Monday 17 March 2014

Syariat! Tarekat! Hakikat! Makrifat!

Kesemua yang di atas menyembah tuhan yang Satu. Tingkat kefahaman sahaja yang berbeza. Tidak boleh mereka yang berada di tingkat yang lebih atas menghina, mengecilkan atau memperlekehkan mereka yang berada di tingkat yang lebih bawah. Begitu juga mereka yang berada di tingkat yang bawah, tidak boleh juga memandang remeh mereka yang berada di tingkat yang lebih atas. Bagaimana mungkin orang yang mengatakan diri mereka mengenal Allah, memperlekehkan mereka yang berada di tingkat yang lebih bawah.

Tingkat atas atau bawah bukanlah satu isu di sini. Mengenal Allah itu tiada tingkat, yang meletakkan tingkat ini, manusia yang tidak tahu apa-apa. Mana mungkin untuk mengenal Allah itu memerlukan tingkat. Semuanya sama sahaja di mata Allah. Perkataan tingkat di dalam ini digunakan hanya sebagai pemudah faham apa yang dibicarakan sahaja.

Sepatutnya, lagi tinggi kita mengenal Allah lagi rendahlah taraf kita di mata Allah, dan tidak sepatutnya kita menghina mereka yang berada di tingkat yang lebih rendah. Bukankah tingkat setiap orang itu juga satu ibadah? Bukankah tingkat setiap orang juga telah tertulis di dalam perjanjian? Kenapa perlu berkata, 'aku belajar ilmu peringkat paling tinggi...makrifatullah. Tak sama dengan ilmu awak peringkat rendah, peringkat syariat. Aku ahli syurga, awak ahli neraka. Awak tak kenal Allah, saya sahaja yang kenal Allah.' Tolonglah, jangan mudah lupa siapa diri yang tidak berjasad, tidak ada roh dan tidak ada nyawa. Mana mungkin jasad yang tidak bernyawa boleh bercakap seolah-olah dia empunya diri dan dia empunya ilmu dan dia empunya Allah.

Sedarlah diri cepat, ingat ketinggian memang melalaikan, manusia memang mudah lupa pada diri, kalau tidak Allah tak perlu turunkan nabi dan kitab. Kepada mereka-mereka di luar sana yang pernah berkata seperti itu, cukup-cukuplah. Bawalah diri ke dalam kubur segera. Sedarlah asal diri yang tidak berasal. Janganlah membangga diri kerana berada di tingkat lebih tinggi. Tingkat yang tinggi itulah sepatutnya meletakkan diri mereka rendah dalam kefahaman Allah.

Burung yang tinggi di langit lagikan mati, inikan pula meninggi diri.

No comments:

Post a Comment