Tuesday 25 February 2014

Makrifat! Jangan jadi burung kakak tua!

Tajuk ini tidak berniat mengecilkan sesiapa atau merendahkan sesiapa. Tajuk ini hanya untuk memahamkan semua orang. Supaya semua orang sentiasa sedar dan dapat mengetahui dan memahami apa yang dikatakan burung kakak tua.

Burung kakak tua, memang pandai meniru, cakapnya sama, luahannya sama, butiran ayatnya sama, intonasinya sama, ceritanya sama. Cuma satu yang tidak sama, dia tidak faham semua yang diperkatakannya.

Begitu juga dengan makrifat, berkata, bercakap, mengupas, menelusuri dan mendalami tentang makrifat tidak boleh seperti burung kakak tua. Anda mampu meniru semua yang ditulis atau disampaikan tentang ilmu makrifat, tetapi persoalan yang paling penting ialah, adakah anda faham dan tahu semuanya sefaham-fahamnya tentang makrifat. Itulah persoalannya.

Berkata-kata, manusia mampu menghafal dan bercerita tentang apa saja, tetapi memahaminya pula satu persoalan lain, makrifat bukan ilmu sehari dua, atau sebulan dua, atau setahun dua, makrifat satu perjalanan ilmu yang sangat panjang, tiada penghujung, seperti juga Allah itu tiada berpenghujung. Sesiapa yang berkata aku sudah khatam ilmu makrifat, makanya ia belum bermula pun mempelajari makrifat.

Sebenarnya amat mudah untuk tahu seseorang itu memahami ilmu makrifat atau sekadar burung kakak tua. Ilmu makrifat tidak perlu memberi jawapan, cukup dengan soalan, apabila jawapan telah diberi, kita akan faham, seseorang itu memahami makrifat atau sekadar burung kakak tua.

Jawapan pula ada banyak jenis jawapan, cuma kalau nak tahu jawapan itu dia faham atau sekadar burung kakak tua, minta dia kupas jawapan dia itu sehingga ke dasar Allah. Kalau dia boleh jelaskan jawapan dia sehingga ke dasar Allah. Dia memang faham makrifat, kalau dia tidak dapat mengupas jawapannya hingga ke dasar Allah, dia sekadar burung kakak tua.

Kalau dia sekadar burung kakak tua, kita hanya nasihatkan supaya dia mempelajari dan mendalami lagi ilmu makrifat. Tidak perlu memperlekehkan, mengutuk, menghina atau cakap apa pun, cukup sekadar suruh dia pergi lagi mencari belajar dan mendalami ilmu makrifat.

Mohon ampun dan maaf, kalau tajuk ini ada menyinggung mana-mana perasaan. Tiada niat untuk begitu, cuma niat untuk memberi faham.

Tuesday 11 February 2014

Siapa yang telah mati?

Manusia selalu lupa pasal mati, selalu malas nak ingat mati, malah manusia rasa mati itu macam satu perhentian tamat yang tidak ada apa-apa lagi yang akan berlaku selepas itu. Sedangkan kita patut fikir, apa akan berlaku selepas kita mati?

Sedangkan kalau ditanya dari mana asal kita? Kita akan menemui semua manusia yang berasal dari susur galur kita telah pun mati kesemuanya. Tiada lagi yang hidup. Bapa, datuk, nenek, moyang, bapa moyang, datuk moyang dan moyang kepada moyang. Kesemua mereka yang dari susur galur kita telah lama mati.

Kenapa pula di hati kita tidak pernah terlintas yang kita akan mati? Kenapa pula kita rasa kita akan terus hidup? Sedangkan mereka dari susur galur kita kesemuanya telah mati dan telah lama mati.

Seribu tahun dahulu kita tidak wujud, dan seribu tahun akan datang pun kita tidak akan wujud. Pernahkah kita bertanya, kalau aku tidak wujud seribu tahun dahulu dan pasti tidak akan wujud dalam seribu tahun yang akan datang? Apa yang patut aku buat dalam kewujudan aku yang sementara sekarang ini?

Adakah untuk bersorak, bergembira, bersembahyang, berzikir dan itu sahaja? Benarkah itu sahaja yang patut aku lakukan untuk hidupku yang sementara ini? Berbaloikah hidupku yang sementara ini hanya untuk itu sahaja?

Bukankah kalau hidup aku ini sementara, sepatutnya aku melakukan semuanya dengan terbaik, terhebat, terbersih, tertinggi dan semuanya patut aku lakukan pada tahap maksima? Barulah hidupku yang pendek dan singkat ini bermakna untuk aku dan untuk semua orang pada zaman aku.

Fikirlah dengan benar, jangan disia-siakan hidup yang singkat ini dengan benda-benda yang tidak sepatutnya. Kalau pun tidak dapat membuat yang terbaik dalam semua perkara, buat semaksima yang mungkin dalam perkara-perkara yang kita memang boleh melakukan yang terbaik.