allah ini kerja setiap saat. Setiap detik. Tidak boleh terlepas walau sedetik lari dari Allah. Tidak boleh terlepas walau sedetik, ingatan lari dari Allah. Tidak boleh terlepas walau sedetik hati ini lari dari Allah. Tidak boleh terlepas walau sedetik, masa berlalu tanpa adanya Allah. Tidak mudah memahami Allah.

Saya tidak bercadang membongkarkan semua rahsia Allah, atas sebab-sebab batasan minda kita dalam memahami Allah. Perbezaan minda kita dalam memahami Allah. Rahsia Allah tidak boleh di buka pada sebarangan orang. Bahaya dan sangat-sangat bahaya. Saya sudah jelaskan tentang perkara ini. Jadi saya tidak mahu mengulas lanjut. Jangan mencabar kefahaman tentang Allah. Tidak terjangkau dek akal, tidak terfaham dengan ilmu, apalagi dengan buku.

Keinginan anda untuk membaca buku makrifat adalah satu langkah awal yang sangat bagus. Saya suka cara itu. Anda telah ada niat untuk mencari rahsia Allah. Mudah-mudahan niat anda itu Allah bantu untuk anda memahamiNya. Saya pernah katakan, carilah Allah sebab Allah tidak pernah lupa kepada kita, kita pula jangan lupa kepada Allah. Baca buku makrifat itu sudah satu cara anda untuk anda mencari Allah. Teruskan baca dan cari lagi Allah. Lepas ni kalau mampu, gali pula kubur sendiri, cuba pula cari Allah dengan cara yang lain. Jangan putus asa dengan Allah, Allah tidak pernah sedetik pun putus asa dengan kita.

Harap selepas ini, anda masih dahagakan Allah, dan sanggup membuat apa jua cara untuk mendapatkan Allah. Semoga anda akan mendapat apa yang anda inginkan.



Merasa Diri Ahli Syurga

Kadangkala aku merasa hairan dengan perasaan yang seperti ini sehinggakan boleh merasa dirinya adalah dari golongan ahli syurga, merasakan dirinya pasti masuk syurga, merasakan Islam dari alirannya sahaja yang bakal memasuki syurga. Berkata-kara seolah-olah dirinya sudahpun berada dalam syurga. Memandang orang lain yang nampak seperti alim dan warak adalah bakal ahli syurga. Berbuat baik untuk masuk syurga. Mencari pahala supaya Allah bagi masuk syurga. Bersedekah untuk dapat pahala supaya Allah pilih dia untuk masuk syurga. Membina masjid besar dan indah, supaya Allah bina untuknya sebuah mahligai besar dan indah di syurga. Syurga, syurga dan syurga.

Benarkah kita ni layak masuk syurga? Sedangkan beribadat ratusan tahun tidak layak masuk syurga dengan nikmat sebelah mata. Bagaimana pula dengan berbuat baik hanya beberapa puluh tahun layak memasuki syurga. Kenapa tidak kita banding nikmat Allah ini yang pasti tidak boleh kita tebus di depanNya untuk masuk syurga? Kita tidak boleh masuk syurga dengan apa yang kita buat di atas dunia ini. Tidak boleh. Tidak mampu. Tidak layak. Kita sedarkah siapa kita ini? Meminta dengan tuhan yang Maha Tahu untuk masuk syurga. Nabi itu yang dijamin syurga pun, bersembahyang sampai bengkak kaki untuk jadi orang yang bersyukur. Kalau kita dijamin masuk syurga, belum tentu boleh buat seperti nabi.

Nikmat sebelah mata sahaja sudah melayakkan kita untuk masuk ke neraka. Maka kalau nak dibandingkan dengan nikmat Allah dari seluruh tubuh ini. Memang kita ini layak sahaja ke neraka. Sedarlah diri anda di depan Allah. Malulah untuk meminta sesuatu yang kita tahu kita tidak layak. Sebagai contoh kita yang buta IT ini, tapi nak minta jadi CEO di syarikat Microsoft. Malu ke tidak. Mungkin nak pulas tombol pintu ke bilik temuduga sahaja sudah amat memalukan kita. Apalagi dengan Allah, kita memohon sesuatu yang memang kita tidak layak. Sedarlah diri sebelum memohon jadi CEO di syurga.

Susun nikmat Allah yang kita ambil percuma dan bandingkan dengan amal kita. Layak atau tidak? Jangan fikir tentang amal kita sahaja tanpa menolaknya dengan nikmat Allah. Huruf 'S' di depan perkataan Syurga sahaja aku sudah amat amat malu untuk menyebutnya. Apalagi untuk menyebut penuh perkataan 'Syurga' itu. Nak pecah jantung aku untuk menyebutnya. Tolonglah tuan-tuan, hapuskanlah perkataan syurga dari hati dan otak tuan-tuan. Jangan sampai syurga itu menjadi jerat kepada kita untuk lagi jauh dengan Allah. Saya sudah katakan sebelum ini, Allah itu lebih dari syurga dan seisinya, Allah itu lebih dari neraka dan seisinya. Hanya Allah sahaja cukup, tidak syurga dan tiada neraka. 'Full stop' hanya pada Allah.