Saturday 28 June 2014

Dunia Allah Itu...

Ke mana sahaja engkau palingkan wajahmu di situ ada Allah
Ke mana sahaja engkau alihkan akal fikiranmu di situ ada Allah
Ke mana sahaja engkau ingin larikan dirimu, di situ ada Allah

Bukankah ajalmu akan menjemputmu walaupun engkau berada di dalam benteng yang paling kukuh?
Tahukah kamu siapakah yang mengukuhkan benteng itu? Bukan Allah yang mengukuhkan segala-galanya?

Maka dimanakah yang tidak ada Allah?
Di manakah tempat di dalam semua tempat, yang mana Allah tidak wujud?
Bagaimana Allah tidak wujud di situ? sedangkan Allah itu sentiasa wujud dan akan terus wujud
Tahukah kamu apa itu wujud? Maksudnya ada. Bila mana pula Allah itu tiada di situ dan tiada di mana-mana?

Kamu memang pandai menghilangkan Allah, sedangkan Allah itu sangat hampir dengan kamu, lebih hampir dari benda yang kamu rasa hampir, Allah lebih hampir dari urat nadi kamu. Apakah urat nadi kamu? Wujudkah urat nadi kamu? Bagaimana Allah boleh hampir dari urat nadi kamu? Kalau Allah itu tidak wujud.

Dunia Allah itu adalah di mana dunia yang kamu mampu menghilangkan segala-galanya kecuali Allah. Benda yang tidak kekal tidak boleh diberi gelaran wujud. Hanya yang kekal selamanya layak mendapat gelaran wujud. Selagi kamu mewujudkan sesuatu, maka kamu tidak akan nampak Aku. Kamu hanya nampak apa yang kamu rasakan itu wujud pada pandangan mata dan akal kamu.
Kalau kamu mampu menghilangkan semua yang wujud pada mata dan akal kamu, Maka pada saat itulah kamu akan nampak Aku. Barulah kamu tahu apa dia Aku yang lebih dekat dari urat nadimu.

Adakah Aku masih susah untuk dilihat?

Thursday 19 June 2014

Banyaknya Forum Makrifat

Bermacam-macam cerita. Bermacam-macam perkataan. Bermacam-macam pandangan. Bermacam-macam perasaan. Bermacam-macam ego. Semuanya macam enau dalam belukar, mengatakan hanya ilmunya sahaja yang makrifat dan kenal Allah. Ilmu orang lain semuanya tak kenal Allah. Menunjuk-nunjuk dia sahaja yang kenal Allah di dalam rahsia. Rahsia sangat Allah ni sampai berpuluh-puluh muka surat pun masih tak ceritakan di mana Allah? Semua nak tunjuk mereka sahaja yang tahu Allah itu di mana? Ada yang kata zat Allah tak boleh kaji, tak boleh kenal. Ada yang kata, kalau Allah boleh di kenal kenapa zatNya tidak boleh di kenal. Pening memang pening. Berpusing-pusing, sana-sini, tanya tak berjawab, pusing lagi.

Sebenarnya perkara ini telah saya jelaskan dalam post sebelum ini. Suka saya sebut lagi di sini. Tolonglah berkongsi Allah dengan semua. Allah itu jangan dibanyakkan soalan. Beri sahaja jawapannya. Boleh beri jawapan terus atau berkias. Berkias tak faham, beri jawapan terus. Jangan timbulkan banyak soalan tentang Allah. Beri sahaja penerangan siapakah Allah? Supaya tidak banyak soalan yang ditanya tetapi lebih banyak perkongsian yang diberi.

Memang boleh dilihat bermacam-macam tingkat pemahaman di dalam forum-forum itu. Itu tidak menjadi masalah. Mana-mana yang lebih tinggi pemahamannya. Boleh jelaskan atau diam sahaja sekiranya diam itu lebih baik. Allah itu senang di dalam susah dan susah di dalam senang. Orang boleh faham kita jelaskan. Orang tak boleh faham, kita kiaskan. Kalau kias tak faham jugak. Diam lebih baik jika nampak timbul bibit-bibit persoalan yang tidak berkesudahan.

Bicara tentang Allah tidak pernah berkesudahan. Cuma yang benar-benar faham Allah, dengan yang dekat-dekat nak faham Allah dan yang masih belum faham Allah sahaja yang membezakan kita dalam membicarakan tentang Allah. Ilmu makrifat ini bukan senang nak faham dan bukan senang nak beri orang lain faham. Kalau orang lain tak faham juga, memang begitulah adatnya ilmu ini. Kita yang faham, teruskan beri faham. Tapi janganlah sampai nak bergaduh dan berkata kesat.

Tapi saya hormat pada anda semua yang terlibat di dalam forum-forum seperti ini. Anda jaga tata tertib berbicara. Menunjukkan anda semua orang yang berilmu dan sayang Allah. Terus sahaja sayang Allah dan cari Allah sampai jumpa. Kepada yang sudah jumpa, jangan banyakkan soalan kepada mereka yang belum lagi jumpa. Terus sahaja bagi jumpa Allah, semoga mereka dapat kenal Allah seterang diri mereka.

Sunday 15 June 2014

Kalau Tiada Guru...

..maknanya gurunya adalah syaitan. Ini adalah ayat yang sangat biasa di dengar oleh orang Islam. Saya tidak faham syaitan ada ilmu. Syaitan belajar ilmu dari siapa? Siapa yang ajar syaitan ilmu? Hebat syaitan, tidak berguru tapi ada ilmu. Ilmu syaitan semua dari Allah. Bila anda salahkan syaitan, anda salahkan tuan yang mengajar ilmu pada syaitan.

Syaitan bodoh, dia pun dapat ilmu dari Allah. Hanya Allah sahaja yang pandai. Cuma kita diberi akal untuk pilih ilmu. Pilihlah ilmu yang baik. Itukan lebih baik. Allah turunkan segala ilmu cukup. Pandai-pandailah pilih. Tidak semestinya orang yang tiada guru, gurunya adalah syaitan. Macam kita ni hebat sangat, boleh nampak syaitan yang mengajar orang itu. Segala alam milik Allah, segala ilmu milik Allah. Tiada yang lain selain Allah. Hanya Allah, Allah dan Allah. Siang, malam, pagi, petang Allah.

Harap kita dapat berfikiran lebih bijak dalam memahami Allah. Lebih bijak berguru dengan Allah. Lebih bijak memilih ilmu baik dari Allah. Segala yang belaku seperti ilmu santau, ilmu santet dan segala ilmu sihir, semuanya berlaku dari izin tuan punya ilmu. Segalanya tidak berlaku, walau satu hela nafas kalau Allah tidak izin. Santau dan santet yang berlaku itu bukan dari syaitan. Syaitan tahu ilmu yang diajarkan berlaku dengan izin Allah. Cuma kita yang kadang-kala terlupa setiap izin gerak hanya dari Allah.

Kuatkan lagi hati untuk faham satu hela nafas itu dari izin Allah. Allah izin baru berlaku. Kalau Allah tidak izin. Jangan terkejut melihat sesuatu yang ajaib. Allah tu, selalunya Dia tak nak tunjuk. Tapi kalau dia tunjuk, memang terkejut. Allah tunjuk juga berbeza-beza ikut pemahaman. Kalau pemahamannya rendah, Allah tunjuk yang rendah. Kalau pemahamannya tinggi Allah tunjuk yang tinggi. Pemahaman rendah mungkin sukar memahami jika Allah tunjuk yang tinggi. Jadi Allah akan sesuaikan ikut pemahaman. Tapi kalau pemahaman rendah dapat saksikan pertunjukkan yang tinggi. Alhamdulillah.

Makrifat Perlu Berguru

Perlu ke kita berguru dengan manusia? Perkara ini berlaku kerana sudah lama tertanam dalam fikiran masyarakat Islam di seluruh dunia, semua benda perlu berguru dengan guru (manusia), sedangkan asal semua benda adalah ilmu Allah, dan guru semua ilmu adalah Allah. Tidak cukupkah Allah itu menjadi guru untuk kamu? Wah hebatnya dia, guru dia Allah! Memanglah kita hebat, sebab guru kita Allah. Kalau guru kita bukan Allah, kita takkan hebat macam ni. Cuma ada di antara kita tidak boleh terima, kalau disebut kita berguru dengan Allah. Kita kena berguru dengan manusia. Di situlah bermulanya masalah, perselisihan dan bermacam-macam ulasan lagi.

Bagi saya mudah, Allah adalah guru kepada segala ilmu. Tentulah Allah itu guru yang terbaik untuk manusia. Kenapa pula kita tidak boleh berguru dengan guru segala ilmu? Pastinya boleh. Cuma tak salah kalau kita ingin berguru dengan manusia lain. Tapi jangan pula kita menyalahkan mereka yang hendak berguru dengan Allah. Allah itu berkata-kata, dengarlah kata-kataNya. Itukan juga tanda kita sedang berguru dengan kata-kata Allah dan ilmu Allah.

Berguru dengan manusia, manusia mendapat ilmu dan ilmu dari Allah. Pusing macamana pun, tetap guru kita akan kembali kepada tuan yang punya ilmu. Manusia tiada ilmu, benda yang dipinjam mana boleh kita mengaku milik kita. Ilmu bersifat sementara, tidak kekal. Ilmu akan pulang kembali kepada tuan punya ilmu. Kita pun akan pulang kembali kepada tuan punya diri.

Saturday 14 June 2014

Durian dan Makrifat

Tidak mudah untuk menceritakan makrifat kepada orang lain. Orang lain tidak mungkin faham walau macamana sekalipun mereka cuba untuk memahaminya. Memang susah untuk orang lain memahami makrifat. Mereka yang faham makrifat pun memang sukar untuk memahamkan makrifat kepada orang lain.

Kiasan mudahnya ialah, macamana kita ingin tafsirkan rasa durian yang telah kita makan kepada orang yang belum makan durian? Cakaplah macamana indah sekalipun, susunlah kata-kata setinggi langit. Orang yang tidak pernah makan durian tidak akan boleh tahu dan faham macamana rasanya durian. Penat kita susun kata-kata untuk gambarkan juga macamana rasanya durian itu. Mereka hanya dengar dalam kebingungan, malah meleleh air liur pun tidak, sedangkan kita sudah berkali-kali menelan air liur.

Begitulah payahnya untuk memahamkan makrifat dan memberi rasa makrifat kepada mereka yang tiada rasa makrifat. Itulah juga yang sedang saya lakukan sekarang, sedang menyusun kata-kata indah untuk nak beri faham juga, kerana saya tahu, bila pintunya Allah telah buka. Segala apa yang pernah anda baca dan tidak pernah faham selama ini, akan terus menjadi terang benderang, faham sefaham-fahamnya dan semua yang telah anda baca akan menyebati terus dengan diri anda.

Dengan itu janganlah putus asa, walau pun baca tak faham-faham. Teruskan membaca, jangan putus semangat, jangan putus harapan dan jangan putus asa. Allah tidak pernah sedetik pun putus asa dengan kita. Kenapa kita perlu putus asa dengan Allah.

Teruskan, mungkin satu hari nanti, durian itu akan terhidang di depan anda, untuk anda jamah dan rasa kesedapannya.

The Matrix

Pernahkah anda menonton The Matrix? Saya cuma ingin memudahkan pemahaman dalam menampakkan makrifat. Ada suatu ketika dalam cerita itu bila Neo dikatakan telah menjadi The One. Dia telah melihat semuanya di sekelilingnya bertulisan warna hijau. Begitulah jika boleh dikaitkan untuk menampakkan makrifat. Iaitu mereka-mereka yang telah mencapai makrifat, telah melihat semuanya sudah bertulisan Allah. Hanya Allah, dan tiada yang lain hanyalah Allah, Allah dan Allah sahaja yang nampak dan wujud.

Semuanya sudah penuh dengan Allah, kiri, kanan, atas, bawah, dalam, luar, sebelum tabir, sebalik tabir. Makan Allah, tidur Allah dan main pun Allah. Allah jua, Allah sahaja, Allah selama-lamanya. Tiada yang lain, tidak boleh ada yang lain, memang tidak pernah ada yang lain, selain Allah.

Apa perasaan anda jika mampu untuk melihat semuanya Allah, bukankah di masa itu anda akan mengeluarkan kata-kata seperti 'Allah di dalam jubah aku', 'Aku Allah sembahlah Aku' dan bermacam-macam lagi kata-kata yang cuma anda sahaja yang faham. Dunia sudah hilang di dalam Allah. Segala-galanya sudah hilang di dalam Allah. Setiap saat yang berlalu hanya ada Allah, Allah dan Allah.

Wednesday 11 June 2014

Ha ha ha... Makrifat... Ha ha ha...

Mentertawakan makrifat adalah sesuatu perkara biasa. Sejak dari mula makrifat ini masuk ke dalam kefahaman manusia biasa, orang sudah mula mentertawakan, menghina, mengutuk, mengeji, mengkafirkan, memurtadkan dan membunuh sesiapa yang membawa makrifat. Anda bukanlah orang pertama dan terakhir yang berkelakuan seperti di atas terhadap makrifat.

Mereka-mereka yang membawa makrifat pun bukanlah baru tahu, reaksi sebegini yang akan mereka terima bila memperkenalkan makrifat. Ada di antara mereka memang sudah sedia menggadaikan nyawa untuk ilmu Allah. Saya juga sudah semestinya tidak terkecuali. Andai suatu hari nanti, nyawa saya ini diragut kerana menyampai ilmu Allah, saya redha dengan Allah. Saya tiada apa untuk Allah. Saya bukan sesiapa di sisi Allah. Saya hanyalah orang yang zalim kepada Allah.

Malah orang makrifat juga tidak pernah ambil peduli dengan semua itu. Saya juga tidak pernah ambil pusing dengan tindakan balas mereka itu. Saya hanya penyampai ilmu Allah, bukanlah pemberi faham makrifat Allah. Hanya Allah yang memahamkan semua dan segalanya.

Bukan semua orang yang faham makrifat ingin menyebarkan dan berkongsi kefahaman mereka bersama masyarakat. Malah banyak antara mereka memencilkan diri seperti yang pernah saya katakan sebelum ini. Mungkin kerana mereka ini hanya ingin menjadi pengabdi hanya kepada Allah. Mungkin juga kerana mereka faham ilmu rahsia tidak mudah difahami oleh orang lain.

Saya pun tahu, tidak semua yang saya luahkan di blog ini difahami oleh semua yang membacanya. Cuma saya suka berkongsi kerana penyebaran ilmu zaman ini tidak perlu untuk kita berhadapan dengan orang ramai tidak seperti cara penyebaran ilmu pada zaman dahulu. Semuanya mesti disampaikan secara berhadapan.

Harapan saya kepada anda yang berkelakuan seperi di atas tadi, carilah Allah. Walau pun mungkin anda tidak mendapat makrifat, tetapi jangan putus asa dalam mencari Allah. Satu lagi janganlah anda ha ha ha...

Apakah Anda Sudah Faham Makrifat?

Saya telah bercerita kepada anda dengan bermacam-macam cerita makrifat. Apakah anda sudah faham makrifat? Apa yang anda telah faham? Apakah anda boleh mengaku anda adalah ahli makrifat? Bagaimana anda boleh sahkan yang anda faham makrifat? Bagaimana untuk anda tahu yang anda telah pun faham makrifat?

Saya rasa kalau anda baca ke semua post saya, ada caranya untuk tahu yang seseorang itu telah tahu dan faham makrifat. Untuk kita tahu seseorang itu faham makrifat adalah dari tutur katanya tentang Allah. Biasanya orang yang telah faham makrifat akan tahu perkataan-perkataan tertentu yang digunakan oleh orang yang faham makrifat. Satu lagi cara mudah untuk tahu orang itu faham makrifat, sifat dan kelakuannya adalah seperti mayat. Biasanya mereka ini tiada perasaan dunia. Apa juga perasaan dan sifat manusia yang biasa di dunia ini tiada pada mereka. Paling senang untuk tahu, mereka ini tidak mudah marah, atau hampir tidak pernah marah. Kalau anda nak uji seseorang itu betul-betul guru makrifat, cuba curi sebelah selipar mereka. Tengok reaksi mereka apabila mendapati selipar mereka hilang sebelah. Tunggu sahaja ayat yang keluar dari mulut mereka. Kalau sumpah seranah. Cukup, tak perlu anda berguru dengan guru makrifat palsu seperti itu. Kalau dia berkata, 'Alhamdullillah, Allah telah mengambil seliparku'. Betullah dia guru makrifat.

Contoh di atas adalah ujian kecil. Boleh besarkan ujian anda. Baling batu kecil ke kepalanya. Pancitkan tayar motor atau keretanya. Tendang kakinya, dan seribu satu cara lagi ujian anda boleh jalankan kepada seseorang guru makrifat. Dengar saja apa luahkan hatinya bila mendapat ujian-ujian itu. Dengan luahan yang spontan darinya, anda boleh nilai di mana makrifatnya guru itu. Sesuatu itu perlu di uji untuk pembuktiannya. Sedangkan helmet, kereta, motor dan peralatan elektrik pun diuji untuk pengesahan. Apatah lagi seorang guru makrifat.

Cuma lakukanlah ujian-ujian itu secara berhemah, selepas ambil selipar, pulangkan semula. Selepas pancitkan tayar, isi semula anginnya. Selepas baling batu, minta maaf kepadanya. Jangan lakukan sesuatu ujian dengan tidak berhemah.

Cara yang saya sebutkan di atas adalah untuk anda tahu seseorang itu faham makrifat atau tidak. Manakala untuk anda sendiri tahu yang anda faham makrifat atau tidak, biasanya Allah yang akan beritahu. Biasanya susah untuk kita menilai diri sendiri. Mana boleh kita buat soalan ujian untuk kita sendiri yang menjawabnya. Tidak adil dan tidak betul. Cuma Allah sahaja yang boleh beritahu kepada anda. Semoga anda dapat tahu di mana makrifat anda.

Tuesday 10 June 2014

Mencari Jalan Makrifat

Ada banyak cara untuk mendapat jalan makrifat, yang pastinya bukan melalui jalan pembacaan buku. Kalau hanya dengan membaca buku sahaja boleh mendapat makrifat, sudah tentu satu dunia ini agamanya Islam dengan pemahamannya semua makrifat. Saya hanya boleh mencadangkan sahaja beberapa cara, yang mesti mencuba dan melakukannya adalah anda, tetapi ianya bukan jaminan untuk anda mendapat makrifat. Hanya Allah sahaja yang boleh membuka diriNya kepada anda, cuma usaha mencari Allah ada pada anda.

Cara pertama:
Anda pergi ke kedai dan belilah kain kafan anda sendiri, dengan semua peralatan untuk mengkafankan mayat. Selepas isyak carilah satu ruang di rumah anda, dan minta kawan anda mengkafankan anda dengan cara sebenar mayat dikafankan. Kalau boleh talkinkan sekali, tutup lampu, dan carilah makna diri sebagai mayat. Buatlah dari selepas isyak hingga sebelum subuh. Tidur seperti itu, dan buatlah selama 40 malam. Carilah di mana anda sebagai mayat. Busukkan diri anda sebagai mayat, cari erti menjadi mayat. Apa maknanya mayat? Apa ertinya dunia ini dengan mayat? Apa ertinya hidup untuk menjadi mayat? Apakah hanya anda sahaja orang pertama dan terakhir yang menjadi mayat?

Cara Kedua:
Cara ini pernah dilakukan oleh Tok Selehor (Tok Selehong) dari pantai timur. Malah cara ini juga pernah di buat oleh mereka-mereka yang ingin mencari Allah. Malah ada juga penggali kubur yang pernah mencuba cara ini. Iaitu gali kubur anda sendiri, di mana-mana tapak yang sesuai, di perkuburan sebenar pun boleh, sebab semua makhluk pun akan ke tanah perkuburan. Tidurlah di situ dari selepas isyak dan bangun sebelum subuh. Buat juga selama 40 malam, seperti mana Tok Selehor pernah melakukannya. Tanya diri anda sepuas-puasnya selama 40 malam itu tentang diri, kenalilah diri anda yang seperti mayat itu sebelum mengenal Allah tuhan yang maha luas. Sejuta soalan anda boleh tanya pada diri anda yang telah menjadi mayat, dan sejuta jawapan juga anda perlu cari untuk menjawab soalan anda. Rasalah diri menjadi mayat. Apakah seronok menjadi mayat? Apakah guna wang semasa menjadi mayat? Apakah gunanya pangkat semasa menjadi mayat? Apakah gunanya dunia semasa menjadi mayat?

Cara Ketiga:
Keizinan dariNya. Nampak sahaja ringkas dan mudah, tetapi ketiga-tiga cara ini sama sahaja sukarnya, sama sahaja rasanya, sama sahaja pemahamannya. Cuma cara pertama dan kedua itu anda perlu ada usaha. Cara yang ketiga Allah yang empunya gerak memberikan kefahamanNya kepada anda.

Walaupun anda telah mencuba kedua cara di atas, itu semua bukan jaminan Allah akan memberikan rahsiaNya kepada anda. Sekiranya anda mendapat faham tentang Allah, maka bersyukurlah kepadaNya. Jikalau tidak mendapat apa-apa kefahaman tentang Allah, bersukurlah juga kepadaNya. Sekurang-kurangnya anda mencuba, biarlah mati mencuba untuk faham Allah, dari mati mencuba untuk faham dunia.

Apapun yang anda ingin lakukan untuk faham Allah, biarlah cara yang anda ingin cuba itu tidak membahayakan diri anda, dan sesuai dengan keselesaan anda. Kalau dua cara di atas itu tidak sesuai untuk anda, fikirkanlah cara lain yang anda rasa sesuai untuk anda. Walau apa pun, jangan putus asa mencari Allah.

Monday 9 June 2014

Aku Juga Syariat

Tuan-tuan, saya tidak terus kenal Allah sebaik sahaja lahir, atau sebaik saja remaja atau dewasa ataupun sebaik sahaja tua. Saya sama seperti tuan-tuan, kenal Allah melalui jalan syariat. Belajar syariat sama seperti tuan-tuan, dosa, pahala, syurga dan neraka. Rukun Islam dan rukun iman. Sembahyang dan puasa. Allah itu di atas arasy. Allah itu di langit. Allah hanya boleh di lihat ketika di syurga. Malaikat nunkar dan nankir akan sebat kita dalam kubur. Semuanya sama seperti tuan-tuan belajar dan faham. Sama 100%. Tiada satu pun perbezaan syariat saya dengan syariat tuan-tuan.

Janganlah tuan-tuan ingat saya ini terus sahaja makrifat, terus sahaja kenal Allah, terus sahaja nampak Allah. Tidak, tidak dan tidak. Cuma Allah telah permudahkan saya untuk kenal dan nampak Dia, itu sahaja, dan jalan yang saya lalui untuk melihat Allah adalah sukar dan sangat sukar, sehinggakan saya berkata,

Ya Allah adakah lagi manusia yang masih hidup setelah melihat engkau Ya Allah?

Adakah manusia yang masih boleh tahan sesaat hidup setelah melihat Engkau Ya Allah?

Adakah manusia yang Engkau telah perlihatkan diri Mu, masih mampu untuk berjalan, bergerak, sembahyang dan puasa di atas muka bumi ini Ya Allah?

Aku sahaja sudah tidak mampu untuk makan, minum, sembahyang dan berzikir kepadaMu Ya Allah?

Malah namaMu pun tidak mampu aku sebut kerana sangat takutnya aku kepada Engkau Ya Allah?

Bagaimana aku mampu lagi untuk hidup Ya Allah, sedangkan Engkau terlalu besar untuk aku tafsirkan Ya Allah?

Jangankan tubuh, tulangku pun menggeletar bila menyebut namaMu Ya Allah?

Tolonglah aku Ya Allah. Jangan Kau perlihatkan DiriMu yang Maha Besar dan Gagah itu kepadaku yang Allah, hancur tulang-tulangku Ya Allah?

Ini cuma sedikit dari ribuan mungkin jutaan rintihan saya kepada Allah. Apabila begitu mudahnya saya dapat melihat Allah, begitu mudah saya faham Allah, saya menjadi sangat-sangat hairan melihat manusia dan dunia yang sangat susah untuk melihat Allah. Kenapa? Kenapa dan Kenapa? Saya bertanya kepada Allah. Maka Allah menerangkan segalanya kepada saya. Bacalah Al-Quran. Itu kalam Aku, tuhan kamu, yang sepatutnya sangat-sangat-sangat dan sangat kamu takuti, tetapi kamu ingkari. Maka Allah pun memberikan ilmuNya kepada saya. Mulanya saya berfikir, perlu ke hanya aku sahaja yang tahu dan simpan untuk aku sahaja ilmu Allah ini, atau kalau aku sebarkan, manusia lain takkan faham dan menuduh aku murtad dan kafir, atau aku mungkin dibunuh atas sebab menyebarkan ilmu yang sukar di dalam mudah ini.

Akhirnya aku mengambil keputusan menyebarkan sahaja ilmu Allah ini, semua pun Allah, apa nak susah sangat. Aku rasa lebih baik disebarkan daripada aku simpan ia untuk aku bawa mati, sekurang-kurangnya kalau ada manusia lain yang faham Allah seperti aku, mungkin mereka dapat tahu sesuatu dari ilmu Allah ini. Mungkin mereka dapat faham Allah dengan lebih lagi bila membaca ilmu ini. Untuk mereka-mereka yang tidak faham makrifat, biarlah mereka baca dalam keadaan tercengang-cengang sekarang, supaya esok bila mereka sudah faham dan nampak Allah, segala yang dahulunya tercengang menjadi biasa dan mudah.

Dengan fahaman ini aku nekad mencurahkan ilmu rahsia Allah ini kepada semua. Bacalah, walau pun tak faham, buat-buat je faham dulu, aku dulu pun macam tu jugak, tak faham, buat-buat faham, bila dah faham, macam tak faham-faham.

Jangan putus asa tuan-tuan. Allah itu tetap disitu, tidak berganjak dan tak akan pernah ingin berganjak dari tempatNya. Hanya kita yang berganjak tak nak faham Allah, tak nak cari Allah. Usaha tuan-tuan, usaha cari Allah, itu lah tujuan hidup ini, cari Allah sampai jumpa, sampai dapat, sampai ketemu. Tak jumpa bukan bererti tak dapat, cuma belum masanya saja lagi untuk dapat.

Aku Ingin Ke Gua

Bila mana Allah telah menunjukkan apa yang realiti kepada aku.
Ingin sahaja aku ke gua mendapatkan realiti itu.
Dunia ini tiada apa, melainkan sia-sia yang menipu.
Wang menipu.
Pangkat menipu.
Kawan-kawan menipu.
Isteri menipu.
Anak-anak juga menipu.
Aku juga mungkin tertipu.

Mati itulah yang benar.
Kubur itu benar.
Nungkar nangkir itu benar.
Kain kafan itu benar.
Ulat mayat juga benar.
Tanah itu benar.
Batu nisan itu benar.
Allah itu benar.
Sangkakala kedua juga benar.

Tapi Allah itu maha penyayang, kasih sayang Allah itu tidak boleh dihuraikan dengan bahasa mahupun dengan akal.

Dunia untuk aku.
Wang untuk aku.
Kawan-kawan untuk aku.
Isteri untuk aku.
Anak-anak untuk aku.
Aku adalah Allah.

Allah tidak ciptakan ulat mayat itu untuk sia-sia.
Pastinya aku ini diwujudkan bukan untuk sia-sia.
Kalau aku ke gua, adakah itu yang terbaik untuk aku?
Allah itu aku ingin letakkan di mana? Di dalam gua?
Allah itu kan yang terbaik, sudah tentu Allah hanya beri yang terbaik.
Bukankah dunia ini juga pemberian Allah, maka dunia juga adalah yang terbaik.
Maka serahlah diri pada Yang Maha Terbaik.

Hilangnya Allah Itu...

Apabila..
Roh ditiup masuk ke dalam jasad
Manusia menarik nafas pertama
Oksigen masuk mengaktifkan setiap saraf
Setiap saraf merasa nikmat hidup
Setiap juzuk diri hidup dan terus hidup
Otak manusia membesar dan boleh berfikir
Manusia merasa dirinya adalah manusia
Manusia merasa dirinya adalah tuhan
Manusia merasa dirinya penentu takdir dirinya sendiri
Manusia mempunyai nama
Merasakan nama itu dirinya
Manusia mempunyai tangan
Manusia mempunyai kaki
Manusia ada akal
Dan merasakan akal itu adalah dirinya
Dan merasakan akal itu penentu dunia
Manusia boleh bercakap
Merasakan bahasa itu untuk dia
Merasakan dia adalah melayu
Merasakan dia adalah cina
Merasakan dia adalah jepun
Merasakan diri laksana raja
Merasakan wang dan harta adalah alat dunia
Merasakan diri dipuja manusia
Merasakan berhala adalah tuhan
Merasakan manusia lain lebih bijak
Merasakan diri sendiri yang paling bijak
Merasakan dunia dicorak olehnya
Merasakan dia ingin menjadi yang terbaik
Merasakan dia adalah satu makhluk semulajadi
Merasakan makhluk lain juga sepertinya
Merasakan haiwan itu semulajadi
Merasakan apa yang ada di dunia ini adalah alat-alatnya
Memperalatkan manusia lain
Memperhambakan manusia lain
Menjadikan wang sebagai penggerak segalanya
Banyak lagi
Terlalu banyak untuk diluahkan
Mungkin tidak terhitung lagi apa yang ingin diluahkan

Betulkah semua yang diatas menyebabkan Allah itu telah hilang.
Manusia memang bijak menghilangkan Allah.
Allah itu memang bijak menghilangkan diriNya.
Tetapi Allah tidak pernah hilang.
Manusialah yang sering hilang arah.

Allah itu ada dan sentiasa terus ada, sayangnya Allah itu akan ada, bilamana manusia itu telah tiada.
Jadilah manusia yang tiada, supaya Allah itu akan terus sahaja ada.