Saturday 14 June 2014

Durian dan Makrifat

Tidak mudah untuk menceritakan makrifat kepada orang lain. Orang lain tidak mungkin faham walau macamana sekalipun mereka cuba untuk memahaminya. Memang susah untuk orang lain memahami makrifat. Mereka yang faham makrifat pun memang sukar untuk memahamkan makrifat kepada orang lain.

Kiasan mudahnya ialah, macamana kita ingin tafsirkan rasa durian yang telah kita makan kepada orang yang belum makan durian? Cakaplah macamana indah sekalipun, susunlah kata-kata setinggi langit. Orang yang tidak pernah makan durian tidak akan boleh tahu dan faham macamana rasanya durian. Penat kita susun kata-kata untuk gambarkan juga macamana rasanya durian itu. Mereka hanya dengar dalam kebingungan, malah meleleh air liur pun tidak, sedangkan kita sudah berkali-kali menelan air liur.

Begitulah payahnya untuk memahamkan makrifat dan memberi rasa makrifat kepada mereka yang tiada rasa makrifat. Itulah juga yang sedang saya lakukan sekarang, sedang menyusun kata-kata indah untuk nak beri faham juga, kerana saya tahu, bila pintunya Allah telah buka. Segala apa yang pernah anda baca dan tidak pernah faham selama ini, akan terus menjadi terang benderang, faham sefaham-fahamnya dan semua yang telah anda baca akan menyebati terus dengan diri anda.

Dengan itu janganlah putus asa, walau pun baca tak faham-faham. Teruskan membaca, jangan putus semangat, jangan putus harapan dan jangan putus asa. Allah tidak pernah sedetik pun putus asa dengan kita. Kenapa kita perlu putus asa dengan Allah.

Teruskan, mungkin satu hari nanti, durian itu akan terhidang di depan anda, untuk anda jamah dan rasa kesedapannya.

No comments:

Post a Comment