Saturday 22 March 2014

Memanusiakan Allah

Oleh kerana roh sudah terlalu lama terperangkap di dalam jasad tubuh badan manusia, dan manusia merasakan roh dan jasad adalah satu, maka dari situlah manusia mula untuk cuba memanusiakan Allah.

Jasad tidak kekal. Benda yang tidak kekal amat cetek ilmunya, kerana ia ada tarikh tamat. Roh benda kekal, benda yang kekal, tiada tarikh tamat, maka ilmunya boleh diluaskan tanpa batasan. Benda tanpa batasan sebenarnya amat menakutkan. Ibarat kita melihat sesuatu yang sentiasa membesar tanpa henti.

Golongan Pertama.

Apabila manusia cuba untuk mengawalkan dan mengakhirkan Allah seperti manusia yang ada awal (lahir) dan akhir (mati). Apabila percubaan ini dilakukan, manusia akan menjadi atheis, iaitu tidak mempercayai wujudnya tuhan, dan alam terjadi secara semulajadi. Segala-galanya ini terjadi secara semulajadi termasuk matahari, planet-planet, pokok-pokok dan sebagainya. Ini adalah golongan manusia yang cuba untuk mengawalkan dan mengakhirkan dunia . Mereka ini golongan yang semuanya telah tertutup, mata hati, mata sebenar dan akal mereka semuanya telah tertutup. Mereka tidak dapat berjumpa tuhan bila cuba mengawalkan dan mengakhirkan sesuatu sedangkan disebalik awal dan akhir itu sahaja yang wujudnya Allah.


Golongan Kedua.

Mewujudkan tuhan seperti benda-benda wujud. Kalau dilihat dari sejarah awal manusia, berbagai benda manusia sembah dan cuba jadikan tuhan antaranya matahari, pokok, api dan binatang, malah manusia sendiri pun ada yang mengaku tuhan dan dijadikan tuhan oleh pengikutnya. Ini semua masalah otak manusia yang sering sahaja melihat sesuatu yang wujud.

Melihat yang wujud memang akan melemahkan akal manusia. Ini kerana benda zahir yang wujud akan hancur, yang wujud melekakan, yang wujud melalaikan dan yang wujud membuaikan. Semua benda zahir wujud memang akan menumpulkan otak manusia. Otak manusia memang tidak dicipta untuk mengenal yang ghaib, hanya otak mereka yang disingkap sahaja yang mampu melihat yang ghaib. Bukan melihat dari bentuk fizikal, tetapi melihat dari dalam bentuk yang ghaib.

Oleh kerana otak manusia semakin tumpul kerana terlalu lama melihat benda zahir wujud dan membesar bersama-sama benda zahir, maka semakin banyaklah tuhan-tuhan baru yang zahir akan manusia wujudkan. Di zaman dahulu sahaja ada beribu tuhan berhala di sekeliling kaabah. Berbagai bentuk tuhan berhala ini, dari bentuk patung manusia yang pelik sehinggalah ke bentuk haiwan yang pelik.

Dalam Al-Quran ada mencerikan kisah satu kaum yang menyembah patung anak sapi yang diperbuat daripada emas. Maka boleh dilihat manusia memang suka menyembah patung-patung yang diperbuat daripada emas di zaman itu.


Golongan Ketiga.

Mensifatkan Allah dari sifat manusia. Manusia tiada contoh yang ghaib. Contoh yang ada hanya kewujudan, kerana manusia tidak boleh melihat yang ghaib, sedangkan kalau melihat kematian sahaja manusia sudah boleh melihat yang ghaib. Oleh kerana hari-hari melihat benda yang wujud, otak manusia semakin tumpul untuk mengenal yang ghaib. Maka sifat Allah akan cuba ditafsirkan dengan melihat sifat benda yang wujud. Kita boleh kenal golongan ketiga ini dengan mendengar ayat mereka seperti tuhan itu bertangan, tuhan itu berkaki, tuhan itu menangis, tuhan itu ketawa dan berbagai-bagai lagi ayat yang sama mensifatkan Allah seperti manusia. Sedangkan Allah itu bersalahan dengan yang baru. Sudah tentu sifat Allah itu tidak akan sama dengan sifat manusia.



Kesimpulannya.

Manusia memang tidak boleh melepaskan diri dari memikirkan Allah dari sudut manusia, ini kerana manusia sudah terperangkap dalam jasad wujud sejak lahir, tidak mungkin yang wujud dan zahir akan mengenal yang ghaib, seperti haiwan di darat tidak mungkin mengenal haiwan di laut dalam. Begitu juga haiwan dilaut dalam tidak tahu wujudnya daratan dan ada kehidupan di atas darat. Mereka menyangka dunia ini semuanya lautan. Begitulah manusia yang menggunakan akal wujud, tidak mungkin mengenal Allah.

Di atas sebab-sebab itulah manusia seringkali mencuba untuk memanusiakan Allah seperti makhluk, dan mereka cuba membentuk tuhan dalam bentuk patung sembahan. Oleh kerana itu, para nabi dan rasul, Allah turunkan, hanya untuk memperkenalkan Allah kepada manusia, kerana kelemahan otak manusia dalam mengenal yang ghaib, tetapi manusia tetap manusia, dengan otak yang lemah mereka membunuh para nabi dan rasul, mereka menafikan Allah dan menafikan kitab-kitab Allah.

Mereka nafikan kebanyakan dari nabi dan rasul yang diutuskan Allah, dan yang paling sayang sekali ialah mereka akan hanya mengenal tuhan mereka adalah Allah setelah mereka mati. Selagi nyawa masih dikandung badan, carilah tuhan yang sebenar. Ada mereka yang masuk hutan dan kenal Allah selepas itu. Ada mereka yang menggali kubur sendiri dan kenal Allah selepas itu. Carilah tuhan itu dengan apa cara sekalipun selagi kamu masih hidup, janganlah kamu mengenal tuhan itu sebenarnya Allah setelah kamu mati menjadi debu.

Tuesday 18 March 2014

Melihat Tapi Tidak Nampak

Kamu melihat kamu, tapi kamu masih tak nampak Aku
Kamu melihat kewujudan kamu, tapi kamu masih tak nampak Aku
Kamu melihat burung, tapi kamu masih tak nampak Aku
Kamu melihat matahari, tapi kamu masih tak nampak Aku
Kamu melihat dunia, tapi kamu masih tak nampak Aku
Kamu melihat langit, tapi kamu masih tak nampak Aku
Kamu melihat kecantikkan, tapi kamu masih tak nampak Aku
Kamu melihat siang, tapi kamu masih tak nampak Aku
Kamu melihat malam, tapi kamu masih tak nampak Aku

Bilakah kamu mahu melihat Aku? sudah tentu bila kamu MATI!
Bila kamu akan MATI? Bila-bila sahaja, suka hati Aku bila nak ambil kamu.
Kamu masih tidak nampak Aku kan! Takpe Aku tunggu kamu di dalam kubur!
Jumpa nanti di sana ya!!!

Monday 17 March 2014

Syariat! Tarekat! Hakikat! Makrifat!

Kesemua yang di atas menyembah tuhan yang Satu. Tingkat kefahaman sahaja yang berbeza. Tidak boleh mereka yang berada di tingkat yang lebih atas menghina, mengecilkan atau memperlekehkan mereka yang berada di tingkat yang lebih bawah. Begitu juga mereka yang berada di tingkat yang bawah, tidak boleh juga memandang remeh mereka yang berada di tingkat yang lebih atas. Bagaimana mungkin orang yang mengatakan diri mereka mengenal Allah, memperlekehkan mereka yang berada di tingkat yang lebih bawah.

Tingkat atas atau bawah bukanlah satu isu di sini. Mengenal Allah itu tiada tingkat, yang meletakkan tingkat ini, manusia yang tidak tahu apa-apa. Mana mungkin untuk mengenal Allah itu memerlukan tingkat. Semuanya sama sahaja di mata Allah. Perkataan tingkat di dalam ini digunakan hanya sebagai pemudah faham apa yang dibicarakan sahaja.

Sepatutnya, lagi tinggi kita mengenal Allah lagi rendahlah taraf kita di mata Allah, dan tidak sepatutnya kita menghina mereka yang berada di tingkat yang lebih rendah. Bukankah tingkat setiap orang itu juga satu ibadah? Bukankah tingkat setiap orang juga telah tertulis di dalam perjanjian? Kenapa perlu berkata, 'aku belajar ilmu peringkat paling tinggi...makrifatullah. Tak sama dengan ilmu awak peringkat rendah, peringkat syariat. Aku ahli syurga, awak ahli neraka. Awak tak kenal Allah, saya sahaja yang kenal Allah.' Tolonglah, jangan mudah lupa siapa diri yang tidak berjasad, tidak ada roh dan tidak ada nyawa. Mana mungkin jasad yang tidak bernyawa boleh bercakap seolah-olah dia empunya diri dan dia empunya ilmu dan dia empunya Allah.

Sedarlah diri cepat, ingat ketinggian memang melalaikan, manusia memang mudah lupa pada diri, kalau tidak Allah tak perlu turunkan nabi dan kitab. Kepada mereka-mereka di luar sana yang pernah berkata seperti itu, cukup-cukuplah. Bawalah diri ke dalam kubur segera. Sedarlah asal diri yang tidak berasal. Janganlah membangga diri kerana berada di tingkat lebih tinggi. Tingkat yang tinggi itulah sepatutnya meletakkan diri mereka rendah dalam kefahaman Allah.

Burung yang tinggi di langit lagikan mati, inikan pula meninggi diri.

Sunday 9 March 2014

Tolong Aku!


Siapa yang boleh tolong aku!
Dikala aku tidak boleh bersembahyang kerana aku tidak mampu untuk menyebut nama yang terlalu maha besar.
Siapa yang boleh tolong aku?

Dikala aku tidak boleh bersembahyang kerana tidak mampu mengangkat takbir dan aku tidak mampu menghabiskan takbiratulihram ku, kerana aku tidak mampu menyebut walaupun sekadar huruf alif pada nama tuhanku, hanya sebut AAAA... tulang aku sudah bergementar, tulang-tulang ku mengigil, badanku hancur, otakku meletup.
Siapa yang boleh tolong aku?

Aku tidak fikir mereka yang boleh bersembahyang dengan tenang, tanpa rasa apa-apa pada sebutan takbir boleh membantu aku. Maaf aku tidak berniat menyinggung sesiapa, tetapi itulah yang aku rasakan pada saat itu.

Aku tidak fikir mereka yang boleh berzikir dan menyebut nama Allah dengan pantas dan laju boleh membantu aku.

Aku tidak rasa sesiapa sahaja yang boleh menyebut nama Allah dengan lancar dan tenang boleh membantu aku.

Aku keseorangan mencari sebab kenapa huruf alif pada nama tuhanku pun tidak mampu ku sebut?

Aku tenggelam dalam dunia makrifat mencari sebab kenapa nama Allah tidak mampu ku sebut?

Adakah aku terlalu malu?

Adakah aku terlalu hina?

Adakah aku terlalu takut?

Adakah aku terlalu zalim?

Adakah kerana Allah itu terlalu maha besar?

Atau adakah untuk orang-orang yang Allah pilih untuk bukakan rahsiaNya, memang mereka ini tidak akan mampu untuk menyebut namanya, kerana Allah tahu sesiapa yang kenal Dia sekenal-kenalnya memang Allah tidak bagi kebolehan kepada hamba itu untuk menyebut namanya.

Maha suci Allah tuhan yang mampu membisukan manusia yang boleh berkata-kata dari menyebut namanya. Jadi apakah nama tuhanku yang ingin ku panggil kalau aku sudah tidak mampu menyebut namanya? Jawapanya ialah TIADA.

Ya, sebelum wujudnya Nur Muhammad, tuhan itu memang tidak bernama, kerana pada masa itu dia berdiri sendiri, Dia bukan makhluk yang perlu kepada nama, hanya mereka yang ada nama sahaja perlu kepada nama, kerana tiada siapa yang boleh memanggil Dia kerana dia tunggal pada masa itu. Selepas Nur Muhammad diciptakan dan diberi nama, makhluk yang bernama perlu kepada nama untuk mengenal penciptaNya. Pada masa itulah wujudnya nama Allah. Supaya makhluk yang bernama ada nama untuk memanggil tuhanNya yang sebenarnya tidak perlu bernama.

Untuk kenal Allah, tidak perlu kepada mengenal nama, kalau nama Allah pun sudah tidak mampu disebut lagi, apa ada pada nama, bukankah kenal pencipta dan kenal tuhan itu lebih penting dari kenal nama?




Tuesday 4 March 2014

Iblis dan Syaitan jahat dan menyesatkan!

Banyak di antara kita sering menyalahkan iblis dan syaitan di atas segala kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan. Iblis dan syaitanlah yang menghasut aku, iblis dan syaitan ni jahat, sebab kerja mereka menyesatkan anak adam. Kita mesti banyak sembahyang, berzikir, berpuasa dan membaca Al-Quran untuk menjauhkan diri dari iblis dan syaitan. Pendek kata semua perkara jahat yang dilakukan oleh kita ni, datanganya dari iblis dan syaitan.

Manusia memang mudah menyalahkan yang lain atas kesilapan diri sendiri. Ini termasuklah dengan ayat-ayat berikut; sebab dia lah aku jadi macam ni, kerana dia lah aku tak dapat benda tu, kerana dadah lah aku hidup melarat macam ni, kerana takde pelajaranlah aku hidup miskin dan seribu satu ayat lagi yang seperti ini.

Benarkah begitu? Benarkah semua kesalahan kita letak pada iblis dan syaitan sahaja? Satu soalan, adakah iblis dan syaitan itu lebih berkuasa dari Allah? Adakah segala izin yang berlaku datangnya dari iblis dan syaitan? Bukankah segala gerak itu datangnya hanya dari izin yang empunya gerak. Bolehkah iblis menghasut kita kalau Allah tak benarkan. Adakah iblis lagi hebat dan besar dari Allah? Perlukah kita menyalahkan iblis dan syaitan kalau kebenaran gerak iblis dan syaitan ini datangnya dari Allah? Jadi siapa yang menggerakkan iblis dan syaitan ni? Dan siapa pula yang menggerakkan kita ni? Jawablah tuan-tuan. Jangan semua kesalahan kita longgok pada iblis dan syaitan. Mereka ini makhluk Allah yang bergerak macam kita, iaitu dengan keizinanNya jua.

Jadi perlu ke kita layan iblis dan syaitan ni, atau kita hanya perlu layan Allah sahaja. Kalau kita hanya  perlu layan Allah sahaja, kenapa pulak nama iblis dan syaitan ni muncul dalam hidup kita. Kalau yang dilayan hanya Allah, apa pula kita perlu peduli dengan benda selain Allah. Lebih teruk lagi salahkan pulak iblis dan syaitan. Tuan-tuan, cukup-cukuplah tu, letaklah kesalahan pada diri kita sendiri kerana kita telah ingat selain Allah. Iaitu kita ingat juga iblis dan syaitan. Itu salah kita sebenarnya kerana kita telah ingat selain daripada Allah.

Delete sahaja iblis dan syaitan dari CPU kita. Antivirus kita adalah Allah tak cukup lagikah?

Monday 3 March 2014

Makrifat! Jangan Jadi Keparat!



Maaf, tajuk ini tidak bermaksud untuk menghina sesiapa, saja nak bagi sensasi pelengkap pantun. Bukan keparat yang dimaksudkan, cuma jangan menyeleweng dari ajaran yang asal.
Ini kerana di luar sana banyak sangat yang mengaku ilmu yang dipelajarinya ilmu makrifat tetapi sebenarnya bukanlah ilmu makrifat. Ada yang mengaku ilmu makrifat sahaja, ada yang mengaku ilmu makrifat dari tok kenali yang berakar dari Rasulullah s.a.w. Dan mungkin ada banyak lagi jenis ilmu makrifat di luar sana yang kita tak tahu asal-usulnya dari mana, tetapi mengaku ilmunya adalah ilmu mengenal Allah.

Ada yang mengaku setiap hela nafasnya ialah zikir, sedut nafasnya sebagai zikir Muhammad, hembus nafasnya sebagai zikir Allah, setiap hela nafas mereka, mereka sedang berzikir pada Allah. Ada juga yang kata mereka pernah dipeluk malaikat, dan mengetahui banyak ilmu langit dan bumi, antaranya mengetahui kenapa semenanjung Malaysia seperti berbentuk seperti jantung. Nak bersama isteri tak boleh malam jumaat sebab syaitan dan iblis memang dah tunggu malam tu untuk bersama sekali, kena buat malam lain, kerana malam lain, syaitan dan iblis tak tunggu, mereka hanya tunggu malam jumaat sahaja.

Tok guru mereka telah melihat pintu syurga dan pintu neraka, kalau nak buat dosa buatlah, lepas tu boleh minta ampun dengan Allah. Nak berzina boleh berzina, asalkan bukan dengan isteri orang, selain daripada isteri orang, semua boleh bedal. Hanya geng mereka yang memegang kunci pintu syurga dan boleh masuk syurga, Islam yang lain semuanya masuk neraka. Bermacam-macam lagi cerita-cerita yang tak masuk akal yang wujud di luar sana. Itu tak masuk lagi cerita tentang kerajaan langit 'Ayah Pin' dan Tuhan Harun. Malah yang sangat pelik hampir kebanyakkan dari mereka ini mengaku ilmu mereka adalah ilmu makrifat!!!

Adakah ilmu mereka itu ilmu makrifat. Jawapan sebenarnya hanya Tuan Punya Ilmu sahaja yang tahu. Cuma pada pandangan saya yang dhaif ini, ilmu mereka bukanlah ilmu makrifat. Analisanya mudah, akarnya tidak sama dengan ilmu makrifat Tok Kenali yang kita sudah sedia tahu, dan juga tidak sama pemahamannya dengan ilmu makrifat yang Allah telah bagi pada kita.

Harapan saya kepada mereka ini supaya sedarlah segera dengan mencari ilmu makrifat yang sebenar. Tolonglah belajar, membaca, merenung, menggali lubang kubur, membalut kain kafan pada diri sendiri, memasuki liang lahat, membenarkan ulat dan cacing memakan diri dan seribu satu cara lagi boleh dilakukan untuk mendapatkan ilmu makrifat. Kepada pengikut-pengikut mereka, jangan main percaya sahaja apa yang dikata, ada otak gunakan, ada akal sedarkan, ada kudrat penatkan, cari cari dan cari sampai dapat, atau anda mati dalam mencari.

Sunday 2 March 2014

Ahli Makrifat, Masuk Syurga!



Ada dikalangan ahli makrifat dengan beraninya mengatakan bahawa ahli makrifat adalah ahli syurga, ada juga yang mengatakan ahli makrifat memegang kunci syurga, ada juga yang mengatakan Allah hanya akan memasukkan kawan-kawannya iaitu ahli makrifat ke dalam syurga. Pada saya urusan syurga atau neraka bukan urusan ahli makrifat.

Ianya urusan mutlak yang empunya syurga dan yang empunya neraka. Masuk syurga adalah atas redha Allah dan ikut suka hati Allah lah nak letak kita di mana. Andai kita bersujud sejuta tahun dan Allah berkata Aku nak campak kau ke dalam neraka kerana sujud kepada Aku sejuta tahun, maka itu adalah hak mutlak Allah. Allah nak letak kita di mana sekalipun ikut suka Allah, segala-galanya Allah punya Dia boleh melakukan apa sahaja tanpa perlu memberi penjelasan apa pun atas apa yang Dia lakukan.

Ada ahli makrifat yang berkata mereka adalah orang yang menyerah diri hanya pada Allah, bila di akhirat, mereka ini ingin menyerah diri pada syurga. Mana yang kata berserah semuanya hanya pada Allah, tengok api neraka menjulang tinggi dah takut, lupa pada Allah yang maha kuasa, ingat pada syurga, tak ingat ke! yang Allah adalah segalanya, biar Allah sahaja yang letak kita di mana sahaja yang Dia suka. Kalau Allah suka untuk letak kita di neraka, maka nerakalah akan jadi tempat yang paling kita suka, sebab tempat itu Allah suka nak letak kita.

Siapa yang faham Allah, dia tidak akan peduli tentang syurga, neraka, dosa, pahala, syaitan ataupun iblis. Hanya Allah sahaja yang penting bagi dirinya, benda lain jangan dipedulikan.