Friday 20 March 2015

Maka Halal Darahku

Sepanjang aku mencari makrifat. Ada aku terjumpa ayat di atas. Orang itu berkata, lebih kurang maksudnya, sekiranya aku membocorkan atau memberitahu kepada kamu rahsia Allah, maka halal darahku. Aku tersentak membacanya. Orang yang menyimpan rahsia Allah, mengaku secara terang-terangan bahawa dia layak di bunuh sekiranya dia membocorkan rahsia Allah.

Dashyat sungguh mereka-meraka yang menyimpan rahsia Allah ini, sehingga halal darah mereka kerana membuka rahsia yang Maha Kuasa. Aku sudah menyatakan dahulu, bahawa rahsia Allah peringkat tinggi tidak akan aku bukakan. Memang aku tidak akan bercerita, menerangkan, menghuraikan, memberitahu, menyatakan apa-apa rahsia Allah peringkat tinggi. Memang darahku akan menjadi halal. Kalian tidak bersalah. Akulah yang bersalah. Maka dengan itu halal darahku.

Aku telah bersalah kerana telah membocorkan rahsia gila, rahsia sukar, rahsia tak boleh faham, rahsia alam, rahsia Allah kepada kalian. Sewaktu Allah membuka rahsianya kepada aku. Aku tahu rahsia ini, tidak boleh aku ceritakan kepada umum. Memang aku akan dituduh gila dan halal darahku. Tapi aku nak beritahu juga. Cuma yang boleh aku beritahu hanyalah jalan untuk berjumpa kepada rahsia sahaja, yang lain tidak boleh aku beritahu dan tidak boleh aku ceritakan.

Rahsianya secara terus, tidak boleh aku ceritakan. Itu kena cari sendiri sehingga Allah bukakan rahsianya kepada kamu. Maka yang aku boleh ceritakan disini hanyalah jalan kepada menemui rahsia Allah. Ingat jalan ada banyak. Belum tentu jalan yang anda temui itu jalan yang betul. Macamana nak tahu betul. Anda sendiri akan tahu.

Sampai anda boleh berkata, jika aku bocorkan rahsia Allah, maka halal darahku. Mungkin masa itu anda sudah pun mengetahui rahsia Allah. Apa dia rahsia Allah yang jika anda bocorkan maka anda layak dibunuh? Anda sendiri pun takut nak sebut rahsia itu kepada umum.

Dalam sejarah memang ada orang yang berani membocorkan rahsia Allah, mereka ini ada yang dituduh gila dan ada yang telah dipancung. Mereka ini berani. Tiada apa lagi yang mereka takutkan dalam hidup kecuali Allah. Orang sebegini memang sudah tiada yang lain kecuali Allah. Mereka sudah tidak peduli tentang dunia, diri mereka dan orang lain, sebab mereka hanya peduli tentang Allah. Maka apa perlunya yang lain. Maka ketika itu mereka membocorkan rahsia Allah semahu hati mereka dan sesuka hati mereka.

Orang yang sudah sampai peringkat asyik dengan Allah, tiada apa lagi yang boleh mengganggu mereka. Kalau diri mereka pun sudah tidak lagi mereka peduli, apa lagi pandangan masyarakat sekitar. Orang seperti ini memang telah dicatatkan dalam sejarah. Tiada sesiapa pun yang faham mereka. Tiada sesiapapun yang faham apa yang mereka katakan. Tiada sesiapapun yang mampu menghuraikan apa yang mereka perkatakan. Hanya mereka sendiri yang faham setiap apa yang mereka katakan. Maka tuduhan sesat dan gila adalah yang paling layak untuk orang seperti ini.

Tapi seiring perjalanan masa. Allah itu membukakan rahsiaNya untuk orang-orang selepas mereka, supaya ada yang tahu apa yang pernah dikatakan oleh mereka yang gila ini. Adakah mereka ini betul-betul gila, atau mereka inilah yang benar-benar faham rahsia Allah. Mereka yang Allah telah bukakan rahsia ini, faham bahawa sebelum mereka faham rahsia Allah. Allah telah bukakan rahsiaNya kepada orang-orang sebelum mereka. Jadi bila mereka mengkaji. mereka tidak sendirian. Bukan mereka sahaja yang Allah pernah bukakan rahsiaNya. Banyak lagi orang lain yang pernah Allah bukakan rahsiaNya sebelum mereka.

Aku rasa di sini aku telah memahami, aku tidak sendirian, dan aku mahu orang lain yang tahu rahsia Allah juga tahu mereka tidak bersendirian. Walaupun kita berjauhan tetapi kita berkongsi rahsia yang sama. Rahsia yang hanya kita yang faham. Orang sebelum kita telah berkongsi rahsia mereka dan membocorkan rahsia Allah, adalah untuk kita yang terkemudian ini tahu yang kita tidak bersendirian. Maka atas dasar ini, aku bercerita di sini. Aku mahu mereka diluar sana dan mereka yang belum lahir, yang belum wujud lagi sekarang akan tahu esok, bahawa mereka tidak bersendirian.

Apa yang boleh aku katakan. Pilihan di tangan kamu. Kamu boleh simpan rahsia ini seperti mereka yang juga menyimpan rahsia ini, atau kamu boleh memilih untuk asyik dengan Allah dan membocorkan rahsiaNya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui semuanya itu.

Aku mohon maaf sekiranya ada kesalahan dalam tutur kataku ini. Aku hanya berkongsi. Tidak bermaksud apa-apa. Cuma aku pohon hati-hati dalam menyampaikan rahsia yang sukar difahami ini. Takut disalah erti dan boleh menyebabkan kita dituduh sesat. Bukan salah yang menuduh. memang salah kita kerana membuka rahsia tanpa ilmu.

Kepada mereka diluar sana yang benar-benar memahami makrifat, berhati-hatilah dalam menyampai ilmu yang sukar difahami ini. Gunakan ayat atau kiasan yang mudah ke arah jalan untuk memahami rahsia. Jangan ceritakan rahsianya secara terus, atau darahmu akan menjadi halal.

No comments:

Post a Comment