Tuesday 9 December 2014

Hijab Antara Hidup Dan Mati

Sebenarnya di antara hidup dan mati itu ada satu hijab. Hijab itu seluas langat dan bumi dan semuanya dan seisinya dan segala perhiasannya. Hijab ini telah menewaskan ramai hambaNya, termasuk hambaNya yang dulunya seorang yang warak, hambaNya dulu seorang yang alim, hambaNya dulu yang anak muridnya sahaja boleh terbang di atas angin, hambaNya dulu yang Allah bukakan pintu langit untuknya. Banyak sangat yang telah tertewas dengan hijab yang teguh lagi hebat ini. Hijab ini telah menewaskan ramai juga orang yang hebat-hebat ilmunya. Hijab ini hampir tidak tertewas dan tidak pernah tewas.

Hijab ini sangat ampuh. Sangat melekakan. Sangat menggembirakan. Sangat mengakukan. Sangat realiti hingga menghilangkan realiti yang sebenarnya. Hijab ini kuat sungguh. Hampir tidak tertewas. Beruntunglah mereka yang dapat menewaskan hijab ini. Mereka ini hidupnya seperti mati, dan matinya seperti hidup. Mereka ini sentiasa menyeberang antara kedua-duanya seolah-olah kedua-duanya telah bersatu. Hingga tidak dapat dibezakan yang manakah hidup dan yang manakah mati.

Apabila mati badan dan tulang pun hancur. Apa gunanya dunia yang teguh ini terhadap badan dan tulang yang telah hancur di dalam tanah? Apa gunanya dunia yang teguh ini terhadap tulang yang telah pun menjadi debu di dalam tanah. Kalau nak menyeberang, kalau nak angkat hijab ini, runtuhkanlah dunia ini dan segala isinya dan semuanya dan segala perhiasannya hingga menjadi debu. Semua yang dilihat adalah debu, debu, debu dan debu. Maka hilanglah diri, hilanglah alam, hilanglah semua. Kalau semuanya sudah jadi debu dan semuanya sudah hilang. Maka apakah yang ada? Apakah yang tinggal? Apakah yang wujud? Siapakah yang mewujudkan? Siapakah yang menjadikan? Siapakah yang meneguhkan? Siapakah yang menghancurkan?

Nampak ke tak nampak ni? Faham ke tak faham ni? Aku sudah cuba menyampaikan, untuk mendapatkan dan memahaminya dengan jiwa adalah kehendak Dia. Aku cuba sehabis baik dalam menyampaikan. Kalau ada lagi yang datang akan aku sampaikan. Nak ikutkan memang banyak yang datang, tidak tertulis, tidak teringat dibuatnya. Namun aku cuba yang terbaik.

No comments:

Post a Comment