Tuesday 10 June 2014

Mencari Jalan Makrifat

Ada banyak cara untuk mendapat jalan makrifat, yang pastinya bukan melalui jalan pembacaan buku. Kalau hanya dengan membaca buku sahaja boleh mendapat makrifat, sudah tentu satu dunia ini agamanya Islam dengan pemahamannya semua makrifat. Saya hanya boleh mencadangkan sahaja beberapa cara, yang mesti mencuba dan melakukannya adalah anda, tetapi ianya bukan jaminan untuk anda mendapat makrifat. Hanya Allah sahaja yang boleh membuka diriNya kepada anda, cuma usaha mencari Allah ada pada anda.

Cara pertama:
Anda pergi ke kedai dan belilah kain kafan anda sendiri, dengan semua peralatan untuk mengkafankan mayat. Selepas isyak carilah satu ruang di rumah anda, dan minta kawan anda mengkafankan anda dengan cara sebenar mayat dikafankan. Kalau boleh talkinkan sekali, tutup lampu, dan carilah makna diri sebagai mayat. Buatlah dari selepas isyak hingga sebelum subuh. Tidur seperti itu, dan buatlah selama 40 malam. Carilah di mana anda sebagai mayat. Busukkan diri anda sebagai mayat, cari erti menjadi mayat. Apa maknanya mayat? Apa ertinya dunia ini dengan mayat? Apa ertinya hidup untuk menjadi mayat? Apakah hanya anda sahaja orang pertama dan terakhir yang menjadi mayat?

Cara Kedua:
Cara ini pernah dilakukan oleh Tok Selehor (Tok Selehong) dari pantai timur. Malah cara ini juga pernah di buat oleh mereka-mereka yang ingin mencari Allah. Malah ada juga penggali kubur yang pernah mencuba cara ini. Iaitu gali kubur anda sendiri, di mana-mana tapak yang sesuai, di perkuburan sebenar pun boleh, sebab semua makhluk pun akan ke tanah perkuburan. Tidurlah di situ dari selepas isyak dan bangun sebelum subuh. Buat juga selama 40 malam, seperti mana Tok Selehor pernah melakukannya. Tanya diri anda sepuas-puasnya selama 40 malam itu tentang diri, kenalilah diri anda yang seperti mayat itu sebelum mengenal Allah tuhan yang maha luas. Sejuta soalan anda boleh tanya pada diri anda yang telah menjadi mayat, dan sejuta jawapan juga anda perlu cari untuk menjawab soalan anda. Rasalah diri menjadi mayat. Apakah seronok menjadi mayat? Apakah guna wang semasa menjadi mayat? Apakah gunanya pangkat semasa menjadi mayat? Apakah gunanya dunia semasa menjadi mayat?

Cara Ketiga:
Keizinan dariNya. Nampak sahaja ringkas dan mudah, tetapi ketiga-tiga cara ini sama sahaja sukarnya, sama sahaja rasanya, sama sahaja pemahamannya. Cuma cara pertama dan kedua itu anda perlu ada usaha. Cara yang ketiga Allah yang empunya gerak memberikan kefahamanNya kepada anda.

Walaupun anda telah mencuba kedua cara di atas, itu semua bukan jaminan Allah akan memberikan rahsiaNya kepada anda. Sekiranya anda mendapat faham tentang Allah, maka bersyukurlah kepadaNya. Jikalau tidak mendapat apa-apa kefahaman tentang Allah, bersukurlah juga kepadaNya. Sekurang-kurangnya anda mencuba, biarlah mati mencuba untuk faham Allah, dari mati mencuba untuk faham dunia.

Apapun yang anda ingin lakukan untuk faham Allah, biarlah cara yang anda ingin cuba itu tidak membahayakan diri anda, dan sesuai dengan keselesaan anda. Kalau dua cara di atas itu tidak sesuai untuk anda, fikirkanlah cara lain yang anda rasa sesuai untuk anda. Walau apa pun, jangan putus asa mencari Allah.

No comments:

Post a Comment