Saturday 30 May 2015

Aku Busuk Tetap Mengadap Allah

Ya Allah Tuhanku Yang Penuh Belas dan Rasa Kasih
Aku tahu Ya Allah tanganku ini kotor
Tapi aku tiada tuhan selain Engkau
Maka aku hadapkanlah tangan kotorku ini kepada Engkau

Aku tahu kakiku ini juga kotor Ya Allah
Mahu atau tidak, ku hadapkan juga kaki kotorku ini Ya Allah kepada Engkau

Aku tahu lidah ku ini selalu berdusta
Tapi aku bukan ada tempat lain nak ku lari Ya Allah
Maka ku hadapkan juga lidah kotorku ini kepadaMu Ya Allah

Wajahku ini juga kotor Ya Allah
Wajah palsu yang bertukar-tukar dengan segala macam topeng
Wajah penuh dusta dan penipuan
Aku sangat malu untuk ku hadapkan wajah kotorku ini Ya Allah kepadaMu
Tapi aku tahu Ya Allah wajahmu sangat Mulia dan Suci
Maka dengan rasa malu dan hina ku hadapkan juga wajah kotorku untuk memandangMu

Ya Allah apakah aku mampu untuk lari dariMu kalau aku ini penuh kekotoran
Apakah aku mampu untuk menipuMu dengan merasa diriku ini Mulia dan Suci
Aku tahu Ya Allah aku ini manusia kotor, tetapi aku bukan ada tuhan lain selain Engkau
Maka walaupun aku ini penuh kekotoran, aku tetap mahukan Engkau
Aku tetap akan mengadap Engkau
Kerana aku tahu
Aku tidak mampu lari ke mana pun untuk menyembunyikan diriku ini yang penuh kekotoran

Busuknya aku Engkau pasti dapat menghidunya
Apakah aku mampu bersembunyi dariMu
Apakah aku mampu menipuMu dengan menyemburkan sejuta pewangi ke atas tubuhku
Untuk menyembunyikan busukku kepadaMu

Maka dengan itu Ya Allah
Aku tetap hadapkan segala busuk diriku kepadaMu
Kerana aku tahu Engkau tuhan yang penuh dengan rasa Belas dan Kasih

Maaf! Beberapa Cerita Telah Ditarik

Setelah aku membaca kembali beberapa cerita lama. Ada cerita mengandungi rahsia yang tinggi dan sukar difahami. Aku memohon maaf kerana telah mengeluarkan cerita yang tidak sepatutnya dikeluarkan. Aku juga memohon maaf kerana terpaksa menarik semula cerita itu. Kadangkala bila sedang asyik, gila dan mabuk dengan Allah. Apa pun kita sudah tidak perasan. Sesiapa yang sempat salin cerita itu. Itu rezeki anda. Baca balik dan semoga Allah memahamkan anda.

Kalau ikutkan hati memang aku nak buka semua rahsia. Tetapi aku faham. Aku bawa sesuatu yang menghairankan. Aku bawa sesuatu yang gila. Aku bawa sesuatu yang melebihi semulajadi. Maka kerana itu aku perlu hadkan apa yang ingin diceritakan. Aku ada juga bercerita dengan mereka yang baharu hendak berjinak-jinak dengan makrifat. Malangnya mereka tidak mampu faham cerita aku. Malah aku pula dituduh gila. Oleh kerana itu aku merasakan, perlu menghadkan cerita tentang Allah.

Ilmu pelik, ilmu hairan bukan semua orang boleh faham. Manusia mempunyai keterbasan akal dan keterbasan kefahaman. Bila sesuatu itu melebihi dari keterbasan akal, kesimpulan mudahnya orang yang menyampai cerita itu gila. Macam juga bumi ini. Pada suatu masa dahulu, mereka yang mengatakan bumi ini bulat adalah gila.

Ada juga cerita yang masih mengandungi rahsia, yang tidak terlalu membebankan akal, aku lepaskan di blog ini. Kalau timbul kontroversi, aku tarik balik.

Dalam menyampaikan ilmu rahsia ini, aku lebih suka berkias. Bila berkias orang yang faham sahaja akan faham. Mereka yang suka membaca yang tersurat tidak akan nampak yang tersirat. Mereka yang memang hidup dalam tersurat tidak tahu ada rahsia disebalik itu. Jadi rahsia itu hanya akan sampai pada mereka yang faham. Mereka yang tidak faham. Hanya boleh baca dan tidak faham rahsianya. Cara ini lebih mudah.

Aku boleh menyampaikan rahsia dalam satu kod yang tidak semua orang faham. Mereka yang faham kod itu, rahsianya akan jelas. Mereka yang tidak faham kod itu, rahsianya akan jadi kabur dan hilang. Cara ini lebih selamat dalam menyampaikan rahsia. Bukan aku menyembunyikan, cuma rahsia yang terang bersembunyi di dalam sesuatu yang kabur.

Jadi aku membocorkan rahsia hanya pada mereka yang faham. Pada mereka yang tidak faham, rahsia itu masih selamat dan tidak bocor. Cara inilah yang aku fikir lebih mudah untuk semua orang dan juga lebih selamat dalam menyampaikan.

Terima kasih kepada anda yang masih dahagakan Allah. Selagi Allah belum panggil aku berhenti, aku akan berkarya atas ilmuNya. Kalau Allah sudah panggil aku balik, maka baliklah aku kerana Tuan aku dah panggil balik.

Wednesday 6 May 2015

Mimpiku - Bab 1/2

Sewaktu di awal segalanya bermula
Aku sering bermimpi
Bermimpi benda yang belum pernah dimimpi
Bermimpi benda yang tidak pernah difikir
Bermimpi benda yang tidak terlintas difikiran
Bermimpi benda yang tidak pernah difahami
Bermimpi benda yang semua orang tidak pernah faham

Antara yang awal aku bermimpi
Aku menjadi mayat
Diriku dimakan ulat
Ulat di dalam rendaman air mayat sendiri
Ulat mayat berendam air hitam
Menyedut setiap darah busuk dan daging yang membusuk
Beribu-ribu, berjuta-juta
Memakan setiap inci tubuh busuk
Aku seolah-olah dipaksa melihat
Dari jarak yang amat dekat
Tidak pernah aku melihat apa pun benda sebegitu dekat
Benda yang ku lihat sebegitu dekat
Terasa amat besarnya ulat mayat

Aku bertanya
Itukah aku
Ya itulah aku
Aku yang sombong
Aku yang bongkak
Aku yang takbur
Aku yang riak
Aku yang zalim
Aku yang menipu
Aku yang memakan segala yang haram
Aku yang membuat segala yang haram
Aku yang sombong dengan tuhannya
Itulah aku

Habis kalau yang hancur musnah itu aku
Yang wujud dan bernafas dan bergerak ini siapa pula?
dot dot dot
(maaf, tidak boleh ku cerita)
Di sini perbezaan kefahaman akan berlaku
Tidak mungkin kau akan faham aku

Maka aku menangis semahu-mahunya
Apalah aku ini
Ada tangan, tangan pun hancur
Ada akal, akal pun busuk di makan ulat
Ada kaki, kaki pun hilang
Ada jantung, jantung pun tidak boleh nak berdenyut

Hinanya aku
Terasa diri aku yang punya
Rupa-rupanya bukan
Ada sesuatu yang punya
Sesuatu yang MAHA hebat
Tidak terungkai dek akal
Tidak terurai dek ilmu
Bersembunyi di dalam terang
Di sangka hilang rupanya nyata
Di sangka tiada rupanya di depan mata

Terima kasih Allah
Di dalam mimpi Dia mengajarku
Sesuatu ilmu yang disangka rahsia rupanya nyata
Rahsia yang bukan rahsia
Tersembunyi di sebalik nyata
Hanya yang faham akan faham
Yang tidak faham memang tak akan faham

Mudah rupanya ilmu rahsia ini
Cuma susah untuk nak buka
Itulah mimpi terawal ku
Bukan sekali datangnya
Berkali-kali malah sehingga kini
Masih mimpi yang sama
Berulang-ulang
Sudah terbiasa

Terima kasih Allah
Atas mimpi
Atas ilmu di dalam mimpi
Ku sangka tersembunyi
Rupanya nyata
Kuasamu tersangat hebat
Jumpa lagi Allah
Di dalam kehitaman air mayat bersama ulat

Ingat Allah! Bila?

Ada orang ingat Allah di waktu sembahyang
Ada orang ingat Allah di waktu berzikir
Ada orang ingat Allah bila di rasa perlu
Bila sebenarnya Allah itu perlu diingat?
Adakah pada waktu-waktu tertentu sahaja
Adakah pada waktu-waktu yang dirasakan sesuai sahaja

Ingat Allah itu dia berterusan
Ingat Allah itu dia tiada putus
Ingat Allah itu dia tiada sempadan
Ingat Allah itu dari mula hingga tiada penghujung
Ingat Allah itu dari rasa yang berterusan
Ingat Allah itu dalam setiap kewujudan dalam setiap kehilangan
Ingat Allah itu tiada bermusim
Ingat Allah itu tiada sempadan
Ingat Allah itu di sebarang masa
Ingat Allah itu di sebarang tempat

Faham ke bila perlu ingat Allah?
Jangan disebut dalam sembahyang
Jangan disebut dalam zikir
Ingat Allah itu tiada henti dan tiada tamat

Tolong perbetulkan waktu ingat Allah
Jangan disebut lagi hanya dalam sembahyang dan di dalam zikir
Jangan diajar benda yang salah
Semua ini harus diperbetulkan

Ingat Allah itu disebarang tempat dan di sebarang masa
Di dalam tidur dan di dalam jaga
Jaga Allah diingat
Tidur Allah di dalam mimpi
Tiada benda lain
Tiada perkara lain

Aku ini hamba hina
Aku ini tiada apa-apa
Aku ini tidak pernah ada
Aku hanya menyampai
Sesuatu yang bukan dari aku tetapi dari AKU