Monday 9 May 2016

Solat Syariat, Solat Makrifat, Puasa Syariat, Puasa Makrifat. Apa bezanya?

Baru-baru ini aku ada mendengar satu persoalan yang ditimbulkan tentang solat syariat dan solat makrifat serta puasa syariat dan puasa makrifat.

Jika boleh aku memberi sedikit ulasanku di sini
Apakah solat dan puasa makrifat itu dijamin syurga?
Apakah pula solat dan puasa syariat itu dijamin neraka?
Jawab dulu dua soalan yang di atas.
Kalau tidak dapat dijawab dengan tepat dan pasti.
Rasanya tidak perlu ditimbulkan perbezaan ibadah syariat dan makrifat

Apakah ulat mayat itu tidak memakan tubuh si makrifat?
Apakah ulat mayat hanya memakan tubuh si syariat?
Ulat mayat tidak tahu membezakan mana daging busuk si makrifat dan mana daging busuk di syariat
Bagi ulat mayat sama sahaja
Apa yang busuk semuanya diratah sampai tidak bersisa

Makrifat ini hanya rasa pada kenal akan diri membawa kenal akan Tuhannya
Tidak membabitkan pada ibadah yang lain
Biarlah orang syariat berpuasa dan bersolat dengan apa yang diajarkan oleh Rasullullah s.a.w.
Begitu juga orang tarekat atau hakikat
Janganlah kita menambah seolah-olah ibadat dari orang makrifat sahaja yang diterima Allah
Ibadat dari mereka yang kenal Allah sahaja dijamin syurga
Rasullullah s.a.w. tidak mengajarkan perbezaan seperti ini
Kalau betul ada perbezaan ibadah antara syariat dan makrifat
Sudah tentu Rasullullah s.a.w. orang pertama yang akan menyatakannya

Makrifat ini bukan ibadah
Makrifat ini hanya ilmu kenal
Itu sahaja
Tidak perlu ditokok tambah menjadi ibadah pula
Habis semua nanti jadi rosak binasa
Gaduh sana sini
Kafir mengkafir sana sini

Buatlah ibadah sebagaimana yang diajarkan Rasullullah s.a.w.
Puasa, sembahyang, berniaga, berkawan, bermasyarakat
Bukankah Rasullullah s.a.w. itu adalah contoh manusia yang terbaik?

Kepada orang yang mengaku makrifat
Berhati-hatilah bila berkata-kata
Jangan mengguris hati perasaan sesama Islam
Jangan rasa diri terlalu hebat dalam mengenal Tuhan
Biar rasa diri kita paling hina dalam mengenal Tuhan
Jika hina itu boleh membawa kepada sedar diri

Jangan angkuh dan jangan sombong
Sampai merendahkan ibadah orang lain
Biarlah Allah sahaja yang menilai
Kita manusia hina bukan penilai ibadah orang syariat, tarekat atau hakikat
Hatta orang makrifat sekalipun bukan orang makrifat menjadi penilai

Cukuplah ajak orang mengenal Allah
Biar lembut dalam berbicara
Jaga hati dan perasaan orang lain

Aku tidak suka melihat perpecahan
Aku suka melihat perdamaian
Harap jangan ada membeza-bezakan ibadah mengikut tingkat ilmu
Mengenal Allah bukan membeza ibadah
Harap sama-sama kita renung
Sama-sama kita muhasabah diri

Biar bersatu jangan berpecah
Bukan nak pergi naik ke langit
Cuma nak masuk ke dalam lubang busuk
Mari kita mengenal Allah

No comments:

Post a Comment