Friday 16 May 2014

Di Mana Allah?

Saya terpanggil untuk membicarakan sedikit tentang tajuk ini, kerana melayari google tentang Allah. Saya berkesempatan meilhat satu video di youtube membicarakan tajuk ini. Memang telah saya katakan dahulu, tajuk tentang Allah ini dibincangkan oleh semua orang Islam, semua mahzab, semua ilmuwan Islam, semua shiekhul, semua shiekh dan semua ustaz di dalam semua zaman. Sehinggakan semuanya pening, jawapan dari yang mana satu yang betul dan boleh dipakai. Jawapannya mudah, semua jawapan betul. Allah adalah segalanya dan segalanya adalah Allah. Cuma yang salah adalah salah faham dan salah tafsir.

Agak sedih juga saya melihat video itu apabila timbul ayat mengkafirkan golongan lain, yang tidak menerima Allah dari pandangan aliran dia. Semua aliran lain tentang di mana Allah adalah salah, aliran dia sahaja yang sangat betul dan sangat tepat. Selain dari itu semuanya kafir. Ayat inilah yang paling menyedihkan di dalam Islam yang tuhannya Allah dan nabinya Muhammad s.a.w. Mereka sering kafir mengkafir. Sekiranya Rasulullah s.a.w masih hidup, baginda pasti menangis semahu-mahunya dengan orang Islam yang beliau telah tinggalkan dan berkeadaan seperti ini.

Sudah ada berapa golongankah yang mengaku Islam, bertuhankan Allah dan bernabikan Muhammad s.a.w. dan sering kafir mengkafir? Kenapa harus berlaku seperti ini? Islam aliran aku sahaja yang betul, Islam yang aliran selain daripada aliran aku semuanya kafir.

Sudah-sudahlah tuan-tuan. Cukup. Jangan lagi mengkafirkan sesiapa? Biar sahaja Allah memberi hidayah untuk semua kembali bersatu menyembah Allah sahaja. Memang tajuk di mana Allah ini akan diperbincangkan terus menerus hingga bumi berkecai, kubur berkecai dan nyawa berkecai. Tetapi kita harus bersatu mempertahankan Islam dan jangan Islam itu dihancurkan oleh kita sendiri.

Saya sudah tidak mampu untuk bercakap apa lagi bagi mendamaikan keadaan ini. Cuma harapan saya. Jangan mengkafir dan jangan bergaduh. Kita kiblat satu, tuhan satu dan nabi yang satu. Tidak cukupkah itu semua yang satu itu untuk menyatukan kita di dalam Islam?

Kita kena ingat jawapan siapa yang kafir hanya Allah yang tahu, dan kita pun ada jawapan siapa yang sebenarnya kafir, cuma jawapan itu akan kita dapat bila kita telah tutup mata. Sayangnya bila kita sudah tutup mata. Jawapan itu kita akan pegang sehingglah kita mengadap Allah yang Tahu. Kuat sangatkah kita untuk memegang jawapan yang sebenarnya kita lah yang kafir di dalam kubur itu? Ingat kubur itu sangat dekat, lebih dekat dari apa yang kita sangkakan dekat. Begitu juga jawapan samada kita yang kafir juga sangat dekat. Jadi lebih baik kita bersatu dari berpecah dan sembahlah Allah sepuas-puasnya.

No comments:

Post a Comment