Sunday 17 August 2014

Orang Syariat Mengupas Hakikat

Saya telah katakan dalam post sebelum ini
Janganlah anda mengupas sesuatu yang anda tiada kefahaman tentangnya
Takkanlah dengan mengaji beberapa puluh dan ratus kitab anda telah layak mengupas sesuatu yang anda tidak pernah merasainya

Orang yang tidak merasai Allah, jangan kupas dan cakap tentang Allah
Seperti durian, anda membaca sejuta kitab tentang rasa durian, tidak sama dengan anda sendiri merasainya dengan lidah

Saya terpanggil mengupas sedikit isu ini kerana melihat video di internet tentang isu ini
Seseorang bercakap tentang sesuatu yang dia tidak tahu
Saya sangat sedih kerana orang ini jelas memperlekehkan ilmu hakikat



Persoalan yang ditimbulkan mudah, rumah kita dimasuki pencuri, kita nak buat repot polis, dan polis itu ahli hakikat, bila kita nak buat repot polis, polis itu suruh kita balik, tak perlu buat repot kerana semua itu sudah ketentuan Allah.

Mudah sangat menghukum ahli hakikat dengan cerita sebegitu. Saya nak tanya, sudah berapa orang guru hakikat yang orang ini pernah berguru? Faham ke dia itu tentang ilmu hakikat? Betul ke ahli hakikat akan memberi jawapan sebegitu kalau dia seorang polis? Pernah ke dia berjumpa dengan polis yang juga ahli hakikat? Adakah jawapan ini satu agakkan atau tomahan liar tanpa asas?

Jangankan ahli hakikat, ahli makrifat juga ada yang bekerja dan makan gaji. Kami juga mencari rezeki yang telah Allah tetapkan untuk kami. Kami berjalan dan bergerak dan bertugas macam semua manusia dan makhluk dan khalifah lain bekerja dan bertugas. Kami tidak bodoh untuk tidak dapat membezakan antara kerja kami dan kefahaman kami kepada Allah.

Rahsia Allah kami jaga dengan rapi, cuma kadangkala tu terlepas juga apabila berbicara. Kami tahu tanggungjawab kami dengan manusia lain, kami tahu tanggungjawab kami dengan Allah. Jangan hina kami hanya kerana kami kenal Allah. Saya nak beritahu kepada mereka ini, jaga mulut dalam berbicara. Dalam berbicara takutlah kamu kepada Allah, bicara kamu dengan hati, hati kamu Allah yang nilai dan tahu. Kamu rasa kamu berkata benar, kebenaran sebenar di dalam pemahaman Allah, tidak terlepas satu pun, walaupun ia lebih kecil dari kuman.

Kepada mereka semua di luar sana, bercakaplah tentang apa yang kamu tahu dengan berguru. Jangan bercakap tentang ilmu yang kamu tidak pernah berguru. Ilmu hakikat dan makrifat tidak semudah yang kamu pernah dengar dan baca dari buku-buku. Orang-orang hakikat dan makrifat juga tidak seperti cerita-cerita karut yang pernah ditaburkan kepada kamu. Saya hanya orang bodoh yang tiada apa-apa. Saya tiada apa-apa ilmu, saya cuma ingin kenal Allah sebagaimana Allah mengenali dirinya sendiri. Itu sahaja.

Kenal Diri, Kenal Allah

Perkataan ini mudah
Semua orang pernah dengar perkataan ini
Semua orang macam faham sangat perkataan ini
Saya sendiri pernah dengar orang menyebutnya
"Nak kenal Allah senang je, kenal diri, kenallah Allah"
Mudahnya nak kenal Allah
Betulkah?

Cuma sayangnya, tidak semua orang boleh faham sejuta rahsia dalam perkataan itu
Perkataan itu mengandungi rahsia alam keseluruhannya dan rahsia Allah keseluruhannya
Sebenarnya dalam diri itu ada Allah
Kalau tidak masakan dengan kenal diri, boleh kenal Allah, kalau Allah itu tidak duduk di dalam diri

Cuma bagaimana nak faham makna yang tersirat di sebalik ayat itu sahaja yang menjadi persoalannya
Semua orang boleh mengupasnya mengikut kefahaman masing-masing
Semua orang boleh kata dia kenal diri dan dia kenal Allah
Tapi betulkah semua orang kenal Allah dan diri itu sekenal-kenalnya seperti maksud sebenar ayat ini?

Rahsia disebalik ayat itu mempunyai sejuta rahsia yang tidak terungkai
Siapa yang Allah beritahu maksud rahsia ayat ini, itulah perjanjiannya
Siapa yang belum dapat maksud rahsia ayat ini, itulah juga perjanjiannya

Cuma saya harap tuan-tuan tidak berhenti mencari Allah
Tolonglah jangan berhenti mencari Allah
Allah itu dekat, sangat dekat dari semua yang dekat

Jawapannya Tidak

Apakah kamu kira, mereka yang telah melihat Allah, bicaranya sama dengan kamu?
Jawapannya tidak

Apakah kamu kira mereka yang telah merasa Allah, akalnya sama dengan kamu?
Jawapannya tidak

Apakah kamu kira mereka yang telah memahami Allah, seluruh hidup dan jiwa raganya sama dengan kamu?
Jawapannya tidak

Maka apakah kamu fikir, kamu boleh memahami aku?
Jawapannya tidak

Maka janganlah kamu menghina aku

Akal Lama, Akal Baru

Aku merasa akalku telah ditukar dengan akal yang baru keseluruhannya
Aku melihat semua benda dengan perasaan yang berbeza, dengan apa yang telah ku lihat dengan akal lamaku
Dan aku terkejut kenapa dengan akal lamaku, aku tidak boleh nampak ini semua
Adakah akal lamaku telah menipuku, atau akukah yang telah menipu akalku
Memahami sesuatu dengan akal yang berbeza pasti sukar untuk memahamkan sesuatu kepada mereka yang masih dengan akal yang lama
Aku pun dulu tidak faham tentang Allah bila menggunakan akal yang lama
Jadi aku faham sangat kalau kamu juga tidak faham Allah kerana menggunakan akal yang lama kamu
Harap akal lama kamu akan Allah tukarkan dengan akal yang baru

Allah Cantik

Aku melihat babi cantik, aku nampak cantiknya Allah
Aku melihat anjing yang cantik, aku nampak cantiknya Allah
Aku melihat kucing yang comel, aku nampak cantiknya Allah
Aku melihat makhluk yang dikatakan manusia sebagai hodoh, di situ aku melihat cantiknya Allah
Aku melihat lelaki buta, aku nampak cantiknya Allah
Aku melihat kereta berlanggar, aku nampak bijaknya Allah
Aku melihat hutan terbakar, aku nampak bijaknya Allah
Allah itu cantik dan bijak
Sesiapa yang boleh nampak, alangkah beruntungnya dia dapat melihat kecantikkan Allah

Mencari Diri

Apabila mencari diri, aku hilang, aku sesat dan aku tiada jawapan, sebagai makhluk, aku tidak suka kepada benda yang tiada jawapan. Jadi aku cuba mencari siapa yang ada jawapan kepada diri aku. Malangnya aku tidak jumpa sesiapa pun yang memegang jawapan kepada persoalan tentang diri aku ini di antara semua manusia yang wujud di dunia ini.

Manusia yang hidup di dunia ini tidak seorang pun boleh menjawab persoalan tentang aku, kerana manusia suka memberi jawapan semulajadi adalah jawapan kepada kemunculan aku, sedangkan aku amat pasti, aku yang hebat ini tidak mungkin jawapannya semulajadi.

Bumi, matahari dan bintang tidak boleh dijawab dengan semulajadi. Itu semua jawapan yang karut, dari otak yang karut. Mesti ada sesuatu yang boleh menjawab semua persoalan tentang aku ini, tetapi siapakah dia yang memegang jawapan segala rahsia alam ini. Alam yang hebat ini pasti ada sesuatu yang memegang jawapan keseluruhannya.

Sesuatu yang memegang jawapan alam yang hebat ini pastilah dia sendiri lebih hebat dari rahsia alam yang dipegangnya ini. Maka aku telah berjumpa dengan sesuatu itu yang memegang semua rahsia alam, dia aku gelar tuhan, dia tidak punya nama, tapi dia tahu setiap yang bernama memerlukan nama, jadi dia memperkenalkan dirinya sebagai Allah yang Esa. Maka dia pun menceritakan padaku semua rahsia alam yang rahsia ini.

Pada mulanya aku ingatkan rahsia, tetapi apabila Dia bercerita, barulah aku tahu semuanya tiada yang rahsia. Jawapan itu adalah terang dan jelas pada semua yang ada, seperti Dia juga yang terang dan jelas pada semua yang ada.

Friday 1 August 2014

Hairan Dengan Diri Sendiri

Merasa hairan melihat diri
Aku pun amat terkejut apabila melihat diri aku
Apatah lagi melihat diri orang lain
Dari mana datangnya aku ini
Dan dari mana datangnya orang lain itu
Kenapa aku meilhat orang lain itu tidak merasa hairan melihat diri mereka?
Kenapa hanya aku sahaja yang hairan melihat mereka?

Jawabnya, mereka tidak kenal diri mereka.
Kerana itulah mereka tidak pernah berasa hairan melihat diri mereka sendiri.
Mengenal diri, akan menimbulkan rasa hairan apabila melihat diri.
Kenapa soalan dari mana asal aku tidak ditanya?
Kenapa soalan aku berasal dari mana tidak pernah ingin dijawab?
Kenapa satu soalan yang tidak mungkin dapat anda jawab, tidak cukup menghairankan anda
Tidak takutkah kita, pada soalan yang tiada jawapan?
Tidakkah merasa pelik melihat diri yang asalnya dari tiada kepada ada dan kembali kepada tiada?
Kalau itu tidak cukup pelik, apakah ada lagi perkara yang lebih memelikkan dari itu?

Kenal diri, kenal Allah.
Rahsianya sudah ada disitu.
Siapa yang cari akan dapat jawapannya.

Carilah rahsia kenal diri, rahsia kenal Allah akan muncul disebalik rahsia kenal diri.
Pelik melihat diri, akan membuatkan kita terkejut melihat Allah.
Cuma nak kenal diri itu sahaja yang membuatkan ramai orang tak faham-faham dan tak dapat rahsia mengenal diri itu.

Rahsia memang susah dan sukar, kalau senang tidaklah namanya rahsia, cuma bila dah tahu, rupa-rupanya bukanlah rahsia sangat pun, cuma buta nak nampak rahsia.

Tengoklah diri anda sendiri, sedalam-dalamnya sampai timbul rasa hairan anda melihat diri sendiri.

Mati Itu Menghilangkan...


Rasa gembira
Rasa ketawa
Rasa marah
Rasa sedih
Rasa dengki
Rasa khianat
Rasa bangga
Rasa riak
Rasa takbur
Rasa bagus
Rasa tinggi
Rasa besar
Rasa kecil
Rasa kuasa
Rasa pangkat
Rasa duit
Rasa aku
Rasa tuhan
Dan segala macam rasa...

Kenapa suatu keadaan yang boleh menghilangkan segala rasa tidak diambil tahu oleh manusia?
Mengambil tahu tentang mati hanya untuk mendatangkan rasa tuhan. Tolonglah sedar diri yang akan mati ini tentang tuhan yang sentiasa hidup.

Mencari Allah Itu Ibarat...

Sudah pun melihat tetapi masih mencari mata
Sudah pun menghidu tetapi masih mencari hidung
Sudah pun mendengar tetapi masih mencari telinga
Sudah pun merasa tetapi masih mencari lidah

Sudah pun memegang tetapi masih mencari tangan
Sudah pun berjalan tetapi masih mencari kaki
Sudah pun bernafas tetapi masih mencari paru-paru
Sudah pun kenyang tetapi masih mencari perut

Apakah lagi yang sebenarnya di cari?
Apakah lagi yang tidak difahami?
Apakah lagi yang masih kabur?
Apakah lagi ayat yang harus digunakan supaya faham?
Kenapa masih lagi tidak faham-faham?
Adakah kerana roh masih di badan?
Atau kerana mata yang melihat telah membutakan mata hati dari melihat Allah?