Sunday 30 August 2015

Siapa IKHLAS?



Satu perkataan. Sejuta penipuan.

Manusia sering bermain dengan sejuta penipuan ikhlas. Ada yang berani kata dia ikhlas. Ada pula yang berani kata orang lain tak ikhlas. Faham ke ikhlas tu. Ikhlas itu penilaian tuhan. Bukan penilaian manusia. Ikhlas itu bukan pada perbuatan. Ikhlas itu bukan pada wang ringgit. Ikhlas itu bukan pada sembunyi-sembunyi bukan juga pada terang-terangan.

Ada orang ingat bila buat sesuatu perkara itu sembunyi-sembunyi. Itu tanda dia ikhlas. Ada orang ingat bila buat sesuatu secara terang-terangan itu tidak ikhlas.

Ikhlas bukan hal manusia. Ikhlas adalah hal tuhan. Ikhlas bukan terletak pada penilaian pandangan mata manusia. Ikhlas adalah dinilai oleh tuhan. Jangan ada manusia yang cuba nak menilai ikhlas. Ikhlas ini perkara di dalam penilaian dan pemerhatian tuhan.

Ikhlas ini perkara hati. Perkara hati tidak mungkin boleh dinilai oleh pemilik hati. Macam peperiksaan. Soalan kita yang buat. Kita yang jawab. Kita yang tanda. Memang 100% lulus. Jadi ikhlas yang dinilai oleh hati sendiri. Sama seperti peperiksaan tadi. Aku ikhlas. Sendiri mendakwa diri sendiri ikhlas.

Ada orang bertanya, derma ni ikhlas ke? Kita pun jawab ‘ikhlas’. Inilah contoh yang disebutkan di atas tadi. Sendiri beri markah pada diri sendiri. Lulus 100%.

Aku rasa selepas ini, orang Islam tidak perlu bertanyakan soalan yang seperti itu. Menggalakkan penipuan hati si penjawab soalan. Orang Islam boleh ‘delete’ terus pertanyaan seperti ini. Tidak patut kita bertanya soalan yang Allah sahaja tahu jawapannya. Adalah tidak adil kita meminta jawapan yang menggalakkan penipuan. Ikhlas urusan Allah. Jangan jadi seperti cerita peperiksan yang aku ceritakan di atas tadi.

Ikhlas itu tidak semestinya membuat sesuatu perkara itu secara tersembunyi. Ikhlas itu juga tidak semestinya membuat sesuatu perkara itu secara terang-terangan. Ikhlas itu urusan Allah. Urusan kita buat untuk Allah. Buat kerana Allah. Buat untuk tiada lain selain Allah. Bukan buat untuk ikhlas. Apalagi kalau buat untuk bagi nampak ikhlas. Sesuatu yang dibuat hanya untuk Allah, tidak perlu ada persoalan tentang ikhlas atau tidak? Tapi tanya untuk Allah atau tidak?

Kita kena ingat, hati kita tidak boleh menipu Allah. Mulut dan hati dua perkara berbeza. Mulut cakap ikhlas. Hati cakap apa? Allah yang tahu. Kalau kita mahu Allah menilai ikhlas di hati kita. Aku takut tiada seorang pun manusia yang ikhlas di atas dunia ini.

No comments:

Post a Comment