Friday 20 March 2015

Maka Halal Darahku

Sepanjang aku mencari makrifat. Ada aku terjumpa ayat di atas. Orang itu berkata, lebih kurang maksudnya, sekiranya aku membocorkan atau memberitahu kepada kamu rahsia Allah, maka halal darahku. Aku tersentak membacanya. Orang yang menyimpan rahsia Allah, mengaku secara terang-terangan bahawa dia layak di bunuh sekiranya dia membocorkan rahsia Allah.

Dashyat sungguh mereka-meraka yang menyimpan rahsia Allah ini, sehingga halal darah mereka kerana membuka rahsia yang Maha Kuasa. Aku sudah menyatakan dahulu, bahawa rahsia Allah peringkat tinggi tidak akan aku bukakan. Memang aku tidak akan bercerita, menerangkan, menghuraikan, memberitahu, menyatakan apa-apa rahsia Allah peringkat tinggi. Memang darahku akan menjadi halal. Kalian tidak bersalah. Akulah yang bersalah. Maka dengan itu halal darahku.

Aku telah bersalah kerana telah membocorkan rahsia gila, rahsia sukar, rahsia tak boleh faham, rahsia alam, rahsia Allah kepada kalian. Sewaktu Allah membuka rahsianya kepada aku. Aku tahu rahsia ini, tidak boleh aku ceritakan kepada umum. Memang aku akan dituduh gila dan halal darahku. Tapi aku nak beritahu juga. Cuma yang boleh aku beritahu hanyalah jalan untuk berjumpa kepada rahsia sahaja, yang lain tidak boleh aku beritahu dan tidak boleh aku ceritakan.

Rahsianya secara terus, tidak boleh aku ceritakan. Itu kena cari sendiri sehingga Allah bukakan rahsianya kepada kamu. Maka yang aku boleh ceritakan disini hanyalah jalan kepada menemui rahsia Allah. Ingat jalan ada banyak. Belum tentu jalan yang anda temui itu jalan yang betul. Macamana nak tahu betul. Anda sendiri akan tahu.

Sampai anda boleh berkata, jika aku bocorkan rahsia Allah, maka halal darahku. Mungkin masa itu anda sudah pun mengetahui rahsia Allah. Apa dia rahsia Allah yang jika anda bocorkan maka anda layak dibunuh? Anda sendiri pun takut nak sebut rahsia itu kepada umum.

Dalam sejarah memang ada orang yang berani membocorkan rahsia Allah, mereka ini ada yang dituduh gila dan ada yang telah dipancung. Mereka ini berani. Tiada apa lagi yang mereka takutkan dalam hidup kecuali Allah. Orang sebegini memang sudah tiada yang lain kecuali Allah. Mereka sudah tidak peduli tentang dunia, diri mereka dan orang lain, sebab mereka hanya peduli tentang Allah. Maka apa perlunya yang lain. Maka ketika itu mereka membocorkan rahsia Allah semahu hati mereka dan sesuka hati mereka.

Orang yang sudah sampai peringkat asyik dengan Allah, tiada apa lagi yang boleh mengganggu mereka. Kalau diri mereka pun sudah tidak lagi mereka peduli, apa lagi pandangan masyarakat sekitar. Orang seperti ini memang telah dicatatkan dalam sejarah. Tiada sesiapa pun yang faham mereka. Tiada sesiapapun yang faham apa yang mereka katakan. Tiada sesiapapun yang mampu menghuraikan apa yang mereka perkatakan. Hanya mereka sendiri yang faham setiap apa yang mereka katakan. Maka tuduhan sesat dan gila adalah yang paling layak untuk orang seperti ini.

Tapi seiring perjalanan masa. Allah itu membukakan rahsiaNya untuk orang-orang selepas mereka, supaya ada yang tahu apa yang pernah dikatakan oleh mereka yang gila ini. Adakah mereka ini betul-betul gila, atau mereka inilah yang benar-benar faham rahsia Allah. Mereka yang Allah telah bukakan rahsia ini, faham bahawa sebelum mereka faham rahsia Allah. Allah telah bukakan rahsiaNya kepada orang-orang sebelum mereka. Jadi bila mereka mengkaji. mereka tidak sendirian. Bukan mereka sahaja yang Allah pernah bukakan rahsiaNya. Banyak lagi orang lain yang pernah Allah bukakan rahsiaNya sebelum mereka.

Aku rasa di sini aku telah memahami, aku tidak sendirian, dan aku mahu orang lain yang tahu rahsia Allah juga tahu mereka tidak bersendirian. Walaupun kita berjauhan tetapi kita berkongsi rahsia yang sama. Rahsia yang hanya kita yang faham. Orang sebelum kita telah berkongsi rahsia mereka dan membocorkan rahsia Allah, adalah untuk kita yang terkemudian ini tahu yang kita tidak bersendirian. Maka atas dasar ini, aku bercerita di sini. Aku mahu mereka diluar sana dan mereka yang belum lahir, yang belum wujud lagi sekarang akan tahu esok, bahawa mereka tidak bersendirian.

Apa yang boleh aku katakan. Pilihan di tangan kamu. Kamu boleh simpan rahsia ini seperti mereka yang juga menyimpan rahsia ini, atau kamu boleh memilih untuk asyik dengan Allah dan membocorkan rahsiaNya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui semuanya itu.

Aku mohon maaf sekiranya ada kesalahan dalam tutur kataku ini. Aku hanya berkongsi. Tidak bermaksud apa-apa. Cuma aku pohon hati-hati dalam menyampaikan rahsia yang sukar difahami ini. Takut disalah erti dan boleh menyebabkan kita dituduh sesat. Bukan salah yang menuduh. memang salah kita kerana membuka rahsia tanpa ilmu.

Kepada mereka diluar sana yang benar-benar memahami makrifat, berhati-hatilah dalam menyampai ilmu yang sukar difahami ini. Gunakan ayat atau kiasan yang mudah ke arah jalan untuk memahami rahsia. Jangan ceritakan rahsianya secara terus, atau darahmu akan menjadi halal.

Allah Itu...



Allah itu wujud
Kita pun wujud
Akan sampai masa kita tiada
Tapi kita tidak nampak siapa sebenarnya yang wujud

Allah itu berkata-kata
Kita pun berkata-kata
Akan sampai masa kita bisu
Tapi kita tidak nampak siapa sebenarnya yang berkata-kata

Allah itu cantik
Kita pun cantik
Akan sampai masa kita jadi buruk dan membusuk
Tapi kita tidak nampak siapa sebenarnya yang cantik

Allah itu hebat
Kita pun hebat
Akan sampai masa kita jadi lemah dan lebur
Tapi kita tidak nampak siapa sebenarnya yang hebat

Apa kita ini
Semua pun tidak nampak
Ada mata tidak pandai nak melihat
Ada akal tidak pandai nak guna

Sebab apa
Sebab yang kita nampak hanya diri

Aku yang wujud
Aku yang hebat
Aku yang cantik
Aku yang kuat
Kita lupa siapa sebenarnya AKU itu

Ilmu yang TIADA



Ilmu aku ini
Ilmu mati
Ilmu aku ini
Ilmu mayat
Ilmu aku ini
Tiada guru

Mana mungkin mayat berguru
Mana mungkin mayat berkehendakkan kepada guru
Orang yang hidup saja yang ingin sangat berguru
Orang yang hidup saja yang berkata kalau tiada guru
Gurunya syaitan iblis

Syaitan dan iblis tidak peduli dengan mayat
Syaitan dan iblis nak goda mayat macamana
Roh sudah tiada
Jasad pun sudah tiada
Apa lagi yang ingin digoda

Masih lagi nak cari guru
Carilah
Aku tidak menghalang
Aku sudah memberitahu
Terpulanglah nak jadi mayat
Atau nak cari guru
Sebab guru pun akan jadi mayat

Aku pilih jalan pintas
Aku tidak suka terbeban dengan manusia
Aku suka menjadi mayat
Mayat sudah tiada dunia
Tiada dunia, tiada guru, tiada apa
Ilmu ini ilmu yang TIADA

Lihatlah Diri



Lihatlah diri
Sampai timbul rasa hairan
Lihatlah diri
Sampai timbul rasa pelik
Lihatlah diri
Sampai timbul rasa takut
Lihatlah diri
Sampai tiada

Sampai tiada apa lagi yang ingin dilhat
Boleh ke lihat diri sampai tiada

Berani ke lihat diri sampai tiada
Di mana nak lihat diri sampai tiada

Pernah dengar ke tempat tinggal namanya kubur
Selalu ke melawat kubur
Setahun sekali ke seumur hidup sekali

Kalau tempat nak dapat ilmu yang tiada pun jarang pergi
Mana nak faham kubur
Mana nak faham ilmu yang tiada

Takpe lambat laun pun akan faham juga
Atau dipaksa faham sebab sudah ke kubur
Nak dipaksa faham
Atau nak faham sebelum dipaksa

Aku dah beritahu
Aku dah ingatkan
Aku dah menyampaikan
Jangan cakap aku berpeluk tubuh
Jangan cakap aku tidak beri peringatan

Selalulah ke kubur
Disitu ada jawapannya
Cari sampai dapat
Selagi tak dapat jangan balik

Bawa tilam bantal tidur di sana
Esok-esok tidur di sana tanpa bantal
Cari-carilah orang yang telah tiada

Mati Itu Pasti



Mati itu pasti
Seperti pastinya kau hidup
Mati itu pasti
Seperti pastinya kau melihat
Mati itu pasti
Seperti pastinya kau berfikir
Mati itu pasti
Seperti pastinya kau berlari
Mati itu pasti
Seperti pastinya kau akan mati

Jangan biarkan hari matimu menjadi hari penyesalan buatmu
Jangan biarkan hari matimu menjadi hari jeritan buatmu
Jangan biarkan hari matimu menjadi hari kau kenal tuhanmu

Jadikan hari ini, hari kau mengenal dirimu
Jadikan hari ini, hari kau mengenal tuhanmu
Jadikan hari ini, hari kau mengenal hari matimu

Di dalam mati ada segalanya
Ada kesakitan, ada kenikmatan, ada tuhan, ada penyesalan, ada kegembiraan
Masa hidup ini untuk memilih apa kau mahu di saat matimu
Selepas itu masa memilih sudah tamat
Tiada apa lagi yang mampu kau pilih
Hanya terima apa yang kau buat sepanjang umurmu
Ingat, pilihan itu bermula sekarang
Jadi pilihlah sesuka hatimu apa yang kau mahu

Singkat dan Sekejap



Hidup ini singkat dan sekejap
Untuk mencari Allah
Hidup ini singkat dan sekejap
Untuk mengecap nikmat Allah
Hidup ini singkat dan sekejap
Untuk kita berpura-pura
Hidup ini singkat dan sekejap
Untuk kita berfoya-foya
Hidup ini singkat dan sekejap
Untuk kita menipu sana-sini
Hidup ini singkat dan sekejap
Untuk kita tahu apa yang sekejap

Tahu-tahu
Sudah tiada
Tahu-tahu
Sudah hilang
Tahu-tahu
Sudah hancur
Tahu-tahu
Allah sudah didepan mata

Baharulah minta dihidupkan semula
Baharulah minta untuk bertaubat
Baharulah tahu Allah itu memang wujud

Tidak tidak tidak
Masa itu sudah terlambat
Tiada lagi peluang kedua
Tiada lagi untuk hidup semula
Tiada lagi untuk menyembah Allah

Maka gunalah masa yang singkat dan sekejap
Gunakan sebaik yang mampu
Gunakan sebaik yang boleh
Kerana benda yang sekejap terlalu berharga untuk dibazirkan