Tuesday 18 November 2014

Merasa Diri Ahli Syurga

Kadangkala aku merasa hairan dengan perasaan yang seperti ini sehinggakan boleh merasa dirinya adalah dari golongan ahli syurga, merasakan dirinya pasti masuk syurga, merasakan Islam dari alirannya sahaja yang bakal memasuki syurga. Berkata-kara seolah-olah dirinya sudahpun berada dalam syurga. Memandang orang lain yang nampak seperti alim dan warak adalah bakal ahli syurga. Berbuat baik untuk masuk syurga. Mencari pahala supaya Allah bagi masuk syurga. Bersedekah untuk dapat pahala supaya Allah pilih dia untuk masuk syurga. Membina masjid besar dan indah, supaya Allah bina untuknya sebuah mahligai besar dan indah di syurga. Syurga, syurga dan syurga.

Benarkah kita ni layak masuk syurga? Sedangkan beribadat ratusan tahun tidak layak masuk syurga dengan nikmat sebelah mata. Bagaimana pula dengan berbuat baik hanya beberapa puluh tahun layak memasuki syurga. Kenapa tidak kita banding nikmat Allah ini yang pasti tidak boleh kita tebus di depanNya untuk masuk syurga? Kita tidak boleh masuk syurga dengan apa yang kita buat di atas dunia ini. Tidak boleh. Tidak mampu. Tidak layak. Kita sedarkah siapa kita ini? Meminta dengan tuhan yang Maha Tahu untuk masuk syurga. Nabi itu yang dijamin syurga pun, bersembahyang sampai bengkak kaki untuk jadi orang yang bersyukur. Kalau kita dijamin masuk syurga, belum tentu boleh buat seperti nabi.

Nikmat sebelah mata sahaja sudah melayakkan kita untuk masuk ke neraka. Maka kalau nak dibandingkan dengan nikmat Allah dari seluruh tubuh ini. Memang kita ini layak sahaja ke neraka. Sedarlah diri anda di depan Allah. Malulah untuk meminta sesuatu yang kita tahu kita tidak layak. Sebagai contoh kita yang buta IT ini, tapi nak minta jadi CEO di syarikat Microsoft. Malu ke tidak. Mungkin nak pulas tombol pintu ke bilik temuduga sahaja sudah amat memalukan kita. Apalagi dengan Allah, kita memohon sesuatu yang memang kita tidak layak. Sedarlah diri sebelum memohon jadi CEO di syurga.

Susun nikmat Allah yang kita ambil percuma dan bandingkan dengan amal kita. Layak atau tidak? Jangan fikir tentang amal kita sahaja tanpa menolaknya dengan nikmat Allah. Huruf 'S' di depan perkataan Syurga sahaja aku sudah amat amat malu untuk menyebutnya. Apalagi untuk menyebut penuh perkataan 'Syurga' itu. Nak pecah jantung aku untuk menyebutnya. Tolonglah tuan-tuan, hapuskanlah perkataan syurga dari hati dan otak tuan-tuan. Jangan sampai syurga itu menjadi jerat kepada kita untuk lagi jauh dengan Allah. Saya sudah katakan sebelum ini, Allah itu lebih dari syurga dan seisinya, Allah itu lebih dari neraka dan seisinya. Hanya Allah sahaja cukup, tidak syurga dan tiada neraka. 'Full stop' hanya pada Allah.





No comments:

Post a Comment