Wednesday 1 April 2015

Bila Aku Baca Kembali

Aku selalu membaca semula semua post yang aku hasilkan, kadangkala berkali-kali. Aku membaca semula post-post ini menyemak ejaan dan mengenalpasti jika ada perkara yang tidak patut aku sebutkan atau perkara yang tidak perlu aku sebutkan. Dalam menyemak semula semua post aku, adakalanya aku terkejut kerana ada perkataan yang aku sendiri tidak pasti datangnya dari mana, sebab bila sesuatu itu datang terlalu cepat aku terus luahkan secepat mungkin tanpa ada masa memikirkan apa-apa. Bila aku baca semula baru aku ada masa untuk menyemak semula. Mungkin itu membuatkan aku terkejut kerana aku sering bertanya kembali, akukah yang meluahkan perkara itu, atau sesuatu yang dibawah sedarku yang meluahkannya?

Ini membuatkan aku teringat pada zaman Tok Kenali, diberitakan Tok Kenali ketika mendapat apa-apa ilmu akan terus menulisnya, kalau tidak silap aku di tapak tangannya sendiri dan terus menyuruh anak muridnya menyalin ilmu itu. Aku terfikir kenapa Tok Kenali tulis ilmu atas tapak tangannya? kerana datangnya ilmu itu tidak diundang, tidak mengira masa dan tempat, terus terang aku katakan, ketika sedang membuang pun ilmu pasti datang, nak tulis kat mana masa tu. Memang hilang lah lepas tu. Sebab tu kadangkala aku rakam suara bila sesuatu datang, kadangkala aku terus taip bila sesuatu datang, tetapi memang adakalanya ilmu itu pergi begitu sahaja tanpa sempat aku menyalin atau merakamkannya kerana datangnya ilmu itu pada keadaan yang aku tidak mempunyai perakam atau alat menulis.

Aku terfikir kalau ilmu Tok Kenali datang pada keadaan yang boleh di tentukan, pasti ilmu Tok Kenali ditulis oleh beliau di atas buku ketika sedang duduk di atas kerusi. Oleh kerana datangnya ilmu itu tidak mengira masa, maka tapak tanganlah menjadi kertas untuk Tok Kenali. Aku kalau boleh nak gantung pen di leher untuk mencatat bila sesuatu datang di benakku. Memang ilmu itu pergi secepat ianya datang. Aku akan cuba untuk memberikan yang terbaik kepada semua. Jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment