Saturday 22 March 2014

Memanusiakan Allah

Oleh kerana roh sudah terlalu lama terperangkap di dalam jasad tubuh badan manusia, dan manusia merasakan roh dan jasad adalah satu, maka dari situlah manusia mula untuk cuba memanusiakan Allah.

Jasad tidak kekal. Benda yang tidak kekal amat cetek ilmunya, kerana ia ada tarikh tamat. Roh benda kekal, benda yang kekal, tiada tarikh tamat, maka ilmunya boleh diluaskan tanpa batasan. Benda tanpa batasan sebenarnya amat menakutkan. Ibarat kita melihat sesuatu yang sentiasa membesar tanpa henti.

Golongan Pertama.

Apabila manusia cuba untuk mengawalkan dan mengakhirkan Allah seperti manusia yang ada awal (lahir) dan akhir (mati). Apabila percubaan ini dilakukan, manusia akan menjadi atheis, iaitu tidak mempercayai wujudnya tuhan, dan alam terjadi secara semulajadi. Segala-galanya ini terjadi secara semulajadi termasuk matahari, planet-planet, pokok-pokok dan sebagainya. Ini adalah golongan manusia yang cuba untuk mengawalkan dan mengakhirkan dunia . Mereka ini golongan yang semuanya telah tertutup, mata hati, mata sebenar dan akal mereka semuanya telah tertutup. Mereka tidak dapat berjumpa tuhan bila cuba mengawalkan dan mengakhirkan sesuatu sedangkan disebalik awal dan akhir itu sahaja yang wujudnya Allah.


Golongan Kedua.

Mewujudkan tuhan seperti benda-benda wujud. Kalau dilihat dari sejarah awal manusia, berbagai benda manusia sembah dan cuba jadikan tuhan antaranya matahari, pokok, api dan binatang, malah manusia sendiri pun ada yang mengaku tuhan dan dijadikan tuhan oleh pengikutnya. Ini semua masalah otak manusia yang sering sahaja melihat sesuatu yang wujud.

Melihat yang wujud memang akan melemahkan akal manusia. Ini kerana benda zahir yang wujud akan hancur, yang wujud melekakan, yang wujud melalaikan dan yang wujud membuaikan. Semua benda zahir wujud memang akan menumpulkan otak manusia. Otak manusia memang tidak dicipta untuk mengenal yang ghaib, hanya otak mereka yang disingkap sahaja yang mampu melihat yang ghaib. Bukan melihat dari bentuk fizikal, tetapi melihat dari dalam bentuk yang ghaib.

Oleh kerana otak manusia semakin tumpul kerana terlalu lama melihat benda zahir wujud dan membesar bersama-sama benda zahir, maka semakin banyaklah tuhan-tuhan baru yang zahir akan manusia wujudkan. Di zaman dahulu sahaja ada beribu tuhan berhala di sekeliling kaabah. Berbagai bentuk tuhan berhala ini, dari bentuk patung manusia yang pelik sehinggalah ke bentuk haiwan yang pelik.

Dalam Al-Quran ada mencerikan kisah satu kaum yang menyembah patung anak sapi yang diperbuat daripada emas. Maka boleh dilihat manusia memang suka menyembah patung-patung yang diperbuat daripada emas di zaman itu.


Golongan Ketiga.

Mensifatkan Allah dari sifat manusia. Manusia tiada contoh yang ghaib. Contoh yang ada hanya kewujudan, kerana manusia tidak boleh melihat yang ghaib, sedangkan kalau melihat kematian sahaja manusia sudah boleh melihat yang ghaib. Oleh kerana hari-hari melihat benda yang wujud, otak manusia semakin tumpul untuk mengenal yang ghaib. Maka sifat Allah akan cuba ditafsirkan dengan melihat sifat benda yang wujud. Kita boleh kenal golongan ketiga ini dengan mendengar ayat mereka seperti tuhan itu bertangan, tuhan itu berkaki, tuhan itu menangis, tuhan itu ketawa dan berbagai-bagai lagi ayat yang sama mensifatkan Allah seperti manusia. Sedangkan Allah itu bersalahan dengan yang baru. Sudah tentu sifat Allah itu tidak akan sama dengan sifat manusia.



Kesimpulannya.

Manusia memang tidak boleh melepaskan diri dari memikirkan Allah dari sudut manusia, ini kerana manusia sudah terperangkap dalam jasad wujud sejak lahir, tidak mungkin yang wujud dan zahir akan mengenal yang ghaib, seperti haiwan di darat tidak mungkin mengenal haiwan di laut dalam. Begitu juga haiwan dilaut dalam tidak tahu wujudnya daratan dan ada kehidupan di atas darat. Mereka menyangka dunia ini semuanya lautan. Begitulah manusia yang menggunakan akal wujud, tidak mungkin mengenal Allah.

Di atas sebab-sebab itulah manusia seringkali mencuba untuk memanusiakan Allah seperti makhluk, dan mereka cuba membentuk tuhan dalam bentuk patung sembahan. Oleh kerana itu, para nabi dan rasul, Allah turunkan, hanya untuk memperkenalkan Allah kepada manusia, kerana kelemahan otak manusia dalam mengenal yang ghaib, tetapi manusia tetap manusia, dengan otak yang lemah mereka membunuh para nabi dan rasul, mereka menafikan Allah dan menafikan kitab-kitab Allah.

Mereka nafikan kebanyakan dari nabi dan rasul yang diutuskan Allah, dan yang paling sayang sekali ialah mereka akan hanya mengenal tuhan mereka adalah Allah setelah mereka mati. Selagi nyawa masih dikandung badan, carilah tuhan yang sebenar. Ada mereka yang masuk hutan dan kenal Allah selepas itu. Ada mereka yang menggali kubur sendiri dan kenal Allah selepas itu. Carilah tuhan itu dengan apa cara sekalipun selagi kamu masih hidup, janganlah kamu mengenal tuhan itu sebenarnya Allah setelah kamu mati menjadi debu.

No comments:

Post a Comment