Monday 9 June 2014

Aku Juga Syariat

Tuan-tuan, saya tidak terus kenal Allah sebaik sahaja lahir, atau sebaik saja remaja atau dewasa ataupun sebaik sahaja tua. Saya sama seperti tuan-tuan, kenal Allah melalui jalan syariat. Belajar syariat sama seperti tuan-tuan, dosa, pahala, syurga dan neraka. Rukun Islam dan rukun iman. Sembahyang dan puasa. Allah itu di atas arasy. Allah itu di langit. Allah hanya boleh di lihat ketika di syurga. Malaikat nunkar dan nankir akan sebat kita dalam kubur. Semuanya sama seperti tuan-tuan belajar dan faham. Sama 100%. Tiada satu pun perbezaan syariat saya dengan syariat tuan-tuan.

Janganlah tuan-tuan ingat saya ini terus sahaja makrifat, terus sahaja kenal Allah, terus sahaja nampak Allah. Tidak, tidak dan tidak. Cuma Allah telah permudahkan saya untuk kenal dan nampak Dia, itu sahaja, dan jalan yang saya lalui untuk melihat Allah adalah sukar dan sangat sukar, sehinggakan saya berkata,

Ya Allah adakah lagi manusia yang masih hidup setelah melihat engkau Ya Allah?

Adakah manusia yang masih boleh tahan sesaat hidup setelah melihat Engkau Ya Allah?

Adakah manusia yang Engkau telah perlihatkan diri Mu, masih mampu untuk berjalan, bergerak, sembahyang dan puasa di atas muka bumi ini Ya Allah?

Aku sahaja sudah tidak mampu untuk makan, minum, sembahyang dan berzikir kepadaMu Ya Allah?

Malah namaMu pun tidak mampu aku sebut kerana sangat takutnya aku kepada Engkau Ya Allah?

Bagaimana aku mampu lagi untuk hidup Ya Allah, sedangkan Engkau terlalu besar untuk aku tafsirkan Ya Allah?

Jangankan tubuh, tulangku pun menggeletar bila menyebut namaMu Ya Allah?

Tolonglah aku Ya Allah. Jangan Kau perlihatkan DiriMu yang Maha Besar dan Gagah itu kepadaku yang Allah, hancur tulang-tulangku Ya Allah?

Ini cuma sedikit dari ribuan mungkin jutaan rintihan saya kepada Allah. Apabila begitu mudahnya saya dapat melihat Allah, begitu mudah saya faham Allah, saya menjadi sangat-sangat hairan melihat manusia dan dunia yang sangat susah untuk melihat Allah. Kenapa? Kenapa dan Kenapa? Saya bertanya kepada Allah. Maka Allah menerangkan segalanya kepada saya. Bacalah Al-Quran. Itu kalam Aku, tuhan kamu, yang sepatutnya sangat-sangat-sangat dan sangat kamu takuti, tetapi kamu ingkari. Maka Allah pun memberikan ilmuNya kepada saya. Mulanya saya berfikir, perlu ke hanya aku sahaja yang tahu dan simpan untuk aku sahaja ilmu Allah ini, atau kalau aku sebarkan, manusia lain takkan faham dan menuduh aku murtad dan kafir, atau aku mungkin dibunuh atas sebab menyebarkan ilmu yang sukar di dalam mudah ini.

Akhirnya aku mengambil keputusan menyebarkan sahaja ilmu Allah ini, semua pun Allah, apa nak susah sangat. Aku rasa lebih baik disebarkan daripada aku simpan ia untuk aku bawa mati, sekurang-kurangnya kalau ada manusia lain yang faham Allah seperti aku, mungkin mereka dapat tahu sesuatu dari ilmu Allah ini. Mungkin mereka dapat faham Allah dengan lebih lagi bila membaca ilmu ini. Untuk mereka-mereka yang tidak faham makrifat, biarlah mereka baca dalam keadaan tercengang-cengang sekarang, supaya esok bila mereka sudah faham dan nampak Allah, segala yang dahulunya tercengang menjadi biasa dan mudah.

Dengan fahaman ini aku nekad mencurahkan ilmu rahsia Allah ini kepada semua. Bacalah, walau pun tak faham, buat-buat je faham dulu, aku dulu pun macam tu jugak, tak faham, buat-buat faham, bila dah faham, macam tak faham-faham.

Jangan putus asa tuan-tuan. Allah itu tetap disitu, tidak berganjak dan tak akan pernah ingin berganjak dari tempatNya. Hanya kita yang berganjak tak nak faham Allah, tak nak cari Allah. Usaha tuan-tuan, usaha cari Allah, itu lah tujuan hidup ini, cari Allah sampai jumpa, sampai dapat, sampai ketemu. Tak jumpa bukan bererti tak dapat, cuma belum masanya saja lagi untuk dapat.

No comments:

Post a Comment