Wednesday 10 December 2014

Kenal Diri Sahaja

Kenal diri, Kenal Allah. Sebenarnya perkataan itu berdiri pada kenal diri sahaja sudah cukup, sebab dalam diri itu sudah mencakupi semuanya dan seluruhnya. Perkataan kenal Allah itu wujud selepas itu adalah kerana untuk memandu atau sebagai satu garis panduan yang memberitahu apa yang ingin di cari dalam mengenal diri. Jadi orang mudah faham yang ingin di cari dalam mengenal diri.

Kenal diri itu sebenarnya sudah cukup memberitahu kita apa yang hendak dikenal di dalam diri itu. Di dalam diri itu ada sesuatu. Sesuatu yang lebih besar dari seisi langit dan bumi. Sesiapa yang Allah fahamkan maka tahulah ia apa itu DIRI. Sesiapa yang Allah tidak mahu fahamkan, maka tidaklah dia kenal akan apa itu DIRI. Cuma usaha haruslah perlu terus dilakukan hingga di panggil oleh yang empunya diri.

Untuk memudahkan kita faham, gunakanlah ayat Kenal Diri, Kenal Allah. Bila dah faham, dengan sendirinya perkataan kenal Allah itu akan hilang sebab dalam DIRI itu sudah ada semuanya.

Tuesday 9 December 2014

Mandikan Wali Allah

Aku ada terdengar cerita tentang wali Allah. Seseorang yang pernah memandikan wali Allah suatu masa dulu sekarang sudah jadi orang besar yang hebat. Membasuhkan wali Allah selepas wali Allah itu membuang air besar suatu masa dulu sekarang orang itu sudah menjadi orang yang berpangkat dihormati dalam masyarakat. Ada juga aku terdengar, wali Allah itu terberak di dalam teksinya dan teksinya terus menerus mendapat pelanggan, bila najis itu dicuci rezeki terus merosot dan pelanggan pun kurang.

Allah sudah hilang. Apa sudah jadi dengan masyarakat Islam. Di mana Allah itu diletakkan? Memandikan wali Allah, membasuh najis wali Allah, wali Allah terberak dalam teksinya, tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku selepas itu. Tolonglah letakkan semuanya kepada Allah. Wali Allah hanyalah hambaNya, yang paling takut dengan Allah. Sepanjang saya membaca kisah wali Allah, tidak satu pun yang saya jumpa seseorang wali itu mengatakan kalau kamu mandikan aku sekarang, esok lusa kamu akan jadi orang yang hebat. Tiada. Tiada. Tiada. Kenapa pula umat Islam boleh mempercayai perkara baik yang datang selepas itu ada kaitan dengan peristiwa sebelumnya yang hendak dikaitkan telah berlaku di antara wali Allah itu.

Di mana umat Islam meletakkan Allah. Tolong jangan kaitkan apa-apa peristiwa yang berlaku dalam hayat wali Allah itu dengan sesuatu yang berlaku selepasnya. Apa yang berlaku itu datangnya dari Allah. Orang yang memandikan wali Allah dan jadi orang terkenal dan hebat selepas itu kerana Allah hendak ianya berlaku. Teksi yang mendapat pelanggan yang terus menerus, datang dari percaturan Allah mengurus alam ini. Macamana pula seboleh-bolehnya hendak juga dikaitkan dengan peristiwa wali Allah iu terberak dalam teksinya. Tiada perkaitan apa-apa di sini. Harap umat Islam yang ada sekarang ini dapat memahami kuasa Allah tidak bersandar pada apa-apa peristiwa. Kuasa Allah berdiri dengan sendiri. Jangan lagi kaitkan apa-apa yang berlaku di bawah kuasa Allah dengan perbuatan manusia. Allah itu berkuasa menurunkan apa yang dikehendakiNya ke atas manusia.

Hijab Antara Hidup Dan Mati

Sebenarnya di antara hidup dan mati itu ada satu hijab. Hijab itu seluas langat dan bumi dan semuanya dan seisinya dan segala perhiasannya. Hijab ini telah menewaskan ramai hambaNya, termasuk hambaNya yang dulunya seorang yang warak, hambaNya dulu seorang yang alim, hambaNya dulu yang anak muridnya sahaja boleh terbang di atas angin, hambaNya dulu yang Allah bukakan pintu langit untuknya. Banyak sangat yang telah tertewas dengan hijab yang teguh lagi hebat ini. Hijab ini telah menewaskan ramai juga orang yang hebat-hebat ilmunya. Hijab ini hampir tidak tertewas dan tidak pernah tewas.

Hijab ini sangat ampuh. Sangat melekakan. Sangat menggembirakan. Sangat mengakukan. Sangat realiti hingga menghilangkan realiti yang sebenarnya. Hijab ini kuat sungguh. Hampir tidak tertewas. Beruntunglah mereka yang dapat menewaskan hijab ini. Mereka ini hidupnya seperti mati, dan matinya seperti hidup. Mereka ini sentiasa menyeberang antara kedua-duanya seolah-olah kedua-duanya telah bersatu. Hingga tidak dapat dibezakan yang manakah hidup dan yang manakah mati.

Apabila mati badan dan tulang pun hancur. Apa gunanya dunia yang teguh ini terhadap badan dan tulang yang telah hancur di dalam tanah? Apa gunanya dunia yang teguh ini terhadap tulang yang telah pun menjadi debu di dalam tanah. Kalau nak menyeberang, kalau nak angkat hijab ini, runtuhkanlah dunia ini dan segala isinya dan semuanya dan segala perhiasannya hingga menjadi debu. Semua yang dilihat adalah debu, debu, debu dan debu. Maka hilanglah diri, hilanglah alam, hilanglah semua. Kalau semuanya sudah jadi debu dan semuanya sudah hilang. Maka apakah yang ada? Apakah yang tinggal? Apakah yang wujud? Siapakah yang mewujudkan? Siapakah yang menjadikan? Siapakah yang meneguhkan? Siapakah yang menghancurkan?

Nampak ke tak nampak ni? Faham ke tak faham ni? Aku sudah cuba menyampaikan, untuk mendapatkan dan memahaminya dengan jiwa adalah kehendak Dia. Aku cuba sehabis baik dalam menyampaikan. Kalau ada lagi yang datang akan aku sampaikan. Nak ikutkan memang banyak yang datang, tidak tertulis, tidak teringat dibuatnya. Namun aku cuba yang terbaik.