Sunday 23 October 2016

Yang Mencari Itu Sebenarnya Yang Di Cari!

Dari tajuk di atas
Mungkin bagi mereka yang telah faham
Dia tahu apa yang dia cari

Bagi yang belum lagi dapat faham
Mungkin juga agak sukar mengerti apakah maksudnya
Memahami maksud tidak sama dengan merasai maksud

Ini sama seperti cerita orang yang makan durian
Dengan orang yang membaca buku cerita tentang sedapnya durian
Sudah tentu yang merasa durian
Pemahamannya berbeza dengan orang yang belum rasa tetapi cuma membaca kisah sedapnya durian

Kita bersiap-siap untuk satu pengembaraan mencari sesuatu yang hilang
Katalah mencari anak yang hilang atau barang yang hilang
Atau apa-apa sahaja yang kita rasa hilang

Bawalah bekalan yang banyak
Persiapan yang rapi
Makanan dan minuman yang mencukupi
Kerana tidak tahu berapa lama pencarian ini akan berakhir

Setelah semua persiapan mencukupi
Kita pun bergeraklah
Mencari barang yang hilang itu
Berjalan dalam perjalanan yang jauh
Naik bukit, turun bukit
Naik gunung, turun gunung
Naik lurah, turun lurah
Berpuluh tahun mencari
Namun masih tidak berjumpa

Badan telah pun penat
Umur telah berusia
Makanan dan minuman semakin habis
Namun barang hilang yang dicari masih belum ditemui

Berehatlah kita di bawah sebatang pokok
Memerhati sekeliling
Melihat alam
Melihat matahari
Berfikir
Ke manalah perginya barang aku yang hilang ini

Sedang berfikir
Tiba-tiba datang sesuatu
Terus masuk ke dalam minda
Memberitahu
Apakah yang kau cari?
Pada dirimu
Tidakkah kamu perhatikan

Bukankah barang hilang yang kamu cari itu
Adalah dirimu sendiri

Terkejut
Sangat terkejut
Penat mencari
Habis tenaga
Habis wang ringgit
Habis segala bekalan
Rupanya hilang yang dicari itu
Adalah diriku sendiri

Tidak perlu lagi aku ke mana-mana
Kerana barang hilang yang ku cari itu sudah ku jumpa
Aku yang mencari
Akulah yang dicari

Ilmu ini ilmu rasa
Orang yang rasa sahaja yang tahu
Orang membaca tidak boleh rasa
Dan tidak tahu apakah rasanya

Benda ini datang kepadaku
Bila sudah tahu
Aku membaca buku-buku makrifat
Dan aku berjumpa dengan tajuk ini
Tajuk yang aku sudah tahu
Dan ada orang lain yang tahu
Dan sudahpun dikupas
Kupasannya sama dengan apa yang aku tahu

Maka tahulah aku
Apa yang dia tahu
Kerana apa yang dikatakannya
Sama seperti apa yang aku tahu

Yang tidak berjumpa lagi
Tidak mengapa
Siapkan tenaga
Siapkan bekalan
Bawa makanan dan minuman yang mencukupi

Pergilah keluar mencari barang yang hilang
Kalau ada rezeki jumpa
Kalau ada rezeki tidak berjumpa
Tetap juga rezeki itu dari Allah

Selamat mengembara

Malukah Kita Di Depan Tuhan?

Kadangkala aku bertanya
Malukah kita kepada Tuhan?
Pernahkah kita merasa malu dengan Tuhan
Kenapa pula kita perlu rasa malu dengan Tuhan
Kalau sudah merasa malu
Ke mana pula hendak kita sembunyikan wajah ini
Akibat dari perasaan malu kita kepada Tuhan

Aku sangat malu dengan Tuhanku
Sampai tidak tersembunyi wajahku yang tidak tahu malu ini pada Tuhanku
Hendak menunduk untuk sembunyikan wajahku, tidak mungkin Allah tidak nampak wajahku
Hendak ku tunjuk sahaja wajahku di depan tuhan
Aku sangat malu

Aku malu kerana aku berdosa pada Tuhan
Aku malu kerana banyaknya dosa-dosa aku kepada Tuhan
Aku tidak mampu menghitung banyaknya dosa aku kepada Tuhan
Berbuat dosa dalam keadaan wajahku
Ku hadapkan pada yang Esa

Ya Allah
Apalah aku ini
Berbuat dosa di depan Engkau
Tetapi tidak ada rasa malu
Teruknya aku ini Ya Allah
Hinanya aku ini Ya Allah

Di manakah tempat yang ketika aku berbuat dosa Engkau tiada disitu?
Tapi aku dengan muka yang hina
Masih sanggup berbuat dosa di hadapan-Mu
Seolah-olah Engkau tidak melihat dosa yang aku lakukan pada-Mu
Teruknya aku Ya Allah

Bercakap dengan membuat dosa
Berniat dengan membuat dosa
Berjalan dengan membuat dosa
Aku malu Ya Allah
Sangat malu Ya Allah

Lebih tak tahu malu lagi Ya Allah
Setelah berbuat dosa dalam keadaan sedar diri
Aku berpura-pura memohon keampunan dari-Mu Ya Allah
Seolah-olah semasa membuat dosa itu
Aku dalam keadaan tidak sedarkan diri
Melampau aku ini Ya Allah

Sememangnya aku ini orang-orang yang melampaui batas
Ya Allah aku hanya ada Engkau sebagai tuhanku
Itu sahaja yang mampu aku katakan Ya Allah

Siapa Kita Di Depan Tuhan?

Hadapkan Dirimu Di Depan Tuhanmu dan Tanyakan Dirimu Sendiri Di Depan Tuhanmu

Kadangkala aku bertanya
Siapakah aku di depan Tuhanku?
Soalan sahaja sudah cukup menakutkan aku
Dengan soalan sahaja aku sudah hancur
Memahamkan soalan sahaja
Menggentarkan jiwaku

Belum lagi menjawabnya
Berterus-terusan aku menangis
Belum lagi aku mencari jawapannya
Aku terus menangis sahaja

Ingin melintaskan jawapan aku di depan Tuhanku
Takutnya aku
Sangat takut
Aku ingin menjawab kepada Tuhanku?
Oh tidak
Tidak mungkin
Aku menjawab kepada Yang Serba Tahu
Mana mungkin aku menjawab kepada Yang Tidak Memerlukan Jawapan
Apa yang hendak aku jawabkan?

Aku terus tertunduk
Dan terus menangis
Aku rasa menangis sahajalah jawapan yang dapat aku berikan kepada Tuhanku

Tidak mampu aku menjawabnya
Tidak terdaya
Apa lagi yang hendak aku jawabkan

Sangat mengejutkan aku jika ada yang berani menjawab di depan Tuhannya nanti
Apakah yang ingin dijawabkan

Semasa kecil aku diajar
Kalau orang tua-tua berbual jangan dibilang giginya

Maksudnya adalah satu perbuatan biadap kalau mendengar orang tua-tua berbual
Kalau dimarahi oleh orang tuaku
Tidak berani aku menjawab walaupun sepatah
Kerana itu dianggap menderhaka
Aku hanya tunduk, tunduk dan terus menunduk
Tidak berani aku mengangkat muka

Itu baru orang tua
Belum lagi Tuan kepada orang tua
Kalau orang tua sahaja
Menjawab sudah dikira biadap
Apatah lagi di depan Tuhan

Semoga anda mendapat sesuatu dari cerita ini
Diam dan jangan menjawab
Itu biadap

Friday 21 October 2016

Belajar Makrifat Dengan Tujuan Apa?

Tanya pada diri sendiri
Dan diri sendiri yang menjawabnya
Kalau jawapan salah
Betulkan semula niatnya

Kita insan biasa
Sentiasa berdosa pada Allah
Apa sebenarnya niat dan tujuan kita belajar makrifat?

Adakah kerana untuk merasa diri hebat sebab belajar ilmu tinggi
Adakah kerana makrifat ini ilmu tinggi, maka bila belajar ilmu tinggi
Kita pun akan rasa tinggi
Tinggi sampai ke langit
Langit ke berapa?

Bila bercakap bunyi macam tinggi
Bila bercakap makrifat ada macam bunyi takkabur
Bila bercakap makrifat ada macam bunyi rasa hebat
Bila bercakap makrifat ada macam bunyi besar diri

Aku yang mendengar pun rasa takut
Apakah yang aku sedang dengar ini
Kenapa ada macam bau takkabur, bangga diri dan besar diri

Bahaya betul ilmu ini
Boleh membawa takut pada Allah
Boleh membawa rasa takkabur pada diri
Berhati-hatilah

Bukankah belajar makrifat ini untuk membawa kenal pada diri
Dan kenal pada Allah
Maka niat dan tujuan belajar makrifat ini
Hanya untuk kenal Allah
Itu sahaja
Cukup
Kenal pada Allah

Jangan silap dan jangan salah
Bukan untuk rasa diri hebat
Maka bila bercakap tentang makrifat gunalah nada yang rendah
Bila bercakap tentang makrifat rasalah takut pada Allah setakut-takutnya
Kalau boleh takut sampai tak boleh bercakap lagi bagus
Diam dan menangislah kerana takut pada Tuhanmu

Tidak perlu ada perkataan yang boleh dikaitkan dengan bangga diri
Tidak perlu ada mimik muka yang boleh dikaitkan dengan merasa diri tu hebat
Perbetulkanlah semuanya
Aku ingin melihat perkara ini diperbetulkan

Ajak orang kenal Allah
Ajak orang takut Allah
Tujuan belajar nak kenal Allah
Rendahkan diri
Rendahkan hati serendah-rendahnya di depan Tuhanmu
Dan belajar dengan niat nak kenal Tuhanmu

Selepas kenal cakaplah dengan nada rendah
Cakaplah dengan nada takut
Supaya orang kenal Allah dengan rasa takut

Sebelum belajar
Betulkan niat
Betulkan tujuan
Cari Allah
Belajar tentang Allah
Bukan untuk bercakap tinggi
Bukan untuk bangga diri
Semoga anda terus mencari
Dan terus belajar kenal





Sunday 16 October 2016

Raja dan Pemimpin, Datang Pergi dan ...



Pemimpin datang
Pemimpin pergi
Pemimpin mati

Itu jangan lupa
Jangan ingat datang sahaja
Kena ingat pergi
Jangan ingat pergi sahaja
Kena ingat mati

Sebab dalam mati itu ada pertanyaan tentang hidup
Masa hidup buat apa

Jadi pemimpin buat apa
Pemimpin tak boleh ramai
Presiden hanya seorang
Pengarah hanya seorang
Ayah hanya seorang

Seorang boleh memimpin 4 orang
Seorang juga boleh menjaga berpuluh ratus juta rakyat
Banyak tu

Jadi kalau seorang rakyat kelaparan
Raja akan ditanya
Raja tak tahu sesiapa yang lapar
Sebab raja selalu kenyang makan

Tapi jangan ingat depan tuhan nanti tidak akan ditanya
Seorang raja tentu sahaja tidak tahu jika ada seorang rakyatnya kelaparan
Tetapi tetap raja itu akan ditanya

Jadi raja mesti tahu semua
Kalau jadi raja hanya tahu kuasa dan wang
Firaun juga begitu
Qarun juga begitu
Jadi beringatlah

Aku hanya insan kerdil mengingatkan
Aku sendiri pun belum tentu lepas bila ditanya oleh tuhan
Harap dapat raja-raja sekalian mengambil peringatan

Sekian dari aku
Aku lapar
Hendak makan sekejap

Memamah Ayat Al-Quran

Sewaktu segala-galanya terbuka luas
Sewaktu Allah itu sangat-sangat sirna
Aku tidak mampu untuk membaca tafsir Al-Quran
Biasanya paling banyak aku boleh baca hanyalah 5 ayat
Setiap ayat yang aku baca seolah-olah aku sedang memamah ayat-ayat itu
Ayat-ayat Allah bukan boleh di hadam
Tetapi aku cuba juga untuk menelan ayat-ayat itu supaya faham
Seksanya untuk memahami ayat-ayat Allah
Susah betul nak sampai kepada maksud ayat-ayat Allah

Hebat Allah
Semuanya sudah diberitahu
Semuanya sudah diceritakan
Supaya nanti tiada makhluk yang cuba untuk menipu Allah
Mengatakan Allah tidak menurunkan apa-apa peringatan tentang tuhan itu adalah Allah

Sudah terang lagi bersuluh
Segala-galanya ada di dalam sana
Dalam Al-Quran
Sayangnya
Hanya berapa orang yang membaca tafsir Al-Quran
Ada orang boleh membaca Al-Quran dengan lagu yang sangat sedap
Sayangnya ada orang tidak faham apa yang sedap tentang Al-Quran

Sekarang pergilah ke kedai buku
Beli satu tafsir Al-Quran
Kalau tiada duit
Download secara percuma di internet
Ilmu Allah itu percuma
Allah itu pemurah
Ilmu mahal pun Dia beri percuma
Bacalah
Sekadar mana yang termampu
Kalau boleh mamah, mamahlah
Kalau boleh telan, telanlah tafsir Al-Quran itu

Semoga anda mendapat sesuatu dari Allah
Kata sayang Allah
Tetapi kata-kata Allah kita tak faham
Kata Allah segala-galanya dalam hidup
Maksud Al-Quran kita tak pernah pun nak ambil tahu

Al-Quran itu kalam Allah
Rahsia Dia juga ada di dalam tu
Nak jumpa atau nak faham
Tak jumpa atau tak faham
Baca sahaja

Fahamkan sekadar termampu
Semoga semua yang membaca ini
Membeli satu tafsir Al-Quran selepas ini
Harap ada dapatlah berjumpa Allah

Tuesday 4 October 2016

Hidup Ini Jalan Sehala

Satu kehidupan
Satu roh
Satu jasad
Satu jalan
Satu tuhan
Satu kematian
Satu jalan

Hidup kita ini
Ibarat jalan sehala
Semuanya menuju ke satu arah sahaja
Arah yang sama untuk semua orang
Iaitu jalan mati
Kehadapan sahaja
Tidak boleh mengundur


Selepas sampai situ
Sudah tidak boleh berjalan
Sebab sudah mati
U turn pun tidak dibenarkan

Di sepanjang jalan itu
Kita sebenarnya sentiasa berada di atas jalan
Tidak pernah sekalipun kita tersasar
Atau berhenti
Atau parking di tepi jalan
Tetap di atas jalan
Dan tetap terus berjalan
Walapun sedang tidur
Ataupun sedang koma
Jalan tetap jalan

Cuma disepanjang perjalanan itu
Di tepi-tepi jalan 
Ada bermacam-macam benda
Macam-macam ada
Ada kedai kereta
Ada kedai duit
Ada kedai pangkat
Ada kedai hiburan
Ada tandas untuk membuang
Ada kedai kesombongan
Ada kedai riak, takbur, bangga diri

Kita sebenarnya tertipu dengan kedai-kedai itu
Rasanya macam kita telah pun masuk ke dalam kedai itu
Untuk menikmati suasananya
Sebenarnya tidak
Kita masih di atas jalan yang sama
Terus berjalan
Kedai itu semua kita tinggalkan
Tapi kita perasan macam kita masih di dalam kedai-kedai itu

Pilihlah kedai mana yang anda suka untuk berhenti
Ada banyak kedai
Pilihannya di tangan anda
Nak berhenti di semua kedai pun boleh
Nak berhenti di satu kedai sahaja pun boleh
Atau 10 kedai terpilih sahaja
Ada kedai menawarkan diskaun 70%
Ada kedai diskaunnya hingga 100%
Itu kedai free namanya

Sesiapa yang ingin tertipu dengan kedai-kedai itu silakan
Sesiapa yang ingin terus berjalan silakan
Ramai yang berjalan di atas jalan yang sama
Lautan manusia
Sangat ramai
Oleh sebab terlalu ramai
Ada beberapa orang yang terjatuh mati
Ada yang terjatuh dalam lubang
Ada yang terjatuh sebab keletihan
Ada yang terjatuh sebab dahaga kehausan
Semua yang jatuh itu ramai
Tapi masih lebih ramai yang berjalan
Jadi yang berjalan ini tidak perasan yang terjatuh dan mati itu
Yang perasan ialah yang terjatuh dan mati itu
Apa yang terjatuh
Semuanya yang di atas jalan
Apa yang mati
Tetap semuanya yang ada di atas jalan yang sama

Ada mati sebelum sempat memulakan perjalanan
Ada yang mati ketika berumur sebulan
Ada yang mati ketika berumur 10 tahun
Ada juga yang berumur 100 tahun baru mati

Mereka yang lain tetap berjalan
Tiada yang berhenti
Atau parking di tepi jalan
Tetap meneruskan perjalanan
Sebab perjalanan mereka itu juga suatu janji
Perjalanan mereka itu sebab mereka itu khalifah tuhan

Sehinggalah mereka bertemu dengan jalan mati di atas jalan yang sama
Tiada signboard jalan mati
Cuma mati ketika sedang berjalan
Itulah dia jalan mati

Harap dapatlah sesuatu dari cerita jalan sehala ini
Semuanya sudah aku curahkan di dalam bentuk cerita masyarakat
Supaya tidak berat
Supaya senang faham
Semoga semua kita berjumpa dengan jalan mati
Sebab selepas itu dapatlah kita berjumpa tuhan

Ke Tempat Yang Sama



Hidup kita ini semuanya akan ke sana
Ke tempat yang sama
Sama untuk semua orang

Apa agama
Apa bangsa
Apa keturunan
Apa pangkat
Tetap pergi tempat yang sama
Tuhan yang sama

Satu lesen yang sama
Lesennya ialah mati
Ya! itulah lesen untuk jumpa tuhan
Tidak ada lesen lain

Sebelum dapat lesen itu
Kenallah tuhan
Carilah tuhan
Walau perlu memanjat gunung
Walau perlu menggali lubang
Panjatlah
Carilah
Bongkarlah

Sebelum kuburmu dibongkar tuhan
Masa itu tak perlu cari tuhan lagi
Tuhan sudah didepan matamu

Jangan terkejut tengok tubuhmu sempurna
Sesempurna semasa kamu hidup
Asalnya kamu tiada
Akhirnya pun kamu tiada
Antara tiada dengan tiada kamu tidak pernah kehairanan
Bila kamu diadakan semula janganlah hairan

Janji tuhan itu benar
Janji roh juga benar
Cuma janji jasad sahaja yang menipu
Jasad itu sifatnya hancur
Janjinya juga adalah janji hancur, janji palsu
Jangan terpesona dengan janji yang palsu

Tapi takutlah dengan janji yang benar
Sebab janji yang benar ini tiada penipuan
Habis semuanya akan terbongkar
Dibongkar oleh tuhan akan segala penipuanmu

Sebelum sampai masa itu
Carilah tuhanmu
Dia sedang menunggumu
Untuk berjumpa denganmu
Selamat bertemu
Dengan tuhanmu