Saturday 12 July 2014

Makam Tinggi, Makam Rendah!

Ada yang mengatakan memahami makrifat itu membuatkan orang itu berada pada makam yang tinggi, ada yang mengatakan syariat itu pula berada pada makam rendah. Apa perlunya tinggi rendah dalam mengenal Allah. Adakah bila mengenal Allah itu seseorang itu boleh mendakwa dia makam tinggi. Ingat makam itu juga dipanggil kubur. Tinggi mana makam makrifat? Dan rendah mana pula makam syariat? Di depan tinggi dan rendah itu kan ada perkataan makam yang membawa maksud kubur. Lebih mengenali makam itu kan lebih bagus dari mengenali tinggi dan rendah. Yang tinggi tak tahu berapa tingginya? Yang rendah tak tahu berapa dalamnya? Lebih baik ambil tahu macamana keadaannya bila kita dimakamkan.

Saya berharap selepas ini tidak timbul lagi anggapan ilmu makrifat itu makamnya tinggi, orangnya hebat, kenal sangat Allah, memegang kunci syurga, pasti masuk syurga dan ilmu makrifat sudah tinggi tidak perlu lagi belajar ilmu lain yang makamnya rendah. Tolonglah tuan-tuan, jangan ada rasa seperti ini. Makam tinggi ke, rendah ke yang penting hanya Allah. Kenal Allah dan cari Allah, itu lebih penting dari sibuk dengan membincangkan makam tinggi dan makam rendah.


Aku Adalah Tuhan

Ketika Allah mencipta manusia, dia memasukkan rohNya ke dalam jasad manusia.
Apa dia roh itu, Allah mengatakan roh itu rahsia hanya milikNya.
Sebenarnya roh itu mewujudkan rasa Aku.
Dan Aku akan mewujudkan rasa diri.
Dan diri akan mewujudkan rasa tuan.
Dan tuan akan mewujudkan rasa tuhan.
Sebab itu manusia akan mudah merasakan dirinya adalah tuhan.

Bila rasa dia sudah tuhan, mana mungkin manusia boleh lagi nampak tuhan.
Hebatnya Allah itu, memberi rasa tuhan kepada kita.
Sebenarnya rasa tuhan yang Allah beri itu untuk kita jumpa dan nampak Dia.
Tapi rasa tuhan itulah yang banyak menghilangkan segalanya.
Rasa aku adalah sama dengan rasa tuhan.
Maka aku akan selalunya mengatakan dirinya adalah tuhan.
Maka tuhan yang sebenarkan akan hilang di dalam aku.

Sedangkan kalau tahu siapa aku itu.
Maka pemberi rasa aku itu akan muncul di depan kamu.
Allah inginkan aku di dalam diri sedar dan cari pemberi rasa aku.
Malangnya banyak manusia sudah menjadi Aku dan lupa cari siapa Aku.
Aku adalah tuhan, buang aku maka nampaklah tuhan.
Bila hilangnya rasa aku itu,
Bila roh yang merasa aku ditarik oleh empunya roh.
Maka tiadalah sudah rasa aku.
Masa itu akan nampaklah yang sebenarnya siapa Aku?

Tuesday 8 July 2014

Kamu Tidak Perlu Faham Aku

Kerana aku tahu kamu memang tidak akan pernah untuk dapat memahami aku. Hanya aku yang faham aku, dan aku nak bagi kamu supaya faham aku, tetapi aku tidak pernah mengharapkan kamu supaya faham aku. kerana aku tahu, aku di mana dan kamu di mana.

Aku bercerita hanya untuk meluahkan rahsia tuhan. Bukan untuk supaya kamu boleh faham tuhan, kerana tidak mungkin kamu boleh faham tuhan, tanpa tuhan yang memahamkan kamu. Tapi sekurang-kurangkan kamu sudah ada gambaran tuhan yang kamu tidak dan belum lagi faham. Tidak mengapa, cukup sahaja kamu dapat gambaran yang kamu tidak faham. Tunggu sahaja faham itu diluluskan oleh yang empunya faham dan akan beri faham.

Aku ingin sangat supaya kamu faham, dan aku tidak pernah marah sekiranya kamu masih juga tidak faham-faham. Aku juga dulu tidak pernah faham dan tak faham-faham. Tapi akhirnya pemahaman itu diluluskan oleh pemberi faham. Aku juga mengharapkan Dia akan meluluskan faham itu kepada kamu.

Jangan kamu gusar dan marah sekiranya masih tidak faham. Teruskan baca dan baca dan baca. Lebih baik dari cuba nak faham dari langsung tak nak ambil tahu tentang tuhanmu. Sekurang-kurangnya kamu menunjukkan minat untuk faham siapa tuhan kamu? Itu pun sudah satu usaha yang bagus dari kamu, dari sekalian banyaknya yang langsung tidak mahu ambil tahu tentang tuhannya. Aku memang sangat berharap Dia akan memberi kamu faham.

Dia itu sangat faham kamu. Dia itu terlalu faham sangat akan kamu. Sangat rugi sekiranya kamu tidak mahu ambil faham tentang Dia yang selalu faham sangat akan kamu. Patutkah kamu membiarkan sahaja Dia yang selalu ambil faham tentang kamu, sedangkan kamu tidak mahu pun ambil tahu dan faham akan Dia. Berubahlah sekarang, dan ambil faham akan Dia, kerana Dia selalu tunggu akan kamu untuk diberi faham akan Dia. Semoga kamu memperolehinya.


Bila Kiamat?

Kebanyakkan dari manusia selalu ingin hendak tahu bilakah kiamat berlaku? Saya merasa amat hairan kenapa perlu untuk tahu suatu hari yang pasti tiba dan hari itu pula sebesar-besar rahsia tuhan? Perasaan untuk tahu bilakah kiamat, dikhuatiri akan menyebabkan manusia semakin lalai kerana merasakan lambat lagi kiamat akan berlaku. Bila lambat lagi kiamat akan berlaku, dikhuatiri proses mencari tuhan juga semakin lambat. Sedangkan ada satu kiamat yang lebih cepat dari kerdipan mata, iaitu mati. Itulah kiamat yang paling cepat untuk semua manusia, kerana kecepatannya adalah lebih cepat dari kerdipan mata. Kalau nak diikutkan ianya terlalu cepat daripada itu.

Inilah kiamat yang sebenar-benarnya. Apakah bila kita tahu tarikh bila datangnya hari kiamat ianya akan memberi faedah kepada kita? Tidak sama sekali. Mana mungkin satu hari yang menjadi rahsia tuhan akan memberi faedah lebih daripada mencari tuhan? Kiamat ini hak mutlak pemilik kiamat. Suka hati pemiliknya untuk menjatuhkan hari itu tanpa apa-apa tanda awal atau tanda akhir. Hari itu pula boleh dijatuhkan pada bila-bila masa yang Ia suka. Tak kira bila, suka hati Dia. Tarikh yang menjadi suka hati Dia, tak perlulah kita menyibuk nak tahu juga bila tarikhnya. Kalau nak tahu sangat bila kiamat? Baik ambil tahu bila tarikh kita mati. Itulah tarikh kiamat yang lebih baik kalaupun kita nak sangat ambil tahu.

Tetapi tarikh ini tidak dihiraukan oleh kebanyakkan dari kita, yang lebih menarik perhatian kita, bila dunia akan kiamat? Bila kiamat? Bila nak kiamat? Kiamat dah dekat? Lambat lagi kiamat? Mati lebih dekat dari kiamat.

Ambillah tahu satu tarikh yang dekat dan pasti sampai. Jangan sibuk sangat nak tahu tarikh yang menjadi rahsia tuhan. Biarkan tuhan saja yang tahu tarikh itu. Tak perlulah kita ambil tahu. Segala yang tertulis pasti berlaku. Segala yang tersurat pasti terlaksana. Mati tidak perlu tanda-tanda. Kiamat mati tidak perlu lagi ditanya-tanya bila nak mati. Ia datang dan pasti datang, dan ianya sangat cepat.

Berapakah jarak masa kiamat dari tanda-tanda awal kiamat? 10 tahun, 100 tahun, 1,000 tahun atau 100 juta tahun. Berapakah pula jarak masa kiamat dari tanda-tanda akhir kiamat? 10 tahun, 100 tahun, 1,000 tahun atau 100 juta tahun. Bila tanda-tanda akhir kiamat sudah muncul, maknanya sudah dekat sangat nak kiamat. Berapa pulak dekatnya? 1 hari, 1 jam, 1.1 saat atau 1 saat. Tak tahu juga. Kenapa sibuk sangat nak ambil tahu satu tarikh waktu yang semua orang pun tak tahu berapa jauhnya dan berapa dekatnya?

Lebih baik kiamat dimakan ulat mayat itu lebih diambil tahu kerana kita akan menjadi debu tidak bersisa. Kalau tarikh yang bila kita akan menjadi debu pun kita malas nak ambil tahu, jadi jangan sibuk nak ambil tahu pasal kiamat.

Tuesday 1 July 2014

Aku Tiada Apa

Aku bodoh.
Aku lemah.
Aku lupa.
Aku lemas.
Aku hilang.
Aku tiada apa-apa, aku tidak pandai, aku tidak berkata-kata, aku juga tidak bergerak-gerak. Segalanya dari Allah. Bukan aku, aku tiada, aku hancur, aku hilang.
Janganlah anggap aku pandai, janganlah anggap aku bijak, janganlah anggap aku sombong, janganlah anggap aku apa-apa saja.

Aku tiada, aku bisu, aku hancur. Anggap sahaja semuanya Allah, Allah pandai, Allah berkata-kata, Allah bergerak-gerak. Hilangkan aku, tolong hilangkan aku. Allah sahaja yang ada dan Allah sahaja yang kalian nampak.

Berdoa Dan Meminta

Kadangkala aku merasakan berdoa ini seolah-olah memberitahu Allah tentang kerjaNya. Lebih tepat lagi kita memberitahu Allah, apa yang Allah perlu buat, atau lebih senang pemahamannya kita anggap Allah tak tahu nak buat kerjaNya, sehinggakan kita pula kena beritahu Allah buat ini dan buat itu, sebab itulah wali-wali Allah sangat jarang berdoa. Malah doa Rabiatul Adawiyah juga sangat mudah dan tidak meminta itu ini.

Sebenarnya aku sangat malu untuk meminta apa-apa dari Allah. Berdoa itu maknanya meminta. Macamlah Allah itu tidak cukup memberi sesuatu kepada kita. Allah yang kita kenal sebagai Maha Memberi telah gagal menjalankan tugasnya sebagai pemberi kepada kita. Apa lagi yang tidak cukup Allah bagi pada kita, sampaikan kita tak tahu malu nak meminta-minta dari yang Maha Memberi. Nyawa dan tubuh ini pun tidak mampu dibalas dengan sujud sejuta tahun. Nak minta apa lagi.

Kadangkala kita ini hendak mengadu pada tuhan yang penyayang. Kita mungkin ada masalah yang tidak tertanggung, dan ingin mengadu. Tidak mengapa, mengadulah kepada Allah, Allah maha mendengar. Cuma jangan meminta, hanya mengadu macam kita bercerita kepada Allah.

Tapi kalau nak berdoa juga, jangan minta apa-apa untuk diri sendiri. Mintalah untuk orang lain, seperti minta Allah bagi hidayah pada orang, minta Allah bagi pertolongan kepada orang lain atau minta Allah bagikan makrifatnya pada orang lain. Kita ni mudah kesian pada orang lain, sebab itu kita mudah untuk berikan doa pada orang lain. Doa seperti ini bukan untuk kita tetapi untuk orang lain. Doa untuk diri sendiri itulah yang saya maksudkan seperti perenggan pertama di atas.

Cari Allah Sampai Jumpa

Tuan-tuan, dalam mencari Allah kita tidak boleh putus asa kerana Allah tidak pernah putus asa dengan kita. Maka kita lebih lagi tidak boleh berputus asa dengan Allah. Kita tidak boleh putus semangat, putus harapan, bosan, letih, tak larat, menyampah dan berbagai-bagai lagi alasan. Allah tidak pernah bagi alasan pada kita. Sepatutnya kita tidak boleh bagi alasan pada Allah.

Mungkin setahun cari tak jumpa Allah, tak pe, cari lagi untuk sepuluh tahun, kalau tak jumpa lagi, tak pe, cari lagi untuk 20 tahun. Masih tak jumpa, tak pe, cari lagi untuk 30 tahun, Allah tak pernah jemu dengan kita sepanjang umur dunia. Biar sampai malaikat maut mencabut nyawa kita, carilah Allah tuan-tuan.

Lebih baik kita mati mencari Allah yang tidak kita jumpa, daripada kita hidup mencari dunia yang pasti hancur lebur. Mencari yang kekal lebih baik dari mencari yang akan hancur. Kenapa kita tidak pernah putus asa kepada dunia yang akan hancur, tetapi putus asa dengan Allah yang kekal?

Carilah Allah tuan-tuan. Caranya ada banyak, ada yang telah saya ceritakan, ada yang belum saya ceritakan. Kadangkala saya takut nak buka semuanya rahsia Allah. Bukan tidak mahu cerita. Cuma takut orang lain tidak boleh faham dan membuatkan perkara ini jadi semakin sukar buat tuan-tuan.

Mungkin perlahan-lahan saya akan bukakan juga rahsia Allah ini. Cuma mungkin waktunya sahaja tunggu keizinan dari yang empunya rahsia. Sebenarnya ada rahsia yang saya dah buka, cuma tuan-tuan nampak atau tidak terpulanglah kepada Allah yang menampakkan rahsianya.

Saya tidak pandai, saya tiada apa-apa. Hanya Allah yang pandai dan dia empunya segala-galanya. Semoga tuan-tuan dibukakan hari untuk memahami Allah dan dapat melihat Allah.