Friday 17 October 2014

Hidup, Mati, Allah

Kita kata hidupku dan matiku hanya untuk Allah, tapi dalam diam kita berdusta kepada Allah. Kita sulam kata-kata janji keramat itu dengan bermacam ragam dan karenah. Kita lakukan sesuatu itu kerana hendakkan nama, kita buat kerana hendakkan pangkat, kita buat kerana hendakkan duit, kita buat kerana hendakkan sijil, kita buat kerana hendak dipuji, kita buat sesuatu supaya orang nampak kita ini orang yang baik-baik, kita buat kerana hendak orang puji kita wira negara, hendak pengiktirafan orang lain dan kita juga buat sesuatu kerana hendakkan pahala.

Kita mungkir janji dengan pemilik neraka. Hidup dan mati kerana Allah, kita selitkan hidup dan mati kerana hendakkan pahala. Allah sahaja tidak cukup, kena juga ada pahala. Kadangkala pahala lebih kita ingat bila buat sesuatu yang baik, Allah telah diganti dengan pahala. Aku buat ini kerana hendakkan pahala. Hilang sudah 'kerana Allah sahaja'. Lillahitaala tidak boleh datang bersama ingatkan pahala. Allah tiada pahala. Allah hanyalah Allah. Kamu tidak boleh hendakkan Allah dan pada masa yang sama kamu hendakkan pahala. Sebenarnya kamu inginkan Allah atau pahala? Cuba pilih satu. Mana lebih utama Allah atau pahala? Boleh tak cuma pilih satu. Pilih Allah, pahala tiada. Pilih pahala, ambillah pahala, Allah tiada. Allah hanya satu. Kamu kata hidup dan matiku untuk Allah. Tidak boleh hidupku untuk cari pahala, matiku sebab nak bawa banyak pahala, tidak boleh.

Hidup, mati, Allah. Hanya itulah yang ada dan sentiasa ada.

No comments:

Post a Comment