Tuesday 22 April 2014

Siapa Yang Lebih Kenal Allah? Aku Atau Engkau

Hari ini aku melayari lagi forum tentang mengenal Allah. Di dalam forum itu banyak ahli dari ilmu syariat, tarikat, hakikat dan makrifat membicarakan tentang Allah, seolah-olah ingin menunjukkan yang aku lebih kenal Allah dari engkau, balas pihak yang satu lagi, bukanlah, akulah yang lebih kenal Allah dari engkau, akhirnya kesudahan cerita tiada siapa antara mereka yang pasti siapa yang kenal Allah mengikut kacamata yang sebenarnya yang Allah mahukan, kerana sibuk membuktikan aku lebih kenal Allah dari engkau.

Dalam pada itu ada pula pihak yang mendakwa, kena kenal beberapa peringkat syirik dulu, barulah mampu mengenal Allah. Betulkah kena kenal syirik dulu baru kenal Allah? Adakah Allah memperkenalkan diri Nya dengan memperkenalkan beberapa peringkat syirik dulu, barulah Allah memperkenalkan diri Nya kepada kita? Pelik sangatlah jika Allah itu perlu memperkenalkan peringkat syirik kepada kita, barulah Allah memperkenalkan diri Nya. Bukankah ketika di Loh Mahfuz, Allah terus sahaja memperkenalkan diriNya dengan diperakui oleh kita semua? Kenapa pula di dunia nyata ini, kita melupakan dia dengan menetapkan syarat harus kenal beberapa peringkat syirik baru boleh kenal Allah? Tolonglah, jangan menambah-nambah cerita karut dalam mengenal Allah!

Bukankah lebih baik, bicara sahaja pasal Allah yang bagaimana aku telah kenal, supaya engkau pun kenal Allah macamana yang aku kenal, dan pihak yang satu lagi pula ceritakanlah tentang Allah dari kacamata yang dia kenal, supaya kami pula dapat mengenal Allah dari kacamata yang kamu kenal. Macam tu kan lebih baik untuk kita semua sama-sama kenal Allah.

Kata kenal Allah, tapi berbicara seperti untuk menidakkan orang lain mengenal Allah. Bukankah setiap orang yang kenal Allah itu harus tolong orang lain kenal Allah secara total. Kenapa pasal nak kenal Allah harus tunjuk ilmu aku lebih kenal Allah dari ilmu engkau?

Sudah...sudah... Cukuplah untuk menunjukkan Aku lebih kenal Allah dari kamu. Kenapa harus sama-sama makhluk yang ingin kenal Allah harus menunjuk dia yang lebih kenal Allah. Itukah yang Allah mahu, supaya di antara kamu saling menunjukkan ilmu kamulah lebih kenal Allah dari ilmu orang lain? Apa ilmu kenal Allah begitu? Untuk menunjuk-nunjuk siapa yang lebih kenal Allah?

Tak kiralah ilmu syariat, tarikat, hakikat atau makrifat, jangan hendak menunjuk-nunjuk tentang siapa lebih kenal Allah. Bicara saja tentang Allah dari sudut yang kamu kenal dan kongsi sama-sama. Nada suara biarlah merendah diri, seolah-olah kamu sedang berbicara tentang Allah dari lubang api neraka yang paling dalam sekali.

Sekiranya ilmu kenal Allah yang kamu dengar itu dari orang syariat yang kamu anggap berilmu tahap rendah (harap tidak), dengarkan sahaja, bukankah itu juga ilmu dari mereka yang ingin kenal Allah dari tingkat kefahaman mereka iaitu syariat. Kenapa perlu diperlekehkan ilmu itu. Kalau kamu tidak bersetuju, diam. Allah lebih tahu diam kamu itu dari kamu berkata-kata.

Sunday 13 April 2014

Apa yang aku nampak?

Sebenarnya terus terang aku katakan, semasa Allah membuka segalanya untuk aku, aku jadi sangat takut untuk mengangkat mukaku. Apabila aku mengangkat mukaku untuk melihat orang, aku nampak betapa seksanya setiap wajah yang ku lihat itu ketika nyawanya direntap malaikat maut, aku melihat ulat berengga memakan setiap daging manusia yang ku lihat, aku juga melihat setiap tulang mereka hancur di depan mataku.

Aku juga melihat bagaimana malaikat Nungkar dan Nangkir membelasah mereka semuanya di dalam kubur kerana kufurnya mereka kepada Allah, satu-satunya tuhan yang wujud dan mewujudkan. Itulah yang berlaku kepada aku setiap saat dan hari dalam hidupku selama 7 bulan. Memang hampir gila dan hampir sasau dibuatnya. Aku sendiri tidak tahu macamana cara untuk menghentikan semua kefahaman ini.

Aku hanya berserah pada Allah, tuhan yang memilikki aku dan otakku. Apa yang aku lakukan, aku pergi bersembahyang dan berdoa di dua masjid, dan kebetulannya waktu solat di kedua-dua masjid yang aku sampai itu adalah waktu zohor. Masjid pertama yang aku kunjungi adalah Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar dan masjid yang kedua adalah Masjid Putrajaya, Putrajaya. Suatu masa dulu aku pernah melalui di hadapan kedua masjid ini dan aku pernah berniat untuk bersembahyang di dalamnya.

Maka kini sudah sampai masanya yang paling sesuai untuk aku tunaikan hasrat hatiku yang telah sekian lama terpendam iaitu hampir 15 tahun lamanya aku memasang niat untuk bersembahyang di dua masjid ini. Nampaknya Allah telah memakbulkan niat aku. Alhamdulillah.

Seingat aku hanya dua kali sahaja aku berdoa agar semua yang aku faham dan semua yang aku nampak itu, tidak ditunjukkan hingga ke dasar Allah, supaya aku masih mampu hidup dan melangkah di bumi ini. Syukur Alhamdulillah, Dia telah perkenankan doa aku. Barulah segala pandangan yang aku nampak dulu beransur-ansur hilang.

Segala kefahamannya tetap sama tidak berubah. Cuma aku sudah tidak nampak apa yang Allah nampakkan pada aku dalam 7 bulan yang pertama itu. Syukur Allah masih mahu menolong aku. Hanya Dialah penolong yang sebenarnya, tiada penolong selain Allah. Aku tidak memperincikan apa yang aku nampak di dalam 7 bulan pertama itu, mungkin masanya belum sesuai, atau mungkin Allah tidak mahu aku membukankan rahsianya lagi. Tunggulah bila Allah izinkan, aku akan buka, kalau Allah tak izinkan, aku akan simpan rahsia ini hingga aku berjumpa dengan Dia. Dia yang sangat aku takuti, kerana Dia sahaja yang layak kita takutkan.

Mana Hadis Makrifat?

Aku terpanggil bercakap tentang tajuk ini kerana melayari google tentang beberapa kitab lama.
Ada antara mereka diluar sana berforum dan meminta hadis tentang makrifat untuk menjadikan ilmu makrifat ini satu ilmu yang wujud dan perlu dituntut, maka satu hadis perlu ada untuk jadikan ilmu ini 'valid' di dalam masyarakat.

Alangkah sedihnya melihat umat Islam yang seperti ini. Setiap ilmu itu hanya boleh dituntut bila ada hadis tentang ilmu itu. Adakah umat Islam sedar di dunia ini ada berjuta-juta ilmu yang tidak mampu dan tidak pernah di kira oleh sesiapa pun? dan perlukah kita kepada berjuta hadis tentang semua ilmu ini untuk membolehkan sesuatu ilmu itu dituntut?

Cepatlah mematangkan minda wahai umat Islam. Kalau ilmu Allah itu sahaja tidak mampu dikira, kita umat Islam apa perlu tunggu hadis untuk belajar ilmu. Selagi ianya satu ilmu, walau pun ilmu sebutir pasir atau ilmu sebuah gunung, pergi belajar.

Takkan masih tak tahu ilmu Islam adalah yang paling hebat suatu masa dulu dari ilmu orang barat. Kenapa pula sekarang ilmu barat dilihat seolah lebih hebat dari ilmu Islam? Sebab umat Islam tunggu hadis ke baru nak belajar ilmu? Sudah, cukuplah dengan semuanya perlu hadis, guna akal dan terus belajar.

Ilmu makrifat perlu ke hadis? Jawapannya mudah segala ilmu Allah tidak semestinya memerlukan hadis. Tidak cukupkah akal itu untuk menjadi 'hadis' kita. Tidak cukupkah Al-Quran itu ilmu dari Allah? Tidak cukupkah alam ini untuk menjadi ilmu kepada kita?

Habis tu khalifah itu tugasnya apa? Makan tidur, tidur makan? Al-Quran itu ilmu makrifat terbesar Allah atas muka bumi ini, malah Al-Quran itu banyak mengandungi pelbagai jenis ilmu. Cuma nak nampak ilmu makrifat itu dalam Al-Quran, terpulang pada diri yang ingin belajar, dan sudah tentu terpulang juga pada tuan punya ilmu makrifat, nak bagi atau tidak? Tapi belajar, tetap harus belajar.