Wednesday 11 February 2015

Nerakakan Orang Lain, Syurgakan Diri Sendiri

Aku amat berharap perkara ini tidak berlaku di dalam masyarakat Islam. Sikap yang suka menyebut orang ini ke neraka, orang itu ke neraka. Ini bukan satu sikap yang sesuai untuk di amalkan. Peliknya ialah neraka hanya untuk orang lain, tetapi syurga untuk diri sendiri. Tempat seksa bagi pada orang lain, tempat yang bagus ambil jadi milik sendiri. Sesiapa yang meminum arak ke neraka. Sesiapa yang menghadiri majlis ilmu ke syurga.

Tidak adakah perasaan belas kasihan kepada sesama Islam? Tidak adakah perasaan kasih sayang sesama Islam? Berapa orang peminum arak yang pernah kita jumpa dan ambil berat tentang dia, dan bimbing dia kepada ajaran Islam? Tiada. Kita tidak pernah sekalipun dalam hidup ini mendampingi peminum arak dan bimbing mereka ke jalan yang benar. Apa yang kita tahu hanya bercakap, bercakap dan bercakap. Neraka, neraka, neraka. Nerakakan orang itu dan nerakakan orang ini. Itu sahaja yang kita tahu.

Sedangkan di antara peminum arak tu ada yang Allah hantar dia ke syurga, kerana di akhir hayatnya dia menyebut kalimah Allah dengan hati yang ikhlas dan jujur kepada Allah. Cerita ini ada dikhabarkan berlaku pada zaman seorang nabi. Sedangkan seorang guru agama yang hebat tersungkur di dalam neraka. Apa yang dapat kita ambil iktibar dari cerita ini. Iktibarnya, jangan sangka peminum arak itu semestinya semua masuk neraka. Tok Guru yang mengajar agama semestinya masuk ke syurga. Dikhuatiri yang peminum arak itulah yang akan ke syurga. Tok Guru itulah yang akan ke neraka.

Daripada kita sibuk memberi neraka pada orang, adalah lebih baik kita cuba mendampingi orang-orang seperti ini dan kita bimbing mereka. Kita cuba bantu mereka ini. Tidak kita siapa mereka. Selagi kita boleh bantu, kita bantu. Kadangkala orang seperti ini adalah kawan baik kita. Tetapi kita tidak pernah sekalipun menasihati mereka. Jadi kita cubalah menasihati, membantu dan membimbing mereka ini.

Janganlah lagi selepas ini kita sibuk bercakap tentang orang ini ke neraka dan orang itu ke neraka. Dikhuatiri orang yang bercakap itulah yang sebenarnya ke neraka dan orang yang dikatakan ke neraka itu pula yang akan ke syurga. Lebih baik kita bercakap tentang Allah dan membimbing semuanya kepada Allah.


No comments:

Post a Comment