Monday 21 December 2015

Terima kasih Di Atas Perasaan Ini Ya Allah


Engkau telah memberikan aku perasaan yang benar
Perasaan yang ramai orang tidak perasan
Perasaan yang ramai orang abaikan
Sedangkan itulah satu perasaan yang semua orang akan rasa
Sama ada dia seorang raja yang agung atau seorang manusia hina

Perasaan yang membuka segala rahsia diri
Dan segala rahsia alam
Semuanya yang bukan lagi rahsia sebenarnya
Sesuatu yang amat terang dan jelas
Apakah layak dipanggil rahsia

Biasanya yang tersembunyi dipanggil rahsia
Ini yang jelas tak akan hendak dipanggil rahsia
Bagaimankah yang terang dan jelas itu menjadi rahsia?
Aku sedang bingung Ya Allah
Melihatkan manusia melihat rahsiaMu secara terang
Tetapi tidak nampak

Bagaimanakah yang terang itu boleh menjadi rahsia?
Apakah pada bagaimana cara melihat?
Atau bagaimana cara memahami?
Atau Engkaulah sahaja yang boleh memberi faham
Aku pun hairan

Manusia mencari Mu di dalam terang
Allah itu di dalam terang tetapi tidak kelihatan
Di depan Allah
Di belakang Allah
Di bawah Allah
Di atas Allah

Ya Allah aku merepek lagi Ya Allah
Seperti yang pernah aku katakan dahulu Ya Allah
Yang mencari itulah yang sebenarnya yang dicari

Aku jumpa rahsia ini sebab Kau yang bagi nampak
Kalau tidak aku pun tak perasan
Tetapi bila dah perasan Engkau Ya Allah
Memang terlebih perasan
Ke mana sahaja wajahku dihadapkan
Disitulah ada kebesaran Engkau Ya Allah
(ayat terakhir ini terpaksa diubah supaya aku tidak dituduh sesat)

Sedar akan Allah



Ku lihat diriku
Amat terang ku rasa wujudnya Allah
Ku lihat awan
Ku lihat pokok
Ku lihat gunung
Ku lihat mayat
Bergetar jiwa dan tulang akan terangnya Allah

Ada manusia
Lihat diri
Terjumpa monyet
Lihat alam
Terjumpa 'big bang'

Dengan apa mereka melihat
Mungkin dengan akal palsu
Nak tahu aku melihat dengan apa

Aku melihat dengan otakku yang sedang mencair
Disedut ulat mayat
Otak itulah yang sering aku gunakan
Otak itu otak yang nyata
Otak itu tak pandai menipu

Mungkin sebab otak itu tidak tahu menipu
Kerana ia sudah pun mencair di dalam tanah
Sesuatu di dalam tanah memang tidak pandai menipu

Apa yang nak di tipu
Kalau apa pun sudah tiada
Akal ini yang aku mahu kalian faham

Kalau sudah dapat akal ini
Gunalah semahumu
Akal ini tidak terjangkau

Ia akan melepasi awan
Ia akan melepasi neraka
Ia akan melepasi segalanya
Dan ia akan berhenti di depan Tuannya
Di situ dia akan tunduk patuh
Dan tidak akan mengangkat wajahnya lagi
Untuk selama-lamanya

Friday 4 December 2015

Filem 'Box Office'



Sebuah Filem ‘Box Office’
Satu pengarah terhebat
Menghasilkan filem yang terhebat
Filem budget terbesar dalam alam semesta
Pelakon teramai dalam sejarah
Dari Adam sampailah yang terakhir

Macam-macam lakonan ada
Raja Zalim
Raja Terhebat
Orang kaya sombong
Orang miskin sombong
Tuhan Yang Satu
tuhan yang seribu
Sebut apa saja, semuanya ada
Pengarahnya terhebat
Mestilah filemnya ada semua unsur

Dari yang paling cantik sampai yang paling jelek
Dari yang paling indah sampai yang paling buruk
Dari yang paling baik sampai yang paling jahat dan zalim
Dari yang paling tinggi sampai yang paling rendah… bawah tanah

Dalam semua unsur dan cerita hebat itu
Aku pun berlakon juga dalam tu
Ala… watak sampingan saja
‘Extra’ kata orang
Watak yang tak ramai orang tahu
Masa habis filem
Nama ada keluar
Kecil jer sampai siapa pun tak perasan, sebab laju naiknya nama tu
Itulah dia filemnya

Aku dah tengok filem ni sampai habis
Masa first time tonton, memang best
Menangis banyak, macam filem sedih
Ketawa pun ada, tapi sikit jer

Mungkin sebab aku suka menangis dan beri tumpuan bab-bab yang sedih sahaja
Banyak kali dah tengok
Bila dah selalu tengok
Terus terang cakap, memang jemu
Jemu, sampai malas nak tengok dah

Tapi kena tengok jugak
Sebab ini filem ‘Box Office’
Itulah sedikit sinopsis filem box office yang aku dah tengok sampai jemu

Bagi korang semua, tak tahulah aku nak cakap
Korang bayang-bayangkanlah
Pandai-pandailah

Tiket filem box office ni dipegang oleh pengarahnya sahaja
Sesiapa yang bertuah, dapatlah tiket free
Sesiapa yang bertuah jugak, tak dapatlah tiket free

Sebab filemnya dah siap
Jadi semuanya sudah diatur
Skripnya telah siap ditulis sampai ‘The End’
Ikut je lah

Bukan soal suka atau tidak
Bukan soal adil atau tidak
Bukan soal kenapa aku, bukannya dia
Bukan soal itu, soal ini

Ini soal, suka hati pengarahlah
Filem dia
Arahan dia
Penulis skrip dia
Lakon layar dia
Penerbit pun Dia
Kenapa banyak sangat kita ini bertanya itu dan ini
Ikut saja sudahlah

Cuma ingat
Main peranan tu elok-elok
Kalau bab ‘stunt’ tak boleh buat, jangan buat
Kalau rasa tak setuju dengan adegan tu
Boleh bincang
Pengarah ni ‘understanding’

Dia akan bagi watak mengikut kemampuan yang kita boleh buat
Dia tak akan bagi watak yang tak mampu kita bawa
Sebab Dia pengarah yang memahami

Jadi kepada para pelakon sekalian
Faham ke filem ni
Dah habis ke baca skrip
Dah hafal ke skrip lakonan

Yang nak terus berlakon sampai tak sedar diri, silakan
Yang nak berhenti berlakon, silakan
Yang nak berpura-pura teruskan lakonan, silakan

Aku sekarang pura-pura teruskan lakonan
Mungkin esok kalau dah letih, aku nak berhenti berlakon
Tapi tengoklah pada skrip seterusnya
Aku akan bincang dengan Pengarah Filem
Kalau boleh runding tukar ke watak lain ke
Kalau Dia tak bagi, aku teruskan dengan watak yang ada
Ikut la skrip yang dah ada tu
Filem pun memang dah
The End