Wednesday 11 February 2015

Susahkah Nak Faham Makrifat

Memang susah, sangat susah, sangat sukar. Itu yang saya boleh katakan. Saya juga tidak pernah berharap semua yang saya perkatakan di sini difahami dengan mudah oleh orang yang membacanya. Saya juga tidak marah jika anda semua tidak faham satu apa pun tentang apa yang telah saya perkatakan di blog ini. Saya juga tidak marah sekiranya anda marah saya semula dengan mengatakan saya telah sesat, kafir dan terkeluar dari Islam. Saya tidak marah.

Benda yang susah dan sukar hendak difahami adalah sesuatu yang biasa sekiranya ia tidak boleh difahami oleh orang yang membaca. Katakan kita tidak pernah belajar tentang kimia, tetapi kita masuk ke kelas kimia peringkat yang tinggi, sudah tentulah semua yang diperkatakan oleh guru kimia itu tidak kita fahami. Begitulah juga dengan makrifat.

Mereka yang membaca buku makrifat berpuluh kali pun belum tentu mereka dapat memahami makrifat. Mereka yang berguru dengan guru makrifat sekalipun belum tentu dia faham makrifat. Saya lebih suka mengatakan yang ilmu makrifat ini bukanlah ilmu peringkat tinggi, tetapi ianya lebih kepada ilmu yang sukar difahami kerana tidak jumpa jalan untuk nak faham. Jalan untuk nak faham itu, saya lebih suka katakan yang hanya Allah sahaja yang boleh menunjukkan ia jalan untuk faham.

Saya merasakan makrifat ini tidak boleh difahami dengan pembacaan atau berguru tetapi dengan pembacaan dan berguru memang dapat memimpin untuk memahami makrifat. Pintu untuk buka makrifat itu sahaja yang saya rasa perlu datang dari Allah. Kefahaman tentang makrifat itu tidak boleh guna logik akal, kerana makrifat ini ilmu tentang kehairanan. Kehairanan yang mana, hairan itu mesti datang dari Allah. Memahami kehairanan yang datang dari Allah ini sukar sekiranya bukan Allah yang membuka pintu hairan itu. Saya sendiri pun tidak pernah hairan selama ini. Bila pintu hairan saya telah dibuka oleh Tuan Punya pintu. Saya hidup dalam kehairanan. Kadangkala saya pun hairan bila melihat tiada seorang pun yang hairan dengan hidupnya. Saya pun hairan tiada seorang pun yang hairan melihat saya.

Saya rasa kalau anda sehingga sekarang masih lagi tidak faham makrifat, itu tidak mengapa. Tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Tiada apa-apa yang perlu dimarahkan. Belajar, belajar dan terus belajar. Cari, cari dan terus mencari. Ilmu yang sukar memang tidak mudah untuk difahami. Berapa ramai yang mencari makrifat dan masih lagi tidak jumpa makrifat? Berapa ramai pula yang menyangka mereka faham makrifat tetapi sebenarnya mereka tidak tahu pun apa itu makrifat? Berapa ramai pula yang hanya faham makrifat setelah mereka TIADA? Sabarlah tuan-tuan.

Bagi saya, daripada tidak mencari adalah lebih baik mencari. Orang yang mencari ini walaupun tidak berjumpa, dia akan puas sebab dia telah berusaha mencari. Biasanya orang yang tenggelam dalam mencari ini, dia akan terus mencari sehingga dia telah TIADA di dunia ini. Syurkurlah kerana anda adalah dari orang-orang yang mencari. Bagi saya orang yang mencari itu lebih baik dari tidak berbuat apa-apa.

Bagi saya jangan fikirkan sangat tentang susahnya nak memahami makrifat. Serahlah semuanya kepada Allah yang Maha Menentukan. Tetapkan matlamat anda untuk terus mencari, mencari dan mencari. Semoga tuan-tuan berjumpa dengan TIADA yang dicari.

Nerakakan Orang Lain, Syurgakan Diri Sendiri

Aku amat berharap perkara ini tidak berlaku di dalam masyarakat Islam. Sikap yang suka menyebut orang ini ke neraka, orang itu ke neraka. Ini bukan satu sikap yang sesuai untuk di amalkan. Peliknya ialah neraka hanya untuk orang lain, tetapi syurga untuk diri sendiri. Tempat seksa bagi pada orang lain, tempat yang bagus ambil jadi milik sendiri. Sesiapa yang meminum arak ke neraka. Sesiapa yang menghadiri majlis ilmu ke syurga.

Tidak adakah perasaan belas kasihan kepada sesama Islam? Tidak adakah perasaan kasih sayang sesama Islam? Berapa orang peminum arak yang pernah kita jumpa dan ambil berat tentang dia, dan bimbing dia kepada ajaran Islam? Tiada. Kita tidak pernah sekalipun dalam hidup ini mendampingi peminum arak dan bimbing mereka ke jalan yang benar. Apa yang kita tahu hanya bercakap, bercakap dan bercakap. Neraka, neraka, neraka. Nerakakan orang itu dan nerakakan orang ini. Itu sahaja yang kita tahu.

Sedangkan di antara peminum arak tu ada yang Allah hantar dia ke syurga, kerana di akhir hayatnya dia menyebut kalimah Allah dengan hati yang ikhlas dan jujur kepada Allah. Cerita ini ada dikhabarkan berlaku pada zaman seorang nabi. Sedangkan seorang guru agama yang hebat tersungkur di dalam neraka. Apa yang dapat kita ambil iktibar dari cerita ini. Iktibarnya, jangan sangka peminum arak itu semestinya semua masuk neraka. Tok Guru yang mengajar agama semestinya masuk ke syurga. Dikhuatiri yang peminum arak itulah yang akan ke syurga. Tok Guru itulah yang akan ke neraka.

Daripada kita sibuk memberi neraka pada orang, adalah lebih baik kita cuba mendampingi orang-orang seperti ini dan kita bimbing mereka. Kita cuba bantu mereka ini. Tidak kita siapa mereka. Selagi kita boleh bantu, kita bantu. Kadangkala orang seperti ini adalah kawan baik kita. Tetapi kita tidak pernah sekalipun menasihati mereka. Jadi kita cubalah menasihati, membantu dan membimbing mereka ini.

Janganlah lagi selepas ini kita sibuk bercakap tentang orang ini ke neraka dan orang itu ke neraka. Dikhuatiri orang yang bercakap itulah yang sebenarnya ke neraka dan orang yang dikatakan ke neraka itu pula yang akan ke syurga. Lebih baik kita bercakap tentang Allah dan membimbing semuanya kepada Allah.