Tuesday 31 May 2016

Kenapa Tiada Orang Yang Bercakap Tentang Allah

Sewaktu segala-galanya hanyalah tentang Allah
Apa sahaja Allah
Sewaktu terjaga Allah
Sewaktu sedang tidur pun Allah

Aku hairan melihat manusia lainnya
Tiada seorang pun yang menyebut dan menceritakan tentang Allah
Bukankah Allah yang menciptakan segala-galanya?
Kenapa tiada seorang pun yang bercerita tentang yang menciptakan segala-galanya?
Kenapa tiada orang yang perasaankan Allah?

Bukankah Allah yang menciptakan batu?
Kenapa orang yang menggunakan batu tidak pun bercakap tentang pencipta batu
Bukankah kain pun Allah yang cipta?
Kenapa orang yang pakai kain tidak bercerita tentang Allah yang mencipta kain?

Aku jadi semakin hairan melihat orang lain
Sepatutnya dari mula terjaga sehingga ke dalam tidur
Allah sahaja yang sepatutnya kita tumpukan
Tiada benda lain
Tiada perkara lain

Tetapi perkara lain kelihatannya menjadi lebih penting dari Allah
Semuanya tentang Allah telah hilang
Manusia semakin buta dalam melihat kebesaran Allah
Manusia semakin bisu dalam memuji Allah

Malah manusia semakin gila dengan dunia
Aku menjadi sangat-sangat pelik
Kenapa aku tidak dengar cerita tentang Allah dari mereka semua
Siapakah yang gila?
Aku? Atau mereka?

Bukankah sepatutnya manusia hanya bercakap tentang pencipta?
Kenapa mereka semua tidak sebut tentang pencipta?
Apa yang mereka lihat?
Apa yang mereka fikir?
Tidakkah sepatutnya hanya Allah sahaja di fikiran mereka semua?

Sesungguhnya memang hairan melihat semua manusia pada ketika itu
Tidakkah mereka melihat?
Tidakkah mereka perasan?

Sebenarnya aku tahu
Mereka itu semua telah dibutakan oleh diri mereka sendiri
Mereka juga telah dibutakan oleh dunia yang mereka diami
Kerana semua orang pun begitu
Jadi mereka hanya mengikut semua orang
Apa yang semua orang buat
Mereka semua ikut
Sehingga mereka tidak perasankan Allah
Malah apa yang mereka buat
Mereka sendiri pun tidak tahu apa yang mereka buat

Aku menangis melihat mereka
Mereka telah menjadi sesuatu yang mereka sendiri tidak perasan
Mereka telah tenggelam dalam sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu
Apalah dayaku
Hanya seorang insan kerdil
Yang tidak punya apa-apa

Kalau diikutkan ingin sahaja aku menyedarkan siapa mereka sebenarnya
Tapi aku tahu
Perkara ini bukan senang
Malah ada nabi yang diakhirat nanti tidak punya walau seorang pun pengikut
Hanya dia sahaja seorang diri tanpa pengikut
Penat berdakwah sepanjang umur sehingga ke mati
Tiada seorang pun yang pedulikan ajaran yang mereka bawa

Lagikan aku yang ingin bercerita tentang Allah kepada mereka semua
Mungkin aku akan dituduh tidak siuman
Atau mungkin aku hanya akan menjadi bahan tawa mereka

Ada nabi yang isteri dan anaknya pun tidak mahu mengikut ajaran yang mereka bawa
Semuanya Allah telah jelaskan di dalam kitabNya
Nabi pun tidak mampu menyakinkan isteri dan anaknya tentang Allah
Lagi pula aku yang hina ingin menyakinkan orang lain tentang Allah

Tidak mengapa
Biarlah aku tanggung sendiri perkara ini
Aku bukan ustaz
Aku bukan mufti
Aku bukan ahli agama
Aku bukan sesiapa pun

Aku cuma mahu manusia bercerita tentang Allah
Aku cuma mahu manusia memahami Allah
Aku cuma mahu menyedarkan manusia tentang Allah
Itu sahaja

Sesiapa yang Allah inginkan
Allah akan sedarkan mereka tentang Allah
Sesiapa yang Allah tidak inginkan
Isteri nabi pun Allah tidak akan beri hidayah

Aku ingin sangat sampai suatu masa
Manusia akan selalu bercerita tentang Allah
Malah kalau boleh ketika sedang membuang pun
Dia seorang dirinya akan bercakap-cakap tentang Allah

Berkata-kata tentang Allah itu tiada had
Di mana sahaja
Hanya ada Allah
Biarlah Allah sahaja yang ADA

No comments:

Post a Comment