Friday 10 January 2014

Kenal Diri, Kenal Allah!!!

Sebenarnya sewaktu aku tenggelam dalam roh untuk mengenal diri, Allah membukakan untuk aku rahsianya yang bukan rahsia. Cuma manusia sahaja yang tak mahu faham siapa diri mereka. Tidak mahu cari siapa Allah. Untuk kenal diri sebenarnya amat-amat mudah. Pertama butakan mata anda terhadap makhluk lain, hanya lihat diri anda. Kita tahu manusia lahir dari manusia lain, manusia datang dari manusia lain. Satu manusia datang atau lahir dari dua manusia lain. Sekarang tanya diri anda, aku datang dari mana? Anda akan jawab aku datang atau lahir dari kedua ibu bapaku. Kalau tiada ibu bapaku, aku pun tidak akan lahir ke dunia ini.

Sekarang tanya pula bapa anda datang dari mana? Tentu dari ibu dan bapanya, iaitu datuk dan nenek anda. Begitu juga dengan ibu anda, dari datuk dan nenek sebelah ibu. Sekarang anda undurkan soalan itu berterusan, berterusan, berterusan, berterusan. Tujuannya mudah, dari manusia akan lahir manusia lain. Sekarang anda tanya pulak, 200 tahun dahulu, siapa nenek moyang anda? Kalau seorang dari nenek moyang anda itu mati, bolehkah anda lahir? Tentulah tidak. Anda lahir kerana ianya bersambungan tanpa putus.

Kalau anda undurkan lagi, nampakkah anda, siapa anda ini sebenarnya? Jawab? Anda datang dari manusia lain, yang telah hidup dan menyambung hidup, bekerja dengan susah payah membesarkan manusia lain, supaya manusia itu dapat melahirkan manusia lain. Adakah anda telah lupa kalau tanpa manusia lain membesarkan manusia lain dari keturunan anda 1,000 tahun lalu, maka anda pasti tidak wujud di muka bumi ini pada hari ini. Kalau anda ingin berterima kasih kepada ibu bapa anda kerana membesarkan anda, sepatutnya anda kena berterima kasih kepada seluruh keturunan anda kerana membesarkan manusia lain sehingga ke Adam dan Hawa.

Siapa Aku?

Dulunya aku pernah mendengar perkataan, Kenal Diri, Kenal Allah. Sewaktu itu umurkan dalam belasan tahun. Aku pun tidak faham maksud perkataan itu. Kenapa perlu kenal diri sendiri untuk mengenal Allah. Aku sendiri pun tidak faham sangat maksud perkataan itu. Aku pun tidak pernah untuk ambil tahu mengenai maksud perkataan itu sehinggalah satu peristiwa menimpa aku.

Sebaik sahaja peristiwa itu menimpa aku, bagaikan satu panahan petir dari Allah tepat mengenai kepala aku. Terus otak ku mencari semula maksud perkataan Kenal Diri, Kenal Allah. Sewaktu dalam perjalanan minda ku mencari diri. Aku tidak boleh tidur selama 72 jam iaitu bersamaan tiga hari. Bukan aku tidak letih, bukan aku tidak mengantuk, tetapi otak ku tidak mahu berhenti untuk mengenal siapa diri ku.

Masya Allah pada ketika itu, aku hampir gila, hampir mati, hampir sasau, hampir putus asa. Dalam tempoh dua bulan sahaja berat badanku susut hampir 17 kilo. Semuanya kerana perut ku tidak merasa lapar, kerana otak ku terlalu lapar mencari Siapa Aku?