Tuesday 14 July 2015

Lailatul Qadar

Sempena kita masih di dalam bulan Ramadhan
Aku ingin bercakap sedikit tentang malam Lailatul Qadar
Malam yang lebih baik dari seribu bulan atau bersamaan 83 tahun
Aku melihat manusia semakin sibuk meneka malam bilakah malam seribu bulan
Ada yang kata pada malam semalam, ada yang kata mengikut ilmunya pada malam kelmarin
Hakikatnya...ia rahsia Allah
Biarlah ia menjadi rahsia, jangan kita menunjuk pandai seolah tahu sangat bila malam Lailatul Qadar

Ada mereka mencari-cari malam Lailatul Qadar
Ada yang merasakan mereka telah mendapat lesen masuk ke syurga kerana beribadah dalam seluruh Ramadhan
Ada yang meningkatkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadhan, juga sebab nak sangat jumpa malam Lailatul Qadar sebab dapat masuk ke Syurga

Aku tertanya-tanya mana yang lebih penting?
'Allah' kah, atau malam Lailatul Qadar
Ingat 'Allah' kah atau malam Lailatul Qadar
Cari 'Allah' kah atau malam Lailatul Qadar
Aku mencari pemberi malam Lailatul Qadar
Aku ingin pencipta malam Lailatul Qadar
Hanya itu yang aku mahu
Yang lain semua aku tak peduli

Hidup aku dan seluruhnya hanya untuk Allah
Bukan untuk malam Lailatul Qadar
Allah itu lebih baik dari SEJUTA BULAN

Aku Sangat Malu Berdoa

Dulu aku seperti kamu

Selalu berdoa
Selalu meminta
Macam-macam yang aku minta
Ini aku minta, itu pun aku minta
Semua pun aku nak
Kaya, sihat, cantik, bergaya, beriman, bertaqwa
Dan sejuta macam permintaan lagi

Sekarang aku sangat malu
Malu mengangkat tangan
Nak angkat tangan pun aku rasa seperi aku sangat menderhaka kepada tuhanku
Dengan siapa tanganku angkat?
Dengan siapa pula aku meminta?
Aku mengangkat tangan dengan tuhan yang namanya Maha Pemurah
Aku meminta dengan tuhan yang Maha Memberi
Apa sebenarnya yang aku minta?
Apakah tuhan yang Maha Tahu itu tidak tahu apa yang aku mahu?
Maka aku perlu beritahu tuhan yang Maha Tahu apa yang aku mahu?
Apakah aku lebih tahu apa yang terbaik untuk aku?
Atau tuhan yang Maha Tahu itu lebih tahu apa yang terbaik untuk aku?
Aku nak minta apa sebenarnya?

Aku minta sihat
Tuhan kata sakit itu baik untukku
Kenapa aku mahu sihat? Lebih baik aku sakit
Aku minta kaya
Tuhan kata miskin itu lebih baik untukku
Kenapa aku mahu kaya? Lebih baik aku miskin
Aku minta panjang umur
Tuhan kata pendek umur itu baik untukku
Kenapa aku mahu panjang umur? Lebih baik aku pendek umur
Bukankah tuhan itu tahu apa yang baik untuk kita?
Kenapa nak minta macam-macam lagi
Cukuplah tu
Biar tuhan buat kerja Dia
Kita buat kerja kita

Kita ini minta semua yang baik
Minta semua yang bagus
Minta semua yang tinggi-tinggi
Sedangkan tuhan itu sudah tetapkan segalanya baik untuk kita
Sakit pun baik untuk kita
Miskin pun baik untuk kita
Mati pun baik untuk kita

Tapi kepada mereka yang masih mahu berdoa
Buatlah
Kalian tidak bersalah
Aku tidak juga marah
Cuma aku minta kalian baca dan fahamkan kataku di atas
Doaku sudah makbul sebelum aku turun ke dunia ini
Terima kasih tuhan

Daripada Tiada Kepada Tiada

Kadangkala manusia lupa untuk merenung diri yang Tiada kepada Tiada. Diri yang Tiada hendak menuju kepada yang Tiada. Ibarat 0 + 0 = 0, 0 - 0 = 0, 0 X 0 = 0. Faham ke kosong tu apa? Kosong tu maksudnya tiada. Faham ke tiada tu apa? Tiada tu maksudnya hilang. Hilang tu hilang ke mana? Pernah ke tanya hilang tu perginya ke mana? Jumpa ke apa yang ADA di dalam Tiada tu?

Di dalam Tiada tu ada sejuta rahsia ADA. Mereka yang benar-benar ingin cari dan faham maksud Tiada itu sahaja yang akan berjumpa dengan yang ADA di dalam Tiada itu. Kadangkala aku merasakan bukannya susah nak faham Allah kalau boleh faham maksud dari Tiada menuju Tiada. Senang sangat rasanya. Tapi yang peliknya kenapa susah sangat manusia nak faham yang Tiada. Jawapannya, mereka yang Ada tidak mungkin faham yang Tiada. Hanya mereka-mereka yang Tiada sahaja yang faham apa itu ADA di dalam Tiada. Rahsianya aku dah buka terang dan nyata. Terpulang untuk benar-benar menjadi diri yang tiada. Aku dah beritahu sebelum ini, dalam mati itu ada sejuta rahsia tuhan. Carilah mati. Pergilah mati. Kuburkan banyak. Masuk je ke dalam, dan jadilah yang Tiada. Harap-harap dapat berjumpa yang ADA.

Tuesday 7 July 2015

Kepada Ustaz, Jangan Menghina!

Sejak akhir-akhir ini aku mendengar banyak ceramah agama dari mereka-mereka yang digelar ustaz memberi ceramah agama dengan menyampaikan cerita-cerita menghina, memperlekeh dan merendah-rendahkan umat Islam yang lain yang mana tuhan mereka juga adalah Allah.

Antara yang sering aku perhatikan bicara dari mereka yang bergelar ustaz ini sering memperlekehkan mereka-mereka yang seagama dan berkongsi satu tuhan dengan ustaz-ustaz ini ialah, mereka dari golongan yang tidak ke surau atau ke masjid. Ada ustaz yang melabelkan mereka yang tidak ke surau dan ke masjid ini tidak akan dapat menjawab soalan Marabukka. Hebat ustaz ini sehingga ia begitu pasti tentang persoalan orang lain di dalam kuburnya, malah ia begitu pasti ia dapat menjawab soalan marabukka ke atas dirinya.

Sepanjang aku membaca cerita wali tidak pernah sekali pun aku terjumpa dengan wali Allah yang berbicara seperti ini. Malah Tok Kenali pun dalam pengetahuan aku tidak pernah berbicara seperti ini. Apakah mereka yang tidak pernah ke surau dan masjid ini pasti menjadi ahli neraka. Adakah ustaz yang berserban dan berjubah itu pasti semuanya ahli syurga? Kadangkala aku merasa kasihan dengan ustaz-ustaz yang merasa diri mereka seolah-olah pasti ahli syurga dan dapat menjawab soalan marabukka.

Pernahkah ustaz-ustaz ini, datang sendiri ke rumah mereka yang tidak pernah ke surau dan masjid ini serta menjemput mereka ke surau dan masjid serta bertanyakan tentang masalah hidup mereka? Kalau jawapan ustaz-ustaz ini tidak pernah menjemput mereka ini ke surau dan masjid. Maka aku rasa ada sesuatu yang ustaz-ustaz ini perlu tanya pada diri mereka.

Ada ustaz yang berceramah menghina mereka-mereka yang memegang surah Yassin secara terbalik. Menghina mereka yang meletakkan makanan untuk doa selamat di atas sejadah. Menghina mereka yang tidak bertudung. Menghina mereka yang tidak bersembahyang. Ustaz ini hanya tahu menghina, menghina dan menghina. Sedangkan mereka memegang gelaran ustaz.

Apa yang lebih menyedihkan ialah ceramah ustaz-ustaz ini diterima oleh orang Islam yang mendengarnya, mereka yang mendengar ceramah ini turut bersikap seperti ustaz-ustaz ini dan meneruskan tradisi menghina mereka yang tidak ke surau dan masjid dan mereka yang tidak tahu membaca Al-Quran.

Apakah amalan seperti ini hendak kita teruskan dan wariskan pada generasi Islam seterusnya. Apakah kita memang suka supaya orang Islam lain tidak dapat menjawab soalan kubur mereka? Apakah kita memang suka supaya umat Islam lain masuk sahaja terus ke neraka? Apakah kita dengan rasa diri aku hanya inginkan aku sahaja yang ke syurga? Apa sudah jadi dengan umat Islam yang semakin sesat dan hanyut ini?

Sepatutnya kalau nampak orang pegang surah Yassin terbalik, ustaz-ustaz dan orang Islam lainnya ajar mereka ini mengaji sampai pandai dan dapat memegang surah Yassin dengan betul. Mereka yang meletakkan makanan atas sejadah, di bimbing dan ditegur secara berhemah supaya meletakkan makanan di tempat yang betul. Mereka yang tidak bertudung dibimbing dengan cara terhormat supaya mereka bertudung. Mereka yang tidak bersembahyang dibuat kelas bimbingan sembahyang supaya mereka dapat bersembahyang dengan cara yang betul.

Islam itu dari tuhan yang penuh dengan sikap lemah lembut. Walaupun tuhan yang sama mempunyai nama-nama yang menakutkan dan menggentarkan jiwa. Kita kena ingat, kenapa harus kita seru nama tuhan yang dashyat dalam menyedarkan orang Islam yang lain. Bukankah lebih baik menyeru nama tuhan dengan nama yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengasihani, supaya kita ada rasa kasih dan mengasihani sesama Islam.

Tetapi untuk menyedarkan diri kita sendiri kepada tuhan, serulah nama-nama tuhan yang menakutkan dan menggentarkan jiwa, supaya kita sedar siapa kita dan siapa tuhan? Siapa hamba dan siapa Tuan? Supaya kita tidak tergamak untuk menghina orang Islam lain di depan tuhan yang Maha Mengasihani. Kalau tuhan pun sayangkan hambanya. Siapa kita hendak menghina hamba tuhan yang lain.

Aku pernah mendengar satu ucapan. Ditakuti nanti di akhirat kelak, ustaz-ustaz inilah yang akan terlebih dahulu memasuki neraka dari Firaun dan Qarun serta orang kafir lainnya.

Kepada ustaz, jangan berbicara seolah-olah diri sudah berada di dalam syurga. Berbicaralah seolah-olah diri ustaz sedang berada di dalam neraka, supaya ustaz-ustaz sendiri sedar, di depan tuhan, ustaz sentiasa seorang hamba yang hina.

Zikir! Sembahyang! Tidur!

Adakah mereka yang berzikir beribu kali itu mampu mengenali Allah
Kalau berzikir beribu kali itu boleh kenal Allah, maka semua manusia mampu kenal Allah

Adakah sembahyang beratus rakaat itu mampu mengenali Allah
Kalau sembahyang beratus rakaat itu mampu mengenali Allah, maka semua manusia mampu kenal Allah

Kenal Allah ini adakah pada zikir
Kenal Allah itu adakah pada sembahyang
Belum tentu orang berzikir itu kenal tuhannya
Belum tentu orang yang bersembahyang itu kenal tuhannya

Kadangkala orang yang sedang tidur itu lebih kenal tuhannya
dari orang yang sedang berzikir dan bersembahyang
Kenal tuhan bukan pada zikir
Kenal tuhan bukan pada sembahyang
Kenal tuhan itu pada kenalnya Diri

Adakah berzikir itu salah
Tidak
Berzikirlah semahu anda
Adakah bersembahyang itu salah
Tidak
Bersembahyanglah semahu anda

Cuma nak beritahu
Kenal Allah bukan dari jalan itu
Kenal Allah dari jalan kenal diri

Mereka yang berzikir itu kadangkala tidak kenal langsung dengan apa yang dizikirkan
Mereka yang bersembahyang itu kadangkala tidak kenal langsung apa yang disembahyangkan

Jangan silap dalam mentafsir kefahaman kepada Allah
Bukan dengan jalan zikir
Bukan dengan jalan sembahyang
Tetapi dengan jalan kenal diri

Dari Yang Tiada

Berfikir tentang Allah
Berfikirlah dari akal yang tiada
Bernafas untuk Allah
Bernafaslah dari rongga yang tiada
Melihat Allah
Melihatlah dari mata yang tiada
Mendengar tentang Allah
Mendengarlah dari telinga yang tiada
Merasa tentang Allah
Merasalah dari deria rasa yang tiada

Jangan berfikir tentang Allah dari otak yang di dalam tempurung kepala
Otak itu otak ciptaan, otak itu otak mengikut adat, otak itu otak Firaun dan Qarun
Otak seperti itu akan menjadikan kamu seperti Firaun yang mengaku tuhan

Tidak, tidak, tidak, otak seperti itu tidak akan menemui tuhan
Otak seperti itu menjadikan kamu tuhan
Kamu jangan salah mempercayai otak, untuk mencari Allah gunakan otak yang tiada
Apa itu otak yang tiada, otak yang tiada itu di dalam tanah
Dalam tanah tiada otak, otak yang tiada itulah yang perlu untuk mencari tuhan

Pandai-pandailah cari otak yang tiada
Dah dapat otak yang tiada itu
Gunalah dengan betul hanya untuk mencari tuhan
Kuasa otak itu tidak terbatas sebab otak itu otak yang tiada jadi ia tidak akan hancur
Semoga kamu menemui otak itu