Tuesday 11 February 2014

Siapa yang telah mati?

Manusia selalu lupa pasal mati, selalu malas nak ingat mati, malah manusia rasa mati itu macam satu perhentian tamat yang tidak ada apa-apa lagi yang akan berlaku selepas itu. Sedangkan kita patut fikir, apa akan berlaku selepas kita mati?

Sedangkan kalau ditanya dari mana asal kita? Kita akan menemui semua manusia yang berasal dari susur galur kita telah pun mati kesemuanya. Tiada lagi yang hidup. Bapa, datuk, nenek, moyang, bapa moyang, datuk moyang dan moyang kepada moyang. Kesemua mereka yang dari susur galur kita telah lama mati.

Kenapa pula di hati kita tidak pernah terlintas yang kita akan mati? Kenapa pula kita rasa kita akan terus hidup? Sedangkan mereka dari susur galur kita kesemuanya telah mati dan telah lama mati.

Seribu tahun dahulu kita tidak wujud, dan seribu tahun akan datang pun kita tidak akan wujud. Pernahkah kita bertanya, kalau aku tidak wujud seribu tahun dahulu dan pasti tidak akan wujud dalam seribu tahun yang akan datang? Apa yang patut aku buat dalam kewujudan aku yang sementara sekarang ini?

Adakah untuk bersorak, bergembira, bersembahyang, berzikir dan itu sahaja? Benarkah itu sahaja yang patut aku lakukan untuk hidupku yang sementara ini? Berbaloikah hidupku yang sementara ini hanya untuk itu sahaja?

Bukankah kalau hidup aku ini sementara, sepatutnya aku melakukan semuanya dengan terbaik, terhebat, terbersih, tertinggi dan semuanya patut aku lakukan pada tahap maksima? Barulah hidupku yang pendek dan singkat ini bermakna untuk aku dan untuk semua orang pada zaman aku.

Fikirlah dengan benar, jangan disia-siakan hidup yang singkat ini dengan benda-benda yang tidak sepatutnya. Kalau pun tidak dapat membuat yang terbaik dalam semua perkara, buat semaksima yang mungkin dalam perkara-perkara yang kita memang boleh melakukan yang terbaik.


No comments:

Post a Comment