Tuesday 7 July 2015

Kepada Ustaz, Jangan Menghina!

Sejak akhir-akhir ini aku mendengar banyak ceramah agama dari mereka-mereka yang digelar ustaz memberi ceramah agama dengan menyampaikan cerita-cerita menghina, memperlekeh dan merendah-rendahkan umat Islam yang lain yang mana tuhan mereka juga adalah Allah.

Antara yang sering aku perhatikan bicara dari mereka yang bergelar ustaz ini sering memperlekehkan mereka-mereka yang seagama dan berkongsi satu tuhan dengan ustaz-ustaz ini ialah, mereka dari golongan yang tidak ke surau atau ke masjid. Ada ustaz yang melabelkan mereka yang tidak ke surau dan ke masjid ini tidak akan dapat menjawab soalan Marabukka. Hebat ustaz ini sehingga ia begitu pasti tentang persoalan orang lain di dalam kuburnya, malah ia begitu pasti ia dapat menjawab soalan marabukka ke atas dirinya.

Sepanjang aku membaca cerita wali tidak pernah sekali pun aku terjumpa dengan wali Allah yang berbicara seperti ini. Malah Tok Kenali pun dalam pengetahuan aku tidak pernah berbicara seperti ini. Apakah mereka yang tidak pernah ke surau dan masjid ini pasti menjadi ahli neraka. Adakah ustaz yang berserban dan berjubah itu pasti semuanya ahli syurga? Kadangkala aku merasa kasihan dengan ustaz-ustaz yang merasa diri mereka seolah-olah pasti ahli syurga dan dapat menjawab soalan marabukka.

Pernahkah ustaz-ustaz ini, datang sendiri ke rumah mereka yang tidak pernah ke surau dan masjid ini serta menjemput mereka ke surau dan masjid serta bertanyakan tentang masalah hidup mereka? Kalau jawapan ustaz-ustaz ini tidak pernah menjemput mereka ini ke surau dan masjid. Maka aku rasa ada sesuatu yang ustaz-ustaz ini perlu tanya pada diri mereka.

Ada ustaz yang berceramah menghina mereka-mereka yang memegang surah Yassin secara terbalik. Menghina mereka yang meletakkan makanan untuk doa selamat di atas sejadah. Menghina mereka yang tidak bertudung. Menghina mereka yang tidak bersembahyang. Ustaz ini hanya tahu menghina, menghina dan menghina. Sedangkan mereka memegang gelaran ustaz.

Apa yang lebih menyedihkan ialah ceramah ustaz-ustaz ini diterima oleh orang Islam yang mendengarnya, mereka yang mendengar ceramah ini turut bersikap seperti ustaz-ustaz ini dan meneruskan tradisi menghina mereka yang tidak ke surau dan masjid dan mereka yang tidak tahu membaca Al-Quran.

Apakah amalan seperti ini hendak kita teruskan dan wariskan pada generasi Islam seterusnya. Apakah kita memang suka supaya orang Islam lain tidak dapat menjawab soalan kubur mereka? Apakah kita memang suka supaya umat Islam lain masuk sahaja terus ke neraka? Apakah kita dengan rasa diri aku hanya inginkan aku sahaja yang ke syurga? Apa sudah jadi dengan umat Islam yang semakin sesat dan hanyut ini?

Sepatutnya kalau nampak orang pegang surah Yassin terbalik, ustaz-ustaz dan orang Islam lainnya ajar mereka ini mengaji sampai pandai dan dapat memegang surah Yassin dengan betul. Mereka yang meletakkan makanan atas sejadah, di bimbing dan ditegur secara berhemah supaya meletakkan makanan di tempat yang betul. Mereka yang tidak bertudung dibimbing dengan cara terhormat supaya mereka bertudung. Mereka yang tidak bersembahyang dibuat kelas bimbingan sembahyang supaya mereka dapat bersembahyang dengan cara yang betul.

Islam itu dari tuhan yang penuh dengan sikap lemah lembut. Walaupun tuhan yang sama mempunyai nama-nama yang menakutkan dan menggentarkan jiwa. Kita kena ingat, kenapa harus kita seru nama tuhan yang dashyat dalam menyedarkan orang Islam yang lain. Bukankah lebih baik menyeru nama tuhan dengan nama yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengasihani, supaya kita ada rasa kasih dan mengasihani sesama Islam.

Tetapi untuk menyedarkan diri kita sendiri kepada tuhan, serulah nama-nama tuhan yang menakutkan dan menggentarkan jiwa, supaya kita sedar siapa kita dan siapa tuhan? Siapa hamba dan siapa Tuan? Supaya kita tidak tergamak untuk menghina orang Islam lain di depan tuhan yang Maha Mengasihani. Kalau tuhan pun sayangkan hambanya. Siapa kita hendak menghina hamba tuhan yang lain.

Aku pernah mendengar satu ucapan. Ditakuti nanti di akhirat kelak, ustaz-ustaz inilah yang akan terlebih dahulu memasuki neraka dari Firaun dan Qarun serta orang kafir lainnya.

Kepada ustaz, jangan berbicara seolah-olah diri sudah berada di dalam syurga. Berbicaralah seolah-olah diri ustaz sedang berada di dalam neraka, supaya ustaz-ustaz sendiri sedar, di depan tuhan, ustaz sentiasa seorang hamba yang hina.

No comments:

Post a Comment