Saturday 18 October 2014

Soalan-soalan Ganas?

Soalan yang aku utarakan ini, hanyalah soalan yang pernah aku baca dan dengar dari bermacam-macam orang. Jadi aku utarakan di sini sebagai bahan bacaan sahaja dan bukan untuk mencari jawapan. Mungkin tiada lagi sesiapa yang pernah menjawabnya, ataupun ada yang pernah menjawabnya cuma mungkin aku tidak pernah mendengarnya.

Soalan-soalan ini amatlah pelik dan memeningkan. Jadi bacalah ia hanya sebagai satu cerita sahaja. Jangan dicarikan jawapannya. Takut-takut nanti sesat pulak jadinya ataupun takut nanti tak jumpa pula jawapannya.

Aku seorang manusia, duduk di atas gunung, aku tidak pernah berkahwin, aku tidak pernah menyentuh arak, malah aku tidak pernah menyentuh wanita seumur hidupku, Islam tidak pernah sampai kepada aku, bila aku mati di manakah tempatku? Aku tak pernah tahu Allah dan Islam di dalam hidupku, tiada orang islam yang pernah naik ke gua aku yang tinggi di atas gunung itu, tv tiada siaran di sana, internet pun tiada coverage di sana, tiang telefon pun tak boleh nak dipasang sebab rumah kediaman dan kedai tiada di atas gunung sana, yang ada hanya manusia dan rumah ibadat. Aku tak pernah dengar tentang Islam dan Allah dalam hidup aku. Patut ke aku dimasukkan ke neraka?

Aku seorang nenek tua, aku membesarkan anak-anakku dan sekarang aku membesarkan cucu-cucuku di sebuah pendalaman. Aku juga tidak pernah dengar tentang Islam dan Allah. Bila aku mati di manakah tempatku?

Aku seorang wanita, aku sembahyang lima waktu sehari. Aku selalu dengar penghuni neraka paling ramai wanita. Kenapa pula aku perlu sembahyang kalau setakat ingin dimasukkan ke neraka. Islam tidak adil kerana ramai wanita masuk neraka, sedangkan agama lain, tidak begitu. Mereka yang berdosa akan diampunkan sekiranya bertaubat dan berpeluang masuk ke syurga. Lebih baik aku masuk agama lain, jadi peluang aku masuk syurga lebih cerah.

Aku dari agama lain, aku dengar orang Islam cakap hanya orang Islam sahaja yang masuk syurga, semua orang dari agama lain akan masuk neraka. Jadi kenapa tuhan kalian sahaja yang benar, dan tuhan selain Islam salah. Sekiranya aku mengamalkan agamaku dengan betul, tiada peluangkah aku ke syurga?

Allah ciptakan manusia, Allah ciptakan agama. Kenapa pula agama-agama lain tiada peluang untuk masuk ke syurga. Adakah Allah ciptakan manusia dan agama lain itu untuk di bakar di dalam api neraka?

Sebenarnya semua agama mengajar menuju kepada tuhan, tuhan itu satu, jalan nak menuju tuhan sahaja yang banyak, jadi semua agama adalah benar, kerana percaya tuhan yang satu. Jadi siapa yang baik walaupun dia dari agama lain, dia akan masuk syurga yang sama dengan orang Islam masuk. Siapa yang jahat akan masuk neraka yang sama orang Islam masuk.

Itu adalah contoh-contoh sedikit dari banyak soalan yang aku dengar dalam hidupku. Baca sahaja dan jangan difikirkan jawapannya. Aku tidak meminta kalian menjawabnya, kerana jawapan kalian nanti akan mengundang perbalahan, pertengkaran, perselisihan, pergaduhan, dan sejuta macam kemungkinan. Aku serah pada Allah yang Maha Tahu untuk menjawabnya. Aku hanya hamba bodoh dalam menjawab. Aku tak tahu jawapan. Biarlah Allah sahaja yang jawab.

Ada Soalan?

Aku faham, manusia yang hebat ni, sifatnya suka nak tanya untuk tahu. Bila lihat dunia, dia nak tahu dunia dari mana? Bila lihat manusia, dia nak tahu manusia dari mana? Blog aku ini juga, aku tahu, banyak yang ingin bertanya. Aku tahu banyak soalan yang berlegar-legar dalam kepala anda bila membaca blog ini. Sejuta satu soalan anda ingin tanyakan. Terus terang aku katakan, aku tidak pandai menjawab pertanyaan.

Allah sahaja yang pandai menjawab. Kalau kalian bertanya pun, aku hanya boleh menjawab, jawapannya adalah Allah. Ada yang bertanya memang untuk nak tahu. Ada nak bertanya untuk tunjuk dia lebih pandai. Ada yang bertanya sebab dia dapat soalan bocor dari tok guru syariatnya untuk memerangkap orang makrifat. Semua pertanyaan tidak salah. Cuma aku bodoh tak pandai nak jawab apa pun. Kalau nak tahu tentang Allah, aku boleh ceritakan. Kalau nak tanya soalan, aku tak pandai menjawab. Jawapan aku hanya Allah. Itu sahaja yang aku boleh jawab, sebab aku bodoh. Aku tiada ilmu menjawab, aku hanya ada ilmu bercerita tentang Allah. Maafkan aku yang bodoh ini.

Kalau nak tahu jugak, sebenarnya jawapan orang makrifat ini pelik dan mengarut untuk orang yang bukan makrifat. Dengar pun takut. Memang sesat jawapannya. Sebab tak boleh nak faham jawapannya. Sebab jawapannya gila dan tak masuk akal. Akal yang di dalamnya ada otak yang lembut untuk disedut oleh ulat mayat atau cacing. Jadi daripada kamu tak faham jawapannya. Baiklah aku tak payah bagi jawapan. Itu lebih mudah dan lebih senang. Nanti aku akan di tuduh gila, bodoh, sesat, takde otak dan macam-macam tuduhan lagi. Aku dah kata jawapan aku gila dan sesat, sebab jawapan orang makrifat ini biasanya jawapan itu akan membangkitkan persoalan yang baru pula, kerana jawapan yang diberi tidak boleh difahami, jadi jawapan itu akan mengundang soalan yang baru, bila jawab lagi, keluar lagi soalan baru, sebab yang menerima jawapan tidak boleh faham jawapan gila dan sesat yang diberikan. Jadi janganlah kamu mendengar jawapan aku.

Lebih baiklah aku jawab Allah yang lebih tahu jawapannya. Jadi mudah. Anda tidak perlu mendengar jawapan gila dan sesat dari aku. Harap anda semua tidak bertanya apa jua soalan kepada aku, sebab aku bodoh tak pandai nak jawab soalan. Maafkan aku.

Blog Ini Untuk Siapa?

Aku hanya menyampaikan ilmu tentang tuhan. Blog ini untuk semua makhluk yang ingin mencari ilmu, dan khususnya yang ingin mencari tuhan yang tersembunyi di dalam terang. Tidak kira apa agama anda, tidak kira apa bangsa anda, orang yahudi pun boleh baca blog ni. Athies pun boleh baca blog ni. Aku hanya menyampai ilmu untuk seluruh alam. Ilmu tidak boleh terhad untuk sesuatu kaum atau agama. Ilmu itu sifatnya universal. Meluas dan untuk semua.

Blog ini juga bukan untuk orang makrifat sahaja. Blog ini untuk orang syariat, tarekat dan hakikat. Kalau athies pun boleh baca blog ini. Apalagi orang yang mencari tuhan. Bagaimana orang dari tingkat kefahaman yang lain boleh memahami makrifat kalau blog yang aku buat hanya untuk bacaan orang makrifat sahaja? Hebat sangat ke makrifat ni, sampaikan orang dari tingkat kefahaman yang lain tak boleh nak baca blog makrifat? Bacalah, blog ini untuk anda semua. Kalau boleh aku nak semua pembesar negara membaca blog ini.

Kita semua sama, syariat juga mencari Allah, tarekat juga mencari Allah, Hakikat juga mencari Allah. Bacalah apa yang ada. Setuju ke tak bersetuju ke, boleh terima ke tak boleh terima ke, boleh faham ke tak boleh faham ke, baca je lah. Blog ini untuk semua. Aku hanya menyampaikan cerita tuhan. Cerita tuhan adalah untuk manusia. Cerita tentang tuhan jangan di hadkan eksklusif hanya untuk orang makrifat sahaja. Sayangnya Allah itu tidak boleh dikongsi dengan orang lain.

Friday 17 October 2014

Tidak Mungkin

Ya Allah
KebesaranMu tidak mungkin aku faham
KepandaianMu tidak mungkin aku faham
KekuasaanMu tidak mungkin aku faham
KebijaksanaanMu tidak mungkin aku faham
KekayaanMu tidak mungkin aku faham
Belah kasihMu tidak mungkin aku faham
KesempurnaanMu tidak mungkin aku faham
Segalannya tentang Mu Ya Allah, semuanya tidak mungkin aku faham
Bagilah aku faham Ya Allah walaupun sedikit
Walaupun sedikit daripada segala-galanya
Bagilah aku faham Ya Allah
Kerana aku hendak tahu tentang kau Ya Allah
Kerana Kau pencipta aku
Dan aku mesti nak tahu tentang Kau
Walaupun aku tak layak tahu
Walaupun aku tak mampu tahu
Tapi aku nak tahu jugak
Walaupun sedikit

- Luahan di atas terlintas sepintas lalu sewaktu aku balik dari kerja, ianya datang secara tiba-tiba tanpa diundang, aku terus ambil perakam suara dan terus rakam sewaktu ianya sedang keluar dari mindaku. Dalam pada aku cuba untuk merakam setiap yang terlintas dan setiap yang terluah, kadangkala aku tidak sempat juga merakam sebab ianya datang terlalu cepat dan ianya pergi terlalu cepat. Ada benda yang aku ingat masa ia datang, dan selepas itu aku terus lupa. Kadang kala aku rasa sayang sebab tak dapat nak simpan ilmu Allah itu masa ianya datang. Tapi aku masih cuba untuk simpan, rakam dan luahkan di sini.

Hidup, Mati, Allah

Kita kata hidupku dan matiku hanya untuk Allah, tapi dalam diam kita berdusta kepada Allah. Kita sulam kata-kata janji keramat itu dengan bermacam ragam dan karenah. Kita lakukan sesuatu itu kerana hendakkan nama, kita buat kerana hendakkan pangkat, kita buat kerana hendakkan duit, kita buat kerana hendakkan sijil, kita buat kerana hendak dipuji, kita buat sesuatu supaya orang nampak kita ini orang yang baik-baik, kita buat kerana hendak orang puji kita wira negara, hendak pengiktirafan orang lain dan kita juga buat sesuatu kerana hendakkan pahala.

Kita mungkir janji dengan pemilik neraka. Hidup dan mati kerana Allah, kita selitkan hidup dan mati kerana hendakkan pahala. Allah sahaja tidak cukup, kena juga ada pahala. Kadangkala pahala lebih kita ingat bila buat sesuatu yang baik, Allah telah diganti dengan pahala. Aku buat ini kerana hendakkan pahala. Hilang sudah 'kerana Allah sahaja'. Lillahitaala tidak boleh datang bersama ingatkan pahala. Allah tiada pahala. Allah hanyalah Allah. Kamu tidak boleh hendakkan Allah dan pada masa yang sama kamu hendakkan pahala. Sebenarnya kamu inginkan Allah atau pahala? Cuba pilih satu. Mana lebih utama Allah atau pahala? Boleh tak cuma pilih satu. Pilih Allah, pahala tiada. Pilih pahala, ambillah pahala, Allah tiada. Allah hanya satu. Kamu kata hidup dan matiku untuk Allah. Tidak boleh hidupku untuk cari pahala, matiku sebab nak bawa banyak pahala, tidak boleh.

Hidup, mati, Allah. Hanya itulah yang ada dan sentiasa ada.

Dashyat getarannya

Setiapkali aku terbayangkan dashyatnya kuasa Allah.
Aku inginkan tulangku terus menjadi debu saat itu juga
Aku tidak mampu untuk menanggung beban dashyatnya kuasa Allah
Kadangkala aku terpaksa mengawal otakku supaya berhati-hati bila memikirkan dashyatnya kuasa Allah
Sebab bila terlalu memahaminya, habis bergegar seluruh tulangku dan ingin hancur saat aku terbayangkan dashyatnya kuasa Allah itu
Aku kena memikul perkara ini sepanjang hayatku
Aku kena bertahan dari tulangku hancur sepanjang hayatku
Aku kena sentiasa biarkan tulangku menggeletar dan bergetar dan hancur sepanjang hayatku
Biar, biarkan apa sahaja, asalkan untuk Dia
Kadangkala aku terpaksa dengan cepat mengalihkan perhatian otakku bila terfahamkan kedashyatan kuasa Allah
Tak boleh aku memahamkan terlalu lama, tidak boleh, menjadi debu semua tubuhku
Dia hebat
Dia dashyat
Getarannya hingga kepada debu

Kedahsyatan Kuasa Allah

Kuasa Allah ini mesti difahami.
Betapakah dahsyatnya kuasa Allah.
Bagaimana kamu mampu memahami Allah kalau kuasaNya pun kamu tidak tahu.
Atau kamu rasa kuasa Allah itu tidak boleh difahami.
Bernarkah kuasa Allah itu terlalu sukar untuk difahami?
Tiadakah tanda-tanda kedashyatan kuasa Allah di muka bumi ini?
Apakah yang kamu nampak bila kamu memerhatikan bumi ini?
Masihkah kamu tidak nampak dashyatnya kuasa Allah itu?
Di manakah dashyatnya kuasa Allah?
Dimanakah nyatanya kuasa Allah itu dimata kamu?
Kuasa Allah itu terlalu hebat, ya memang hebat kuasa Allah itu.
Kalau hebat cubalah fahami ia walaupun sedikit
Sedikit pun cukuplah kalau boleh faham
Sebab kuasa tiada penyukatnya cukuplah kalau faham hanya sedikit
Kuasa Allah itu di depan mata kamu
Ianya amat dashyat
Carilah
Perhatikanlah
Berfikirlah
Harap kamu akan jumpa

Monday 6 October 2014

Membuka Rahsia Allah

Setelah aku fikir dan aku timbangkan, rahsia Allah ini tidak akan aku bukakan kesemuanya. Sangat bahaya dan memang membahayakan. Aku sangat risau tentang penerimaan masyarakat tentang rahsia ini. Maafkan aku kerana tidak boleh membuka kesemua rahsia Allah. Aku masih akan bercerita tentang Allah, cuma rahsia kefahaman tentang Allah yang besar-besar tidak akan aku bukakan di sini. Lama juga aku berfikir samada hendak cerita semuanya tanpa tapisan atau tutup sebahagian rahsia besar Allah dan bukakan sebahagian yang masih boleh diterima masyarakat. Maafkan aku.

Aku bukannya tidak mahu berkongsi tetang Allah di sini, cuma aku amat risau tentang penerimaan masyarakat tentang sesuatu yang mereka tidak faham. Aku tidak akan menyalahkan kalian jika kalian menuduh aku gila, murtad atau kafir. Cuma aku tidak mahu kalian jadi seperti itu kerana rahsia Allah yang aku bukakan. Aku juga tidak mahu blog ini menjadi viral dan menimbulkan panik dalam masyarakat. Biarlah blog ini hanya dikunjungi oleh mereka yang dahagakan Allah, itu sudah cukup bagi aku.

Aku boleh faham tentang tindakan yang aku ambil ini kerana aku juga dari syariat. Aku juga asal dari kefahaman kamu. Jadi aku sangat faham akan kamu. Oleh kerana aku faham kamulah, maka keputusan ini diambil supaya aku dapat terus berkarya tentang Allah tanpa menimbulkan panik dalam masyarakat. Mungkin persoalan-persoalan yang berat tentang Allah tidak dapat lagi aku kupas di sini. Namum cerita-cerita tentang Islam dan Allah akan tetap aku berikan seperti biasa.

Berjumpa Orang Hakikat dan Makrifat

Tuan-tuan, terus terang saya katakan inilah perkara yang paling susah untuk berlaku dalam hidup. Orang hakikat dan orang makrifat memang sangat susah untuk dijumpai, kerana mereka ini tidak suka berjumpa dengan manusia. Orang hakikat dan makrifat palsu memang ramai di luar sana, sangat ramai. Tidak terkira. Kalau anda berjumpa dengan mereka ini, berhati-hatilah jangan sampai tertipu. Baca semua post saya sebelum ini untuk lebih mengetahui tentang mereka ini.

Saya sendiri masih tercari-cari mereka-mereka ini. Guru hakikat yang sejati dan guru makrifat yang sejati. Mungkin saya boleh mendengar cerita-cerita dari mereka tentang Allah. Untuk tahu tentang mereka, kita mesti berjumpa dengan mereka, bergaul dengan mereka dan berkawan dengan mereka, barulah kita kenal siapa mereka dan apakah benar cerita-cerita tentang mereka yang telah tersebar dalam masyarakat ini, benar atau palsu. Jangan mudah sangat percaya cerita-cerita palsu tentang mereka ini. Selagi kita tidak berkawan dan kenal mereka ini. Janganlah membuka mulut menyampaikan cerita salah tentang mereka dalam masyarakat.

Semoga saya akan dipertemukan dengan mereka yang benar-benar seorang guru hakikat dan makrifat yang sejati. Kalau sudah berjumpa nanti. Saya akan ceritakan tentang mereka di sini. Banyak soalan yang ingin saya tanyakan kepada mereka. Nanti jawapannya akan saya kongsikan di sini supaya anda semua mendapat cerita yang benar tentang orang-orang seperti mereka.

Ceritakan Kepadaku Tentang Allah

Aku ada menyimpan satu hasrat untuk bertemu dengan seorang wali atau kalau diizinkan dengan sebanyak wali yang boleh ku jumpa. Aku cuma ada satu sahaja soalan kepada setiap wali yang akan aku jumpa, iaitu 'Ceritakan kepaku tentang Allah'. Itu sahaja yang ingin aku tahu. Tiada yang lain selain dari itu, tiada yang lain selain Allah. Tiada yang wujud selain Allah. Tiada yang lebih penting selain dari Allah.

Aku ingin mendengar sebanyak cerita yang boleh diceritakan oleh setiap wali Allah yang aku jumpa tentang Allah. Aku ingin tahu tentang Allah dari kacamata mereka yang telah melihat Allah. Setiap dari mereka tentunya mempunyai banyak cerita tentang Allah. Aku ingin mendengar kesemuanya. Aku ingin tahu tentang Allah kesemuanya. Mereka lebih dahulu kenal Allah dari aku. Tentu mereka lebih faham tentang Allah dari aku. Mereka lebih lama bersama Allah dari aku, tentu seronok mendegar cerita Allah dari mereka yang telah lama bersama Allah. Aku hanya inginkan Allah, itu sahaja. Tolong ceritakan padaku tentang Allah. Allah yang menakutkan, Allah yang menyayangi. Allah yang besar. Allah yang gagah. Allah yang padaNya ada sejuta rahsia yang tidak terkupas.

Aku hanya ingin bersama Allah selamanya. Aku ingin tahu cerita tentang Allah selama aku hidup dan selama aku mati. Hanya Allah yang akan bersama aku selama-lamanya. Bila ada Allah yang lain tidak perlu ada. Allah sahaja sudah cukup bagiku. Ingatkan Allah itu adalah kerja aku. Bersama Allah itu adalah kerja aku. Rindukan Allah itu adalah nadi aku. Aku tidak ada yang lain selain dari Allah.

Allah mengatur perjalanan hidupku. Hidupku hanya berserah pada Allah. Allah menunjuk jalan padaku. Aku mengikut jalan Allah hingga ke akhirnya. Aku tiada jalan lain lagi. Jalan aku hanya menuju pada Allah. Biar aku jadi gila, biar aku jadi sasau, asalkan ianya untuk Allah.

Realiti dan Fantasi

Realiti

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Realiti dalam kegunaan harian bermaksud "keadaan sesuatu seperti mana ia wujud"[1]. Istilah realiti, dalam erti paling luas, termasuk segala yang sedia ada, sama ada ia boleh dilihat, boleh difahami, atau kelihatan dirinya tidak konsisten dari segi sains, falsafah, atau mana-mana sistem analisa yang lain. Realiti dalam maksud ini bolehlah termasuk adanya dan tidak adanya jisim tersebut, manakala kewujudan sering terhad kepada adanya (bandingkan dengan alam semula jadi).

realiti(réaliti) keadaan yg nyata (bukan khayalan), kenyataan, hakikat:

Fantasi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Fantasi (atau khayalan) ialah satu genre yang menggunakan kuasa ajaib dan bentuk kuasa ghaib lain sebagai unsur utama plot, tema dan/atau latar. Banyak karya dalam genre ini terjadi di dunia atau planet rekaan di mana kuasa ajaib adalah biasa.

fantasi1. imaginasi yg tidak dibatasi oleh kenyataan, angan-angan, khayalan: utk dapat mencipta cerita yg baik, diperlukan ~; 2. ciptaan imaginasi yg tidak terbatas, sama ada dinyatakan atau semata-mata dibayangkan: pd kesimpulannya, semua drama adalah ~; 3. sesuatu yg dibuat (dipakai) utk perhiasan (bukan utk kegunaan sebenarnya);sapu tangan ~ sapu tangan utk perhiasan; saku ~ saku yg tidak digunakan (hanya utk perhiasan sahaja); berfantasi berkhayal, berangan-angan; memfantasikan mengkhayalkan, mengangan-angankan.

Kebanyakkan dari kita masih samar-samar antara keduanya itu, sedangkan ianya amat jelas dan terang nyatanya. 'Keadaan sesuatu seperti mana ia wujud'. Saya pernah menerangkan sebelum ini, sesuatu yang akan hancur tidak layak memegang gelaran wujud. Di sini sepatutnya sudah dapat dilihat yang mana satukah realiti dan yang mana satukah fantasi. Adakah jasad ini relaiti? Mana mungkin daging yang akan hancur dimakan ulat mayat layak dipanggil realiti. Jadi daging manakah yang realiti? Sudah tentu sesuatu di sebalik daging itu yang realiti. Ramai orang tidak dapat melihat sesuatu di sebalik daging. Jadi mereka tidak faham yang mana satukah fantasi.

Tuan-tuan, senang untuk difahami, hidup di dunia ini semuanya mimpi atau fantasi. Hidup di dalam kubur itulah yang realiti dan pasti. Satu realiti yang banyak orang tidak mahu memahaminya, dan ramai antara mereka masih dan selalu mengejar mimpi dan fantasi. Saya nak tanya, apakah faedah yang kita dapat dari mengejar mimpi, fantasi atau khayalan. Jawapannya ialah tiada apa-apa yang kita akan dapat dari fantasi atau kyayalan. Jadi apakah yang sebenarnya kita kejar dari khayalan yang palsu di dunia ini? Apakah yang kita kejar?

Tuan-tuan kalau nak kejar, kejarlah yang realiti. Iaitu kejarlah mati, kejarlah mayat, kejarlah alam kubur, kejarlah akhirat dan kejarlah Allah. Semua yang saya sebutkan tadi itulah yang realiti, yang nyata, yang pasti, yang kekal dan yang abadi. Mengejar benda yang raeliti ini banyak faedahnya. Sebab ianya wujud dan kekal. Alam di sebelah sana tidak akan hancur, alam yang disebelah sana adalah yang pasti dan yang kekal abadi. Kejarlah yang abadi, kejarlah sesuatu yang pasti, kejarlah sesuatu yang realiti. Janganlah diri kita ini mudah sangat ditipu dengan yang khayalan. Jangan selalu sangat bermimpi. Bangunlah dari tidur. Bukalah mata hati anda kepada realiti yang sebenarnya. Sudah-sudahlah duduk dalam alam mimpi sebegitu lama. Basuh muka, gosok gigi tengok-tengoklah dunia realiti yang di sebelah sana.

Untuk bangun dari mimpi memerlukan kejutan. Macam orang yang dipanggil tidur mati, kalau bom meletup disebelah pun takkan sedar. Jangan kejut dia guna bom, kejutkan dia guna sebaldi air sejuk, simbah dimukanya. Orang yang tidur mati pun pasti akan bangun, kecualilah dia telah mati, sebab dia sudah pun berada di alam realiti. Saya cuma nak bangunkan tuan-tuan yang sedang lena diulit mimpi. Alam sebelah sana sudah pun di ceritakan dalam kalam Allah. Buka dan baca, itulah cerita realiti. Jangan asyik sangat dengan cerita mimpi yang tak kemana ni.

Tuan-tuan, sedarlah sekarang mana yang mimpi dan mana yang realiti. Saya cuma nak bangunkan tuan-tuan dari mimpi. Supaya nanti tidur di dalam kubur yang realiti tidak akan menakutkan tuan-tuan sebab tuan-tuan memang telah sedar tentang realiti di dalam kubur. Biar kita sedar tentang tidur yang realiti lebih awal daripada tiba-tiba sahaja kita sudah pun tidur dalam tanah. Bertilamkan lumpur, bertemankan ulat mayat dan bebalutkan selimut tipis yang murah.

Saya hanya akan bercakap tentang realiti, saya tidak bercerita tentang fantasi. Di sini tiada cerita fantasi, hanya ada cerita realiti yang pasti. Takut? Tiada siapa yang berani untuk tidur di dalam kubur. Ketika kita hidup pun kita tidak berani untuk tidur di dalam kubur setiap hari. Apalagi bila kita mati. Cuma lebih baik kita ambil tahu pasal bilik tidur kita yang lagi satu itu sekarang dan lebih awal, daripada kita dimasukkan tanpa rela ke bilik tidur itu.

Harap selepas ini, tuan-tuan hanya mengejar yang realiti, janganlah lagi kejar yang fantasi. Lupakan cerita yang mengkhayalkan, kembali kepada cerita sebenar yang realiti.