Monday 21 December 2015

Terima kasih Di Atas Perasaan Ini Ya Allah


Engkau telah memberikan aku perasaan yang benar
Perasaan yang ramai orang tidak perasan
Perasaan yang ramai orang abaikan
Sedangkan itulah satu perasaan yang semua orang akan rasa
Sama ada dia seorang raja yang agung atau seorang manusia hina

Perasaan yang membuka segala rahsia diri
Dan segala rahsia alam
Semuanya yang bukan lagi rahsia sebenarnya
Sesuatu yang amat terang dan jelas
Apakah layak dipanggil rahsia

Biasanya yang tersembunyi dipanggil rahsia
Ini yang jelas tak akan hendak dipanggil rahsia
Bagaimankah yang terang dan jelas itu menjadi rahsia?
Aku sedang bingung Ya Allah
Melihatkan manusia melihat rahsiaMu secara terang
Tetapi tidak nampak

Bagaimanakah yang terang itu boleh menjadi rahsia?
Apakah pada bagaimana cara melihat?
Atau bagaimana cara memahami?
Atau Engkaulah sahaja yang boleh memberi faham
Aku pun hairan

Manusia mencari Mu di dalam terang
Allah itu di dalam terang tetapi tidak kelihatan
Di depan Allah
Di belakang Allah
Di bawah Allah
Di atas Allah

Ya Allah aku merepek lagi Ya Allah
Seperti yang pernah aku katakan dahulu Ya Allah
Yang mencari itulah yang sebenarnya yang dicari

Aku jumpa rahsia ini sebab Kau yang bagi nampak
Kalau tidak aku pun tak perasan
Tetapi bila dah perasan Engkau Ya Allah
Memang terlebih perasan
Ke mana sahaja wajahku dihadapkan
Disitulah ada kebesaran Engkau Ya Allah
(ayat terakhir ini terpaksa diubah supaya aku tidak dituduh sesat)

Sedar akan Allah



Ku lihat diriku
Amat terang ku rasa wujudnya Allah
Ku lihat awan
Ku lihat pokok
Ku lihat gunung
Ku lihat mayat
Bergetar jiwa dan tulang akan terangnya Allah

Ada manusia
Lihat diri
Terjumpa monyet
Lihat alam
Terjumpa 'big bang'

Dengan apa mereka melihat
Mungkin dengan akal palsu
Nak tahu aku melihat dengan apa

Aku melihat dengan otakku yang sedang mencair
Disedut ulat mayat
Otak itulah yang sering aku gunakan
Otak itu otak yang nyata
Otak itu tak pandai menipu

Mungkin sebab otak itu tidak tahu menipu
Kerana ia sudah pun mencair di dalam tanah
Sesuatu di dalam tanah memang tidak pandai menipu

Apa yang nak di tipu
Kalau apa pun sudah tiada
Akal ini yang aku mahu kalian faham

Kalau sudah dapat akal ini
Gunalah semahumu
Akal ini tidak terjangkau

Ia akan melepasi awan
Ia akan melepasi neraka
Ia akan melepasi segalanya
Dan ia akan berhenti di depan Tuannya
Di situ dia akan tunduk patuh
Dan tidak akan mengangkat wajahnya lagi
Untuk selama-lamanya

Friday 4 December 2015

Filem 'Box Office'



Sebuah Filem ‘Box Office’
Satu pengarah terhebat
Menghasilkan filem yang terhebat
Filem budget terbesar dalam alam semesta
Pelakon teramai dalam sejarah
Dari Adam sampailah yang terakhir

Macam-macam lakonan ada
Raja Zalim
Raja Terhebat
Orang kaya sombong
Orang miskin sombong
Tuhan Yang Satu
tuhan yang seribu
Sebut apa saja, semuanya ada
Pengarahnya terhebat
Mestilah filemnya ada semua unsur

Dari yang paling cantik sampai yang paling jelek
Dari yang paling indah sampai yang paling buruk
Dari yang paling baik sampai yang paling jahat dan zalim
Dari yang paling tinggi sampai yang paling rendah… bawah tanah

Dalam semua unsur dan cerita hebat itu
Aku pun berlakon juga dalam tu
Ala… watak sampingan saja
‘Extra’ kata orang
Watak yang tak ramai orang tahu
Masa habis filem
Nama ada keluar
Kecil jer sampai siapa pun tak perasan, sebab laju naiknya nama tu
Itulah dia filemnya

Aku dah tengok filem ni sampai habis
Masa first time tonton, memang best
Menangis banyak, macam filem sedih
Ketawa pun ada, tapi sikit jer

Mungkin sebab aku suka menangis dan beri tumpuan bab-bab yang sedih sahaja
Banyak kali dah tengok
Bila dah selalu tengok
Terus terang cakap, memang jemu
Jemu, sampai malas nak tengok dah

Tapi kena tengok jugak
Sebab ini filem ‘Box Office’
Itulah sedikit sinopsis filem box office yang aku dah tengok sampai jemu

Bagi korang semua, tak tahulah aku nak cakap
Korang bayang-bayangkanlah
Pandai-pandailah

Tiket filem box office ni dipegang oleh pengarahnya sahaja
Sesiapa yang bertuah, dapatlah tiket free
Sesiapa yang bertuah jugak, tak dapatlah tiket free

Sebab filemnya dah siap
Jadi semuanya sudah diatur
Skripnya telah siap ditulis sampai ‘The End’
Ikut je lah

Bukan soal suka atau tidak
Bukan soal adil atau tidak
Bukan soal kenapa aku, bukannya dia
Bukan soal itu, soal ini

Ini soal, suka hati pengarahlah
Filem dia
Arahan dia
Penulis skrip dia
Lakon layar dia
Penerbit pun Dia
Kenapa banyak sangat kita ini bertanya itu dan ini
Ikut saja sudahlah

Cuma ingat
Main peranan tu elok-elok
Kalau bab ‘stunt’ tak boleh buat, jangan buat
Kalau rasa tak setuju dengan adegan tu
Boleh bincang
Pengarah ni ‘understanding’

Dia akan bagi watak mengikut kemampuan yang kita boleh buat
Dia tak akan bagi watak yang tak mampu kita bawa
Sebab Dia pengarah yang memahami

Jadi kepada para pelakon sekalian
Faham ke filem ni
Dah habis ke baca skrip
Dah hafal ke skrip lakonan

Yang nak terus berlakon sampai tak sedar diri, silakan
Yang nak berhenti berlakon, silakan
Yang nak berpura-pura teruskan lakonan, silakan

Aku sekarang pura-pura teruskan lakonan
Mungkin esok kalau dah letih, aku nak berhenti berlakon
Tapi tengoklah pada skrip seterusnya
Aku akan bincang dengan Pengarah Filem
Kalau boleh runding tukar ke watak lain ke
Kalau Dia tak bagi, aku teruskan dengan watak yang ada
Ikut la skrip yang dah ada tu
Filem pun memang dah
The End

Wednesday 25 November 2015

Makrifat! Ilmu Tinggi ke Ilmu Rendah?

Bermacam-macam yang aku dengar
Ada orang kata makrifat ilmu yang tinggi
Ada juga orang kata ilmu yang diajarnya lebih tinggi dari makrifat
Makrifat hanya asas
Ilmu yang diajarnya ini lebih tinggi dari makrifat

Ada pula yang berkata makrifat ini ilmu rendah sahaja
Lebih rendah dari segala yang rendah
Orang yang tak faham
Mendengar pun pening
Mana satulah yang betul
Makrifat ini ilmu tinggi ke ilmu rendah?

Aku pun tak faham
Kenapa perlu nak sebut makrifat ilmu tinggi
Aku lebih suka sebut makrifat ini ilmu yang rendah
Ilmu makrifat ini lebih rendah dari tanah
Ilmu makrifat ini ialah ilmu dalam tanah
Ilmu bawah tanah
Tanah ada di atas
Ilmu ini ilmu dalam tanah
Jadi ia berada di bawah

Kalau faham
Sebutlah makrifat ini ilmu apa pun
Lebih tinggi dari langit pun boleh
Lebih rendah dari tanah pun boleh
Orang yang faham, dia tak hairan tinggi atau rendah
Orang yang tak faham dia akan pening
Ilmu makrifat ini sejenis ilmu tinggi ke ilmu rendah

Kalau tanya aku
Aku lebih suka yang rendah
Kalau tinggi takut gayat
Nanti jatuh sakit
Kalau rendah tak gayat
Tapi jatuh dalam kubur sama juga sakitnya tetap sama

Adat manusia bila tinggi terasa hebat
Bila tinggi terasa megah
Bila tinggi mulalah nak lupa diri
Nanti esok ada pula guru makrifat yang menyebut ilmu makrifat yang diajarnya
Lebih tinggi dari ilmu makrifat sipulan bin sipulan
Semua guru makrifat nak jadi pengajar ilmu makrifat yang paling tinggi
Bila dia sudah mengajar ilmu makrifat yang paling tinggi
Mulalah lupa diri yang nak jatuh ke bawah ke dalam kubur
Sebab itu aku tak suka tinggi

Aku suka yang rendah-rendah
Cukuplah
Kita bukan nak tinggi ke rendah
Kita nak kenal Allah
Yang tinggi pun Allah
Yang rendah pun Allah
Letaklah di mana pun
Semuanya pun Allah juga
Nak kenal pun
Nak kenal Allah juga

Tapi bila mati
Mayat kita tidak naik ke langit
Mayat kita jatuh rendah ke dalam tanah
Sebab itu aku suka makrifat ini ilmu yang rendah

Aku Bukan Guru Makrifat

Aku bukan seorang guru
Jangan anggap aku guru
Jangan panggil aku guru
Manusia hina sepertiku tidak layak menjadi guru
Aku tidak mengajar ilmu makrifat
Sebab aku tidak mengajar
Aku tidak layak dipanggil guru
Tidak layak dianggap guru

Aku hanya seorang pencerita
Menceritakan sesuatu
Menyampaikan sesuatu
Memberitahu sesuatu
Panggillah aku penglipurlara

Cerita aku mungkin hanya dongengan
Cerita aku boleh juga sebuah cerita palsu
Cerita aku anggap saja cerita karut

Aku suka bercerita
Cerita yang karut marut
Cerita yang merepek ntah apa-apa
Tak faham pun tidak mengapa
Cerita merepek
Siapalah yang boleh faham

Terima kasih kepada mereka yang sudi membaca cerita merepek aku
Terima kasih kerana membaca cerita karut marut aku
Apalah aku ni
Bercakap pun merapu

Maafkan aku Ya Allah
Aku memang suka merepek

Aku Firaun



Aku adalah Firaun
Cerita aku ini tiada apa yang istimewa
Sebab cerita aku juga adalah cerita kamu
Cerita kamu juga adalah cerita aku

Cuma aku ingin bercerita untuk kamu
Satu cerita yang kamu juga lalui
Iaitu cerita ketika aku membaca kitab loh mahfuzku
Kitab segala diri
Kitab tentang diri
Kitab tentang Allah

Ya, aku manusia zalim
Ya, aku mengaku tuhan
Semua manusia menghinaku
Tanpa mereka ketahui aku ini dari siapa?

Siapakah yang mereka hina
Aku yang lemah
Atau Tuhan yang menjadikan cerita Firaun

Ya Allah! Inikah cerita aku
Ya Allah! Sezalim itukah aku
Ya Allah! Aku berani mengaku tuhan?
Ya Allah! Begitukah cara aku mati
Ya Allah! Akanku turuti tulisan Mu itu
Ya Allah! Aku akan menjadi manusia zalim sama seperti yang sudah Kau tulis dalam kitabMu
Ya Allah! Aku akan mengaku tuhan seperti yang Engkau tuliskan

Bukankah Engkau pengarang cerita?
Bukankah Engkau penentu segala?
Bukankah aku hanya menurut semua tulisanMu tanpa soal?

Siapalah aku untuk mempersoalkan Engkau kenapa aku menjadi Firaun?
Firaun juga dari tuhan bernama Allah
Firaun tidak akan wujud kalau bukan Allah yang menciptakan
Manusia hanya tahu menghina aku
Sebab kitab Firaun bukan ditujukan kepada mereka
Kalau kitab Firaun aku
Allah bagi kepada mereka
Tahulah mereka kenapa aku menjadi Firaun?
Manusia memang begitu menghina sesuka hati
Mengeji sesuka hati
Tanpa memikirkan apa yang dihina
Apa yang dikeji
Adalah tetap datangnya dari Tuhan yang Satu Itu

Aku Mencari Allah



Aku mencari Allah di dalam tindihan tanah
Aku mencari erti hidup di dalam gelumang ulat-ulat busuk
Aku mencari erti khalifah di dalam kehancuran kain kafan
Aku mencari erti alif di dalam bentuk tubuhku yang lurus seperti alif di dalam kemusnahan
Aku mencari erti dunia di dalam kegelapan tanah kubur
Aku mencari erti ketawa di dalam tangisan sepi sendirian bersama kepupusan

Kalian tahukah apa yang aku jumpa?
Kalian tahukah apa yang telah aku dapati?
Rasanya tidak
Tidak mungkin manusia yang di atas
Tahu cerita manusia yang di bawah

Tidak mengapa
Itu bahagian hidupku
Itu telah ditentukan bagiku

Cuma aku ingin berkongsi sesuatu yang sukar difahami
Tidak mengapa kalau tidak faham
Asalkan sudi untuk mendengar
Cukuplah bagiku

Cerita di dalam tanah
Satu cerita yang sama untuk semua